Banjir; Ujian Dari Allah dan ‘Orang Lama’ Hulu Dungun

2600

Oleh : Zul Shawal

Kita semua melihat ke negeri Kelantan, dalam visual dipaparkan memperlihatkan, ujian daripada Allah adalah cukup besar untuk saudara-mara dan rakan taulan kita di sana. Tidak sesiapa pun dapat menafikan, bagaimana kehilangan harta benda, hilang rumah kediaman, hilang nyawa yang menjadi korban, lebih daripada bencana yang sama yang menimpa negeri Terengganu.

20141225_134238Namun, samada dalam tidak sedar atau terlepas pandang, kita terlupa sejenak tentang fakta banjir Daerah Dungun pada musim bah kali ini, tahun 2014.

Ujian Yang Maha Kuasa telah menurunkan hujan dan melimpahkan air sungai membanjiri hampir dua pertiga daratan, di Daerah Dungun.

Bermula dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, hanya tiga daerah mengundi (Unit Peti Undi – UPU) sahaja, yang tidak tenggelam air. Lokaliti itu ialah al-Muktafi Billah Shah (AMBS), Bukit Besi dan Felda Jerangau.

Dalam DUN Rantau Abang pula, bermula daripada Padang Pulut hingga ke Perumahan Taman Rakyat, bahkan Balai Besar turut dilanda banjir.

Manakala DUN Paka, turut  mengalami nasib yang sama, selain Durian Mentangau yang saban tahun menerima limpahan air, Kampung Nyiur dan Pinang Merah kini turut termasuk dalam senarai kawasan banjir. Sejarah terpahat, pada musim banjir kali ini, hampir seminggu jalan utama di Kampung Nyiur ditutup kerana tidak selamat untuk dilalui oleh kenderaan.

IMG-20141228-WA0207 (2)Sementara DUN Sura juga menerima tempias terdapat, dimana 30 keluarga telah berpindah ke pusat perpindahan banjir.

Sejarah juga mencatat kebenaran, dari perakuan ‘orang-orang lama’ yang tinggal di hulu Dungun mengatakan, banjir terbaru ini adalah antara bah yang terbesar.

Kata mereka, banjir ini ‘adik kepada’ banjir tahun 1971. Kebenarannya tak dapat saya rasai pastikan kerana waktu itu saya belum dilahirkan. Namun, pemerhatian saya terhadap tiga kampung yang diamanahkan kepada saya dalam menguruskan operasi banjir kali ini, perbezaan paras air sangat ketara berbanding tahun lepas.

Di kampung Pasir Raja, Shukur dan Kuala Jengal, peningkataan paras air adalah lebih 3 kaki,berbanding tahun lepas.

Suka saya menarik perhatian kita semua, dalam fasa gerak kerja ‘Pasca Banjir’, menyantuni warga kawasan hulu yang terjejas, kehadiran Yang DiPertua PAS Ustaz Wan Hassan Mohd Ramli telah menjadi perbualan penduduk disana.

Sebaik tengkujuh mula memuncak dan air mula naik, kelibat tubuh tinggi lampai itu yang bibirnya sentiasa mengukir senyum, ia sudah berada bersama ‘adik kakak’ kita di sana.

wan hasan banjir kg shukurSejurus kejadian tanah runtuh berlaku, yang memutuskan perhubungan darat antara kampung Jongok Batu dan Kampung Shukur serta Pasir Raja, ‘tubuh kurus’ itu, sudah pun terpacak di hadapan mereka.

Bersama hujan yang turun membasahi bajunya, cuaca bertambah dingin dengan angin bukit bukau bertiup dari banjaran Titiwangsa, namun Ahli Parlimen Dungun itu tetap hangat.

Menuruni lembah jalan yang terputus dan mengatur langkah mendaki bukit, sambil memikul bekalan makanan dibahunya, untuk disampaikan dengan tangannya sendiri kepada rakyat, warga Kampung Shukur dan Pasir Raja!

Lebih terkesan dihati dan minda penduduk, apabila mereka terputus bekalan air bukit selama 14 hari secara berterusan.

Mantan ADUN Sura itu telah bertindak pantas mengarahkan Bilik Bekalan Banjir PAS Kawasan Dungun mendapatkan segera gulungan paip ‘poly’ dan penyambung, agar air daripada takungan Bukit Bangan dapat disalurkan dan mengalir kembali ke setiap rumah warga kampung Shukur.

IMG-20150106-WA0014Bukan setakat itu, bahkan Ustaz Wan Hassan sendiri telah meredah belukar, mendaki bukit sejauh hampir 2 kilometer untuk bersama-sama penduduk kampung bergotong royong, membaikpulih sistem saluran paip tersebut.

Sehingga hari ini, setiap rumah yang ‘disapa’ air banjir itu, akan dilawati dan disantuni oleh para petugas dan sukarelawan PAS.

Samada menghantar keperluan asas, atau peralatan dapur sebagai pengganti kerana musnah oleh aid bah, atau bertanya khabar nasib penduduk.

Setelah selesai solat asar berjemaah di Masjid Shukur, mengadu si bilal yang rumahnya telah teralih hampir 2 kaki daripada tapak asal. Ini terjadi kerana arus banjir yang terlalu deras.  Ustaz Wan bergegas ke rumah bilal tersebut, dan hampir menangis kerana kesedihan beliau melihat keadaan rumah tersebut.

Di tanya, adakah mangsa mendapat bantuan daripada pihak berkuasa? Jawabnya dengan nada bersahaja, kita ‘dicop’ sebagai pembangkang!

IMG-20141228-WA0109Adakah kerana bilal memilih parti yang berbeza daripada parti sang pemerintah, maka dia dinafikan hak walaupun jelas dia hidup dalam keadaan miskin.

Suara Ustaz Wan Hassan, menyedarkan saya yang asyik melihat dapur rumah yang ranap akibat air bah itu.

“Zul, orang seperti ini kita kena dahulukan,” ujarnya berulang kali, kalau tidak silap saya lebih daripada 5 kali.

Pengarah MTD Bukit Besi Haji Ghazali Sulaiman turut sama menziarahi rumah tok bilal, mengelilingi rumah tersebut. Tiba-tiba memanggil saya……”Zul, mari sini tengok tandas ni,”.

“Allahurobbi, tandas itu hanya tinggal mangkuk tandas dan tiang 4 batang. Dinding dan atap hilang mengikut arus banjir,”hati saya berteriak, sehingga terdengar suara keluar dari mulut.

Sambil tersenyum, tok bilal berkata, jika beliau ‘berhajat’ dan hendak mandi beliau akan ke masjid yang jaraknya 1 kilometer!

Tidak dapat saya bayangkan jika beliau hendak ‘berhajat’ ditengah malam, beliau hanya ada basikal tanpa lampu.

zul shawal dan rakanKesan banjir kali ini juga amat teruk, dapat dilihat dibeberapa kampung yang lain. Di kampung Pasir Raja, Kuala Jengal dan Talong kebanyakkan daratan bertukar menjadi lautan kuning seminggu yang lepas.

Kepada sahabat yang sedang beramal di Kelantan, saya ucapakan terus beramal dengan penuh ikhlas membantu saudara kita di sana. Maaf dari diri ini kerana tidak dapat bersama sahabat di sana kerana di sini, di tempat ini lebih memerlukan tenaga saya.

Kepada semua dermawan yang telah menyalurkan sumbangan kepada kami untuk membantu mangsa banjir dalam Dun Bukit Besi, saya ucapkan jutaan terima kasih dan sumbangan anda masih diperlukan.

Terus Beristiqamah!

*** Zul Sawal adalah penunjuk arah jalan dan memimpin sukarelawan dalam operasi banjir d hulu Dungun. Beliau juga adalah Ketua Bilik Gerakan Banjir Zon Jengal yang juga Ketua Pemuda PAS DUN Bukit Besi.