Berfikir Lebih Jauh Ke Depan…….

1223

Jumpa dengan seorang kawan pimpinan dari Parti Bersatu di satu Majlis Jamuan Aidilfitri. Berkali-kali dia duduk ulang bahawa PAS perlu fokus lawan Umno dalam PRU 14.

Saya jawab, PAS memang fokus untuk lawan Umno/BN dalam PRU. Fokus bukan hanya dengan kata-kata, tapi dengan tindakan. Fokus ini tak pernah beralih arah sehingga ke saat ini. Semakin hari semakin fokus dan semakin fokus.

Lawan Umno dalam PRU bukan bermakna setiap hari kita perlu maki Umno dalam kedai kopi. Lawan Umno bukan bermakna kita kena buat seteru dengan semua orang Umno di sekeliling kita. Lawan Umno bukan bermakna pemimpin PAS langsung tak boleh duduk satu majlis dengan pemimpin Umno. Lawan Umno bukan bermakna haram sama sekali pakai baju warna yang sama dipakai oleh orang Umno. Lawan Umno bukan bermakna sakit, demam dan mati orang Umno kita jangan pergi ziarah. Lawan Umno bukan bermakna kita perlu bertegang urat leher dan berbeza pendapat 24 jam sehari. Lawan Umno juga bukan bermakna antara kita tiada langsung titik persamaan yang membolehkan kita duduk berbincang demi kepentingan rakyat dan negara.

Kesempitan pemahaman politik menyebabkan ramai yang gagal memahami keperluan seorang Menteri Besar dari PAS berjumpa dan berunding dengan Perdana Menteri dari Umno. Jumudnya pemikiran politik sehingga apabila Presiden PAS berada sepentas dengan Presiden Umno demi memperjuangkan isu ummat Islam sejagat maka bergegarlah gema UG. Terkongkongnya minda dan IQ sehingga berbaju melayu warna sedondong juga menjadi modal yang dijaja bertahun-tahun. Betapa tak ada modal politik sehingga pergi letak tukun tiruan dalam laut sebagai rumah ikan pun berdepan dengan fitnah UG.

Lawan Umno bermakna lawan untuk mengalahkan Umno dalam PRU. Bukan kita lawan untuk belasah dan halau orang Umno. Tapi kita nak jemput orang Umno berpindah dari kapal Umno yang sedang mereput dan hampir karam untuk menaiki kapal PAS yang teguh belayar. Kerosakkan yang menimpa kapal Umno sudah terlalu parah. Enjin sudah tak boleh dibuat overhaul lagi dan kemudinya juga sudah patah. Pelayarannya bersimpang siur tanpa tujuan yang jelas. Anak-anak kapal sudah sedar sebenarnya akan hakikat yang menimpa kapal mereka. Tapi mereka kekal berada di atas kapal ini kerana masih ada simpanan harta karun dalam perut kapal yang boleh direbut sebagai habuan. Demi habuan ini, mereka pejamkan mata seketika.

Kita perlu ajak mereka untuk buka mata dan berfikir lebih jauh ke depan. Berfikir akan nasib anak cucu nanti. Berfikir tentang ‘survival’ tanahair dan negara tercinta. Paling penting kita wajib berfikir dan berpolitik tanpa melupakan apa yang akan kita hadapi dalam kubur kelak.

Dr Azman Ibrahim
AJK PAS Pusat
11 Julai 2017