Oleh : Safwan Syakir
KUALA TERENGGANU – Anak muda Terengganu diseru untuk menghadiri ke Himpunan Pemuda Islam Terengganu (HIMPIT) untuk menimba ilmu dalam dunia politik mengikut acuan Islam.
Timbalan Pesuruhjaya III PAS Terengganu, YB Dr. Alias Razak berkata, para pemuda merupakan peneraju masa hadapan negara yang akan menggalas tanggungjawab besar bagi mencorak kestabilan politik tanah air.
“Kegagalan memahami kepentingan berpolitik akan diambil kesempatan oleh bangsa lain yang akan memberi kesan negatif kepada agama, bangsa dan negara,” jelasnya.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri berkata demikian ketika diwawancara Pasca Himpunan Penyatuan Ummah di pejabat Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu (BPPNT) semalam.
Menurutnya, ilmu politik tiada dalam silibus pembelajaran di sekolah dan universiti.
Oleh itu, beliau menambah, medan sebeginilah menjadi tempat anak muda memanfaatkan sepenuhnya dengan menyertai pelbagai aktiviti menarik yang telah diaturkan .
“Jangan biarkan orang bukan Islam mencampuri urusan hal ehwal agama kita.
“Dan saya harap (para) pemuda berganding bahu bersama dengan arus perkembangan politik semasa tanah air,’’ ujar beliau.
Program HIMPIT yang diadakan di Padang Memorial Batu Bersurat, Kampung Buluh, Hulu Terengganu bermula pada 19 sehingga 21 September 2019.



























