

KUALA NERUS – Kegiatan pengedaran dan penagihan dadah masih berterusan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir walaupun peruntukan yang agak besar telah diberikan.
Pengerusi Majlis Tindakan DUN tersebut, Ustaz Zakaria Dagang berkata, bagi tujuan membanteras gejala itu, ADUN yang juga Menteri Besar Terengganu telah melancarkan kempen Seberang Takir Diisytihar Bebas Dadah 2016.
“Kita mengalu-alukan usaha yang dibuat dan pihak PAS sendiri sentiasa memberi kerjasama dalam turut membantu mengatasi masalah ini.
“(tetapi) dalam satu laporan akhbar pada tahun lepas (2017), Seberang Takir disebut sebagai kawasan hitam dadah di negeri Terengganu. Laporan itu walaupun kemudiannya dinafikan, tetapi pada kenyataannya ia adalah satu kebenaran.
“Penduduk Seberang Takir sendiri memperakui perkara ini berdasarkan kegiatan para penagih dan pengedar dadah di kawasan ini,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas perkara tersebut, semalam Isnin 29 Januari.
Sebagai contoh, kata beliau, pada tahun lepas juga, satu tangkapan dibuat melibatkan seorang remaja di sebuah kampung di DUN Seberang Takir yang terlibat dengan pengedaran dadah berskala besar.


“Seorang remaja lelaki yang dipercayai menjadi pembekal pil kuda di sekitar bandar raya dan Kuala Nerus, ditahan dalam satu serbuan di rumahnya bersama 2,200 biji pil kuda.
“remaja berusia 18 tahun dari Kampung Batin Seberang Takir, Kuala Nerus itu, ditahan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu ketika sedang tidur di ruang tamu, pada kira-kira jam 12 tengah hari,” ujar beliau, memetic laporan akhbar media Perdana.
Zakaria yang juga Setiausaha PAS Kuala Nerus berkata, banyak lagi operasi yang dijalankan oleh pihak berkuasa polis dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di beberapa lokasi yang merupakan sarang penagih dadah di sekitar kawasan Seberang Takir.
Katanya, walaupun pada operasi tersebut, tiada tangkapan dilakukan, namun ia bukan bererti masalah itu telah selesai.
“Mungkin ketiadaan tangkapan itu (adalah) bagi tujuan agar dilihat Zon Seberang Takir Bebas Dadah itu telah berjaya, sedangkan gejala ini terus menghantui penduduk setempat.
“Kejadian pecah rumah dan kecurian masih berleluasa di sekitar kawasan Seberang Takir ini. Ia memang berpunca dari aktiviti penagihan dadah,” jelasnya.
Justeru itu beliau berharap kerajaan bersungguh-sunguh menangani isu tersebut, bukan hanya sekadar untuk mendapat publisiti sahaja.
“Kita mengharapkan agar pihak kerajaan lebih serius dalam membanteras gejala buruk ini yang bukan sahaja merosakkan anak bangsa,
“tetapi lebih parah lagi (ia) menggangu keharmonian masyarakat,” tegas beliau.