MARANG – Kerajaan Terengganu perlu segera membaiki beberapa kerosakan Pasar Pekan Bukit Payong, supaya memberi keselesaan kepada peniaga dan pengunjung pasar berkenaan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Payong, Ustaz Mohd. Nor Hamzah berkata, pasar itu, menghadapi masalah tiada bekalan air mencukupi dan kebocoran atap sejak tahun lalu.
“Kerajaan negeri perlu menyediakan peruntukan secukupnya untuk menyelesaikan masalah paip air tidak berfungsi dan kebocoran atap pasar ini, bukan hanya sekadar tampung (tampal) atap saja kerana ia tidak boleh atasi kebocoran, ” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pihak media, selepas membuat lawatan ke pasar berkenaan pada Ahad, 14 Januari
Katanya, beliau turut dimaklum oleh para peniaga, bahawa ketiadaan bekalan air paip berlaku di bahagian ‘basah’, jualan ikan, daging dan ayam.
Manakala katanya, kebocoran atap berlaku di beberapa bahagian pasar itu dan ia cukup mengganggu keselesaan peniaga dan pelanggan pasar, terutama ketika musim hujan.
Oleh itu, beliau berkata, masalah yang dihadapi itu merugikan peniaga kerana mereka membayar sewa sebanyak RM200 sebulan, sedangkan mereka menghadapi masalah tersebut.
“dan atap pula bocor, ini semua menimbulkan masalah kepada mereka dan orang ramai….apa salahnya kerajaan yang mempunyai kewangan yang banyak,
“yang diperuntukkan untuk ‘Zon (Pulau) Bebas Cukai’, sedikit sahaja untuk menukar saluran yang sangat bocor itu,” jelas beliau.
Ketua Penerangan PAS Terengganu itu berkata, pasar tersebut dibina atas tapak bekas ‘gelanggang futsal’ beberapa tahun yang lalu.
Para peniaga yang ditemui berkata, saluran atap yang bocor itu perlu diganti, kerana tindakan menampal hanya tempat-tempat yang bocor, tidak akan menyelesaikan masalah itu.
Mereka juga mengeluh kerana, bekalan air ke dalam kawasan pasar itu yang telah terputus sekian lama, sejak hari raya Eidul Adha tahun lalu, masih belum dibaik pulih sehingga ke hari ini.