Amphicoach; Rakyat Rugi Hampir RM3 juta

2952

KUALA TERENGGANU – PAS kesal dengan kegagalan dan kecuaian kerajaan dalam pembelian bas dua alam ‘Amphicoach yang mungkin akan mengakibatkan kerugian kepada rakyat Terengganu hampir RM3 juta.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alur Limbat, Haji Ariffin Deraman hairan, dan mempersoalkan mengapakah perlu proses pemerolehan kenderaan itu menggunakan khidmat kontraktor sebagai orang tengah.

Menurutnya, maklumat yang beliau perolehi, rancangan asal ialah membeli terus dari syarikat terbabit yang beroperasi di Republik Malta, Eropah.

“Saya ada berbincang dengan bekas Menteri Besar, yang juga ADUN Kijal Dato’ Seri Ahmad Said, (dan) beliau juga hairan macamana adanya orang tengah,

ADUN Alor Limbat, YB Ariffin Deraman

“yang menjadi perantara pembelian yang menyebabkan harga bas ini jauh lebih mahal,” kata beliau.

Katanya, PAS telah bertegas sejak dari awal tidak bersetuju dengan pembelian bas itu yang dilihat sebagai satu pembaziran, kerana faktor alam sekeliling dan kos penyelenggaraan.

Beliau yang ditemui selepas pembentangan Bajet 2018 Persidangan Dewan Undangan Negeri pada Isnin 11 Disember, di Wisma Darul Iman, turut memaklumkan bahawa kos pembelian telah meningkat kepada RM3.1 juta.

Tegasnya, ia adalah satu jumlah wang rakyat yang besar, untuk dipertaruhkan.

“Amphicoach telah dicadangkan pada (tahun) 2013 lagi dan dibeli sekitar 2014 dan dijangka tiba 2015 dan sekarang ini 2016,

“(dan sekarang) 2017 berakhir dah, masuk 2018, sampai sekarang, belum sampai lagi,” ujarnya kesal.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abdul Rahman ketika menjawa soalan yang beliau kemukakan menjelaskan bahawa kerajaan telah membayar sejumlah RM2.745 juta kepada Alam Perkasa Teknologi Sdn Bhd (APTSB).

Namun menurut Razif, sehingga kini kenderaan tersebut masih belum diterima.

Beliau yang tidak menjelaskan dengan lebih lanjut siapakah pemilik syarikat APTSB itu, memberitahu persidangan bahawa, kerajaan negeri akan mengambil tindakan undang-undang terhadap syarikat terbabit pada 16 November.

Ia adalah terlewat daripada janji beliau sebelum ini iaitu pada 5 November.

Soalan lisan asal berkaitan turut dikemukakan oleh wakil kerajaan dari DUN Air Putih, Wan Abdul Hakim Tan Sri Wan Mohktar (BN).

Ariffin juga mengemukakan soalan yang hamper sama tetapi menambah, siapakah kontraktor terbabit dan berapakah kos yang telah dibayar oleh keranaan negeri Terengganu.

Beliau yang kemudiannya bangun, bagi mengemukakan soalan tambahan lain, tetapi tidak dibenarkan oleh Speaker DUN, Dato’ Zubir Embong atas alasan kesuntukan masa.

Sidang DUN Terengganu bagi pembentangan Bajet 2018 dijadualkan berlangsung bermula Isnin 11 Disember sehingga Khamis 14 Disember 2018.

Isu berkaitan kegagalan kontraktor untuk membeli kenderaan ‘kontroversi’ yang dilantik oleh kerajaan bagi membekalkan Ampicoach, menghangatkan sidang DUN Terengganu yang terakhir penggal ini, yang bermula semalam.