KEMAMAN – Kebakaran PASTI Raudhatul Athfal dengan hampir keseluruhan bangunan musnah, melibatkan anak-anak yang sedang belajar, benar-benar menyentuh hati dan perasaan.
Namun Naib Presiden PAS, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar bersyukur, kerana tiada kemalangan jiwa berlaku dalam kejadian itu, empat hari lalu.
“Mengenangkan seramai 50 orang pelajar kecil yang saban hari menimba ilmu di premis berkenaan,
“Syukur alhamdulillah, semua pelajar dan tenaga pengajar berjaya keluar dengan selamat hasil tindakan pantas mereka, dibantu kecekapan anggota bomba yang segera mengawal keadaan,” katanya.


Beliau yang juga Menteri Besar Negeri Terengganu dan Ahli Parlimen Kemaman berkata demikian selepas meninjau lokasi tersebut, Di Kampung Bakau Tinggi, Chukai, hari ini.
Dalam lawatan itu, beliau telah menyampaikan sumbangan awal daripada Persatuan Kebajikan Masyarakat Amilin Kemaman, Ladang Rakyat dan EPIC Berhad sebagai tanda keprihatinan serta sokongan awal bagi membantu PASTI berkenaan bangkit semula.
Beliau dimaklumkan Jabatan PASTI Negeri Terengganu telah melancarkan Tabung Bantuan Kilat Kecemasan bagi membantu pengurusan serta warga PASTI yang terkesan akibat kejadian tersebut.


Justeru katanya, inisiatif bantan yang digerakkan oleh komuniti, agensi dan pertubuhan terlibat menggambarkan semangat kebersamaan yang kuat dalam menyokong institusi pendidikan Islam.
“Semoga segala bantuan ini meringankan beban, memulihkan semangat dan membuka jalan kepada usaha membina kembali PASTI demi masa depan anak-anak kita.
“Moga Allah mempermudah setiap urusan dan menggantikan dengan sesuatu yang lebih baik,” tambah beliau




























