Anak Muda Digesa Beramai-ramai Sertai Munajat Kembalikan Royalti

136

KUALA TERENGGANU – Anak muda digesa hadir beramai-ramai ke ‘Munajat Kembalikan Royalti’ bagi membantah tindakan kerajaan PHBN tidak menyalurkan royalti petroleum kepada Kerajaan negeri Terengganu

Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu (DPPNT), Mohd Harun Esa berkata tindakan zalim itu disifatkan sebagai memusuhi seluruh rakyat Darul Iman.

“Kezaliman ini adalah kenyataan yang tidak boleh disembunyikan lagi dan Terengganu menjadi mangsa, tidak sewajarnya berlaku setelah rakyat memberikan mandat kepada PAS dengan kemenangan 40 – 0,

“Penganiayaan kepada rakyat Terengganu ini sudah pasti akan dibalas oleh Allah berdasarkan hadis nabi (doa orang yang dizalimi),” tegasnya dalam satu kenyataan media.

Menurutnya, Ramadan bulan penuh keberkatan dan doa orang yang berpuasa mudah-mudahan dimakbulkan Ilahi.

“Bermunajat kepada Allah SWT atas segala kezaliman yang telah dilakukan untuk dibukakan hati para penzalim yang berkuasa,” ujarnya.

Katanya, DPPNT menyokong sepenuhnya Program Munajat Perdana Kembalikan Royalti kepasa Negeri Terengganu yang akan dianjurkan oleh Kerajaan Terengganu pada 6 April 2024 bertempat di Stadium Sultan Ismail.

“Royalti adalah hak rakyat Terengganu untuk dinikmati dan tidak boleh dinafikan begitu sahaja oleh mana-mana pihak yang bermusuhan secara politik dengan kerajaan PAS Terengganu,” katanya