‘Ameerah Masuk Kampung’ Dekati Golongan Wanita Muda

3096

Oleh : Sumaiyyah dan Shafira

Ameerah Terengganu buat julung-julung kalinya memperkenalkan satu program yang diberi nama ‘Ameerah Masuk Kampung’ sebagai suatu usaha mendekatkan masyarakat kepada PAS khususnya golongan wanita muda.

Program itu dirangka khusus untuk kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) terpilih di negeri ini sebagai gerak kerja pencetus momentun menuju Pilihanraya Umum (PRU) ke-14 akan datang.

DUN Jabi dipilih sebagai lokasi pertama bagi menjayakan program tersebut dengan kerjasama Majlis Tindakan Dun (MTD) Jabi, Muslimat PAS Dun Jabi, serta Ameerah Kawasan Setiu.

Pelbagai aktiviti menarik diadakan seperti pertandingan sukaneka dan pertandingan, mencuri perhatian masyarakat setempat termasuk golongan wanita, ibu muda serta kanak-kanak.

Yang Di-Pertua PAS Kawasan Setiu, Ustaz Shahrilzurkarnain Abd Kadir dalam ucapannya ketika merasmikan program ini menyatakan, “Program ini adalah satu inisiatif yang sangat bagus bagi Ameerah untuk menyebarkan Islam, mengambil berat hal kebajikan dan masalah yang dihadapi oleh masyarakat.”

Selain itu, tidak ketinggalan agenda penting yang menjadi simbolik dalam program ‘Ameerah Masuk Kampung’ iaitu ziarah ke rumah-rumah pengundi wanita muda.

Sebanyak lebih daripada 10 buah rumah sempat diziarahi oleh ‘Team Ameerah’ yang mana turut disertai oleh 4 orang wakil daripada Ameerah Negeri Terengganu.

Rata-rata penghuni rumah yang diziarahi tidak mendapat pendedahan malah tidak pernah mendengar berkenaan Ameerah, sebagai sebuah entiti muslimat muda dalam PAS.

Setiausaha Ameerah Negeri Terengganu, Asma Abdullah ketika ditemui berkata, “Semoga program ‘Ameerah Masuk Kampung’ ini dapat memperkenalkan PAS dan menyampaikan dakwah Islam kepada masyarakat khususnya golongan wanita muda, dan diharapkan agar program seperti ini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang.”

Program yang berlangsung hampir sehari di Kampung Kerandang, Jabi ini dijangka berlangsung di Dun-dun yang terpilih pada tarikh yang telah disusun sehingga menjelangnya PRU-14.