Bekas Setiausaha Pemuda Umno Sertai PAS

37

MARANG – Bekas Setiausaha Pemuda Umno Negeri Terengganu, Haji Endut S. Mat Ali mengambil keputusan untuk menyetai PAS kerana dasar parti Islam itu yang jelas.

Katanya, parti itu bukan hanya menggerakkan siyasah tanah air bahkan memperjuangkan Islam dan semakin relevan dalam menghadapi kemelut dunia hari ini.

Beliau yang juga merupakan bekas wartawan Utusan Melayu, membuat keputusan berkenaan kerana menurutnya, Umno sudah tidak lagi membela hak Melayu dan orang Islam.

“Tidak hairanlah jika saya kata Umno sudah tidak dapat membantu orang Melayu kerana hanya mementingkan diri (peribadi) dan kroni sahaja.

“Saya tertarik dengan PAS disebabkan dasar dan perjuangan yang jelas serta memiliki semangat yang tinggi membela umat Islam termasuk bersungguh-sungguh membela rakyat Palestin yang dizalimi Zionis Israel,” ujarnya ketika ditemui di pejabatnya, semalam.

Selain itu, kata beliau, keperibadian Presidennya, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang memiliki karisma dan kewibawaan yang dikagumi kawan dan lawan.

“Saya sudah mengenali beliau sejak Ahli Parlimen Marang itu belajar di Universiti Madinah dan menjadi ketua pelajar,” kata beliau yang juga merupakan Pemgerusi Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Terengganu (PERKAYA).

Haji Endut turut menitipkan nasihat, agar generasi hari ini peka dengan perkembangan semasa, memiliki tanggungjawab kepada negara dan menyedari hanya Islam yang mampu memimpin negara.

“Kerana mereka yang akan memimpin negara ini dalam segala bidang pada masa akan datang,” ujarnya