Terengganu, Malaysia
Pendapat

Bajet Terengganu 2016; ‘Gula-gula’ Tidak Ada Manisan

Bajet Terengganu 2016; ‘Gula-gula’ Tidak Ada Manisan

Oleh : Muhd Shafie Ghazali

Gamis Terengganu mengucapkan syabas kepada kerajaan Negeri Terengganu di bawah kepimpinan Menteri Besar Dato’ Razif di atas pembentangan bajet 2016,dengan bertemakan ” Menjayakan Transformasi Mensejahterakan Rakyat  “. Dengan peruntukan sebanyak 2.103 billion, yang menyentuh segenap lapisan masyarakat dari sudut ekonomi, pembangunan, pendidikan dan sebagainya, ia satu bajet yang besar yang sepatutnya pengeluaran dan penggunaan bajet tersebut dapat dirasai oleh seluruh rakyat Terengganu tanpa mengira kepartian mahupun golongan-golongan tertentu.

Gamis akan menyentuh beberapa perkara dasar yang menjadi asas kepada pembangunan sesebuah negara,iaitu pembangunan modal insan yang mesti dititikberatkan oleh mana-mana kerajaan. Hal ini demikian kerana insanlah yang mentadbir dan mengurus kerajaan. Seandainya rosak insan, maka rosaklah kerajaan.

Gamis tidaklah mahu mengulas panjang berkenaan dengan peruntukan bajet yang dibentangkan,sebanyak manapun bajet yang dibelanjakan namun jika pengurusan, perbelanjaan dan hasilnya hanya membawa keuntungan kepada kroni-kroni tertentu, yang kaya terus kaya dan yang miskin terus miskin. Maka tinggi nilaian bajet tersebut hanyalah sekadar satu gula-gula yang tidak membawa kemanisan kepada rakyat Terengganu.

Pada masa yang sama juga, selaku sebuah ngo yang berlatar belakangkan mahasiswa Islam,tentulah suara kami adalah mewakili suara mahasiswa. Dalam aspek pembangunan modal insan, kos sara perbelanjaan mahasiswa menjadi salah satu agenda Gamis untuk disuarakan kepada kerajaan negeri dan pusat. Dengan potongan 15% dari sektor pendidikan sebagaimana yang dinyatakan oleh Perdana Menteri, maka kesannya dapat dirasai oleh universiti-universiti samada IPTA atau IPTS, yang menanggung bebannya adalah mahasiswa sendiri yang akan berbelanja lebih untuk menampung kos universiti masing-masing.

IMG_20151204_012921Sebagaimana yang dinyatakan oleh Presiden Gamis Pusat dalam kenyataannya, masalah ini akan membawa kesan kepada kenaikan yuran pengajian,lambakan pendatang asing,tekanan hidup mahasiswa dan sebagainya. Maka kami mengharapkan janji yang dinyatakan oleh Kementerian Pendidikan dapat ditepati bahawa dengan pemotongan tersebut tidak akan memberi kesan kepada mahasiswa.

Terengganu terkenal hebat dengan “Negeri Anjung Ilmu”, “Jaguh Sukan” namun hakikatnya ia hanyalah pengiktirafan untuk dibanggakan tanpa disedari anak-anak muda Terengganu dan amat menyedihkan apabila rakyat masih terbeban dengan kos sara hidup yang cukup tinggi, termasuk dengan gejala sosial yang semakin membarah. Kerajaan Negeri sepatutnya menyeimbangkan pembangunan fizikal dan mental rakyat,termasuk kebajikan rakyat yang sering diabaikan walaupun bajet sentiasa bertemakan untuk mengangkat kebajikan rakyat.

Tambahan pula, Gamis cukup kecewa dengan pengamalan demokrasi tempang yang masih diamalkan walaupun kita mengetahui bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi. Mengapa sidang dun masih tidak menyiarkan perbincangannya kepada rakyat supaya rakyat mengetahui saluran media yang betul? Bukan lagi dari saluran parti politik yang mempunyai kepentingannya tersendiri, yang akhirnya akan mengelirukan rakyat sahaja.

Sikap “gedebe” masih diamalkan lagi oleh pemimpin rakyat. Di zaman manakah kita berada sekarang ini? Adakah pemimpin yang dilantik adalah dari kalangan samseng? Dimanakah moral dan adab yang sepatutnya menjadi contoh kepada rakyat marhean?

Tuntasnya, janganlah meletakkan nilaian dunia tinggi .Namun, merendahkan nilaian akhirat. Maka, Gamis Terengganu dengan ini menyeru semua rakyat dan pemimpin-pemimpin kerajaan agar sama-sama menjadikan agenda pembangunan rakyat ke arah Wawasan Akhirat.

***Muhd Shafie Ghazali ialah Timbalan Pengerusi, Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS), Terengganu 2015.

KongsiWhatsAppTelegramThreadsX

Berita berkaitan