‘Bandaraya Pesisir Air’; Derita rakyat 30 tahun dilanda banjir

1515

KUALA TERENGGANU –  “Bandaraya Pesisir Air” satu nama yang cukup tepat dan sinonim kepada penduduk di sekitar Bandaraya Kuala Terengganu.

Apa tidaknya? Apabila hujan turun dengan lebat secara berterusan melebihi tempoh empat jam, pasti beberapa kawasan dalam Bandaraya ini akan ditenggelami banjir kilat.

Banjir kilat? Cerita lama

Ketika wartawan Buletinonline sampai di kawasan perumahan Cerong Lanjut, di sini pada jam 1.30 pagi 25 Mac lalu, seorang penduduk berketurunan Sikh memperli dengan berkata, “buat apa ambil gambar…….. cerita lama yang sama saja!”

Manjeet Singh memang patut berkata demikian kerana kawasan perumahan itu yang berhampiran dengan kaki Bukit Pak Apil (Bukit Kecil), sering dilanda banjir, sejak lebih 30 tahun lalu.

Dalam tenpoh sekian lama, sejarah dilanda banjir kilat, tahun 2008 adalah yang paling teruk kerana sebelum itu, air naik sedikit sehingga buku lali, tetapi pada tahun 2008 banjir pernah melanda sehingga satu meter.

Penduduk di situ mendakwa, banjir terburuk tahun 2008 itu berlaku akibat penarahan bukit oleh pihak kerajaan bagi melaksanakan projek Puncak Panorama yang berharga RM7.5 juta

Pada 1 Disember, 2008, Dato’ Tengku Hassan Omar selaku ADUN Ladang yang baru telah meninjau kawasan tersebut yang dilaporkan telah empat kali dilanda banjir kilat.

Walaupun Taman perumahan itu terletak dalam DUN Bandar yang diwakili oleh Toh Chin Yaw, namun beliau dipanggil untuk mendengar keluhan penduduk Taman tersebut.

Projek Puncak Panorama menambah derita

Buletinonline telah beberapa kali memaparkan berita tentang pembangunan Puncak Panorama di Bukit Pak Apil (Bukit Kecil) yang telah merosakkan alam sekitar serta membahayakan penduduk.

Soalan juga turut diajukan kepada kerajaan dalam sidang DUN, menyampaikan “derita rakyat” Taman Perumahan tersebut sejak projek itu dimulakan.

“Saya tinggal sini sudah lebih 30 tahun, dulu ada air naik sikit-sikit lah, tapi tahun ini, sangat teruk, air naik sehingga 3, 4 kaki.” Katanya sambil menunjukkan almari perhiasan rumahnya yang terpaksa beliau letakkan diatas kerusi.

“Dulu orang kata sediakan payung sebelum hujan, sekarang sediakan barang sebelum hujan, sebab kalau tidak siap barang, habis banjir barang jadi rosak,” kata Manjeet

“Iya, projek itulah yang teruk ni, dua tiga tahun lepas tak ada lah banjir macam ni, tapi tahun ini sudah empat kali, memang sebab projek itu,”kata beliau apabila ditanya adakah projek yang sedang dibangunkan diatas bukit menyebabkan berlakunya banjir.

“Saya rasa projek itu tidak patut dibuat, kalau nak rekreasi boleh pilih tempat lain, itu kawasan bukit bahaya,”kata Dr. Ma, seorang doktor pergigian.

Selain mengambil tindakan menghubungi Datuk Bandar dan beberapa pegawai terbabit untuk penyelesaian jangka pendek, Dato’ Tengku Hassan berjanji kepada penduduk akan membawa masalah berkenaan ke dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu (Sidang DUN).

http://www.youtube.com/watch?v=aVKi83gc1A0&feature=channel_video_title

Masalah di bawa ke dalam Sidang DUN tiada penyelesaian

Oleh itu, apabila DUN bersidang pada 14 Disember 2008, keluhan dan rintihan penduduk kawasan tebabit telah disampaikan kepada kerajaan negeri pada mesyuarat kali ke tiga Penggal ke 12 Sidang DUN

Kerajaan Terengganu yang diterajui Umno-BN tidak mengakui bahawa tindakan mereka ‘menarah’ bukit itu adalah menyebabkan kesusahan kepada rakyat.

Justeru tiada tindakan segera diambil oleh kerajaan dan tidak ada apa-apa komen oleh wakil rakyat BN-MCA Toh Chin Yaw.

Sedangkan pada tahun 2009 sahaja, dalam tempoh lima bulan dari bulan Januari hingga Mei, kawasan perumahan tersebut telah dilanda banjir sebanyak lima kali.

Pada bulan 10 Mei, 2009, Buleinonline membuat liputan sekali lagi tentang banjir yang berlaku disitu.

Penduduk bosan, Toh diminta letak jawatan.

Seorang penduduk Cheong Wei Ah kecewa dengan wakil rakyat bandar Kuala Terengganu dan mendesak Toh Chin Yaw segera meletak jawatan jika tidak mampu membela rakyat.

Cheong berkata, masalah tersebut sering kali dihadapi oleh penduduk dan Toh maklum akan perkara tersebut, namun tidak ada apa tindakan yang diambil sehingga kini.

“Apabila hujan lebat lebih satu jam, banjir berlaku, air naik dan merosakkan harta benda, kami (penduduk) minta YB Toh Chin Yaw letak jawatanlah jika tidak boleh bela nasib rakyat dan masyarakat tionghua di sini (Bandar),” ujar Cheong

Pada bulan Mei juga, sebuah akhbar Perdana juga terpaksa melaporkan masalah yang berlaku di kawasan tersebut kerana ia sudah terlalu lama tiada penyelesaian

Penduduk bosan kerana perlaksanaan projek puncak Panorama yang terlewat benar-benar menyusahkan mereka.

Akhbar tersebut memetik Lim Siew Toh, 55, yang berkata penduduk sudah bosan dengan kelewatan projek itu kerana selain terpaksa berdepan dengan air lumpur, mereka sukar berjoging sambil menghirup udara segar seperti sebelum ini.

Katanya, langkah kerajaan membangunkan prasarana di bukit itu wajar dan disambut baik tetapi kelewatan projek menjejaskan keselesaan orang ramai terutama penduduk berhampiran.

“Dulu tempat ini dipenuhi orang ramai untuk berjoging, tetapi kini berkurangan kerana kawasan kotor serta berdebu,” katanya.

Lim Foo Kean, 46, pula berkata penduduk sudah lama bersabar dan berharap penyelesaian segera dicapai.

Beliau yang sudah lama menetap di situ bimbang berlaku tanah runtuh dan menghempap rumahnya serta surau berhampiran kerana air dari bukit terlalu laju.

“Sebelum ini memang ada air dari bukit selepas hujan, tetapi ia bersih dan jernih hingga kanak-kanak boleh mandi, tidaklah keruh dan berlumpur seperti sekarang,” kata Foo Kean.

Projek longkang RM500K sia-sia, membazir

Sekitar bulan Oktober, 2009, kelihatan longkang konkrit ‘U’ di letakkan di tepi jalan, tetapi projek pembinaan longkang berharga setengah juta (RM500,000) tergendala sehingga Januari lalu.

Kira-kira pertengahan tahun 2010, barulah pembinaannya diselesaikan, namun demikian, apabila hujan turun dengan lebat, banjir masih melanda Taman perumahan tersebut.

Pada November 2010, Toh bersuara melalui media dan ‘kononya’ mengingatkan kontraktor Projek Taman Panorama Bukit Pak Apil dekat sini mengambil langkah segera mengatasi masalah aliran lumpur dan hakisan yang menjejaskan keselesaan penduduk di sekitar kaki bukit itu. 

Beliau juga terpaksa mengakui keadaan itu sudah berlarutan sekian lama dan dibimbangi akan turut mengancam keselamatan penduduk.

Toh juga mengakui sistem perparitan yang dibina dengan kos RM500,000 setahun lalu tidak dapat berfungsi dengan sempurna apabila ia turut ditimbus tanah dan lumpur.

Sebaliknya, pada 25 Mac, baru-baru ini, banjir berlaku bukan kerana longkang tersebut terkambus, bahkan air tidak pun mengalir melalui longkang itu.

Menurut, Pengerusi DAP Kuala Terengganu, Ng Chai Hing yang ditemui pada dinihari tersebut projek longkang RM500,000 itu adalah sia-sia dan membazir begitu saja.

Katanya longkang itu dibina hanya sehingga Pangsapuri Batas Baru yang tidak membawa aliran air hujan ke mana-mana.

Selain itu, pemerhatian yang dibuat pada dinihari 25 Mac itu mendapati air turun dari kawasan projek puncak Panorama melalui Surau dihadapan Pangsapuri Cerong Lanjut

Dari situ, air mengalir masuk ke kawasan perumahan dan longkang dibelakang Sekolah Rendah Sultan Sulaiman tidak dapat menampung kapasiti aliran air.

Lalu ‘sebak’ dan membanjri Taman Perumahan tersebut

Kuala Terengganu tiada ‘Monsoon Drain’

Sebenarnya, Kuala Terengganu bandaraya pesisir air tidak ada longkang besar tengkujuh (Monsoon Drain).

Ia disahkan oleh ADUN Ladang Dato’ Tengku Hassan apabila ditemui Buleinonline semalam.

“Monsoon Drain, ada dalam perancangan tetapi tidak dilaksanakan, saya dah tanya dalam dewan (sidang DUN) pada awal-awal dulu (tahun 2008) ketika saya mula menjadi wakil rakyat,”katanya

Sebab itu, bukan Taman Perumahan Cerong Lanjut dan sekitarnya seringkali dilanda banjir kilat.

Kawasan Hentian Bas MBKT turut dilanda banjir pada 25 Mac lalu sebagaimana dilaporkan sebuah akhbar tabloid harian

Para peniaga berhampiran Hentian Bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) di sini merayu pihak MBKT agar dapat menangani masalah banjir kilat yang terpaksa dihadapi setiap kali hujan lebat sejak 20 tahun lalu.

Menurut seorang peniaga, Eyong Hang, mereka sudah beberapa kali membuat aduan kepada pihak MBKT namun tiada tindakan susulan diambil.

“Kalau hujan, kedai kami akan dinaiki air sehingga satu meter dan cuba bayangkan bagaimana kami hendak berniaga.

“Masalah ini sudah berlaku sejak 20 tahun lalu dan setiap kali hujan lebat, perniagaan kami pasti terjejas kerana dinaiki air,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Menurutnya, banjir kilat dipercayai berpunca daripada longkang yang terlalu sempit dan gagal menampung jumlah air yang banyak.

Seorang lagi peniaga yang enggan dikenali berkata, setiap kali banjir kilat berlaku, banyak kerugian terpaksa ditanggung.