Oleh KAM
KUALA TERENGGANU: Calon Timbalan Presiden Parti KeADILan Rakyat (PKR), Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali mengulangi janji kepada rakyat Terengganu, bahawa kerajaan Pakatan Harapan akan membayar royalti minyak kepada negeri ini.
Malah, katanya bukan lima peratus lagi tetapi 20 peratus bayaran royalti akan dibayar kepada kerajaan negeri Terengganu.
“Terengganu ini kaya, ada minyak, ada gas. Sekarang ini, kita (kerajaan pusat) nak bayar royalti kepada negeri Terengganu. Menteri Besar Terengganu, Dr (Ahmad) Samsuri Mokhtar datang berjumpa dengan saya di Kuala Lumpur.
“Azmin, bagaimana dengan royalti? Alhamdulillah, Perdana Menteri (Tun Dr Mahathir) mengambil sikap yang terbuka.
“Kita (kerajaan pusat) akan bayar apa yang menjadi hak kepada rakyat Terengganu ini. Memang kita janji nak naikkan lima peratus kepada 20 peratus. Kalau rakyat Terengganu dapat 20 peratus royalti minyak,…seronok,” ujarnya.
Beliau mengulangi janji-janji itu ketika berucap pada majlis Pidato Malaysia Baru Bersama Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, di sbuah Hotel di sini, Isnin 1 Oktober.
Program itu diadakan sempena lawatan kempen pemilihan PKR Terengganu dan Pusat yang akan diadakan di negeri ini, pada 5 Oktober.
Sehubungan itu, kata Dato’ Seri Azmin selaku Menteri Hal Ehwal Ekonomi bahawa PKR dan Pakatan Harapan berusaha merampas negeri ini daripada kerajaan PAS Terengganu.
“Tapi, kita (PKR) kena kuat. Kita mesti nampak sebagai gerakan rakyat di negeri (Terengganu) ini, untuk tiga tahun yang akan datang. Saya akan tumpukan ke negeri Terengganu.
“Saya mahu ahli PKR bangkit, bangun dan menjadi parti yang berwibawa, muncul sebagai kerajaan di Terengganu pada PRU ke-15,” tegasnya.
Menurutnya, hari ini PKR dan kerajaan Pakatan Harapan telah menang di peringkat Putrajaya kecuali negeri Terengganu.
Sempena kempen pemilihan PKR itu, kumpulan yang pro-Azmin sebagai Timbalan Presiden parti ‘menyerang’ kumpulan PKR lain yang diketuai oleh Naib Presidennya, Rafizi Ramli, melalui ucapan dan pidato masing-masing.











