Oleh: Dr Azman Ibrahim
Sebelum daripada isu ini jadi mainan media, baik saya tulis dulu.
Secara peribadi saya rasa agak terkejut bila sebahagian perwakilan dalam Muktamar Pemuda PAS Malaysia ‘terpaksa’ melangkah keluar dewan sebaik sahaja Timbalan Presiden Tuan Hj Muhammad Sabu memulakan ucapan perasmian.
Hati kecil saya mengatakan bahawa sahabat-sahabat para perwakilan tersebut juga melangkah keluar dengan hati yang dibalut pilu lantaran terpaksa mengambil tindakan di luar kebiasaan ini.
Saya tahu mereka semua adalah sahabat-sahabat yang cintakan perjuangan dan sayangkan kepimpinan ulama bagi meneruskan kesinambungan kepimpinan Harakah Islamiyah ini.


Memang kalau nak dibandingkan mehnah dan tribulasi perjuangan yang telah dilalui oleh anak-anak muda ini berbanding dengan garam yang telah dimakan oleh Hj Muhammad Sabu, ianya agak jauh.
Tetapi banyaknya garam yang dimakan bukan bermakna kita boleh mencorakkan resepi perjuangan mengikut selera kita.
Dalam nak mencampurkan bahan-bahan dan mengadunkan rempah, Tuan Hj Muhammad Sabu masih terikat dengan garis panduan dalam buku hidangan resepi yang tersedia.
Saya melihat, kesilapan utama Tuan Hj Muhammad Sabu sebagai pemimpin nombor 2 parti yang mengguris hati anak-anak muda sehingga akhirnya beliau dimalukan adalah tindakan beliau yang berterusan mengeluarkan kenyataan demi kenyataan yang bercanggah dengan Presiden dan Majlis Syura Ulama ditambah lagi dengan dengan janji yang beliau laungkan semasa kempen pemilihan Timbalan Presiden, di mana beliau berulang kali menyatakan tujuannya bertanding jawatan nombor 2 parti ini adalah bagi mempertahankan dan membantu Presiden.
Samada beliau sedar atau tidak, hakikatnya sebahagian besar ahli dan penyokong parti menilai bahawa janji ini telah dimungkiri.
Lebih parah bila begitu ketara sekali beliau kelihatan memberikan wala’ dan kepercayaan kepada kepimpinan parti lain dalam isu-isu besar yang sedang dihadapi.


Tindakan-tindakan dalam bentuk bantahan spontan seperti ini mungkin akan dapat dilihat lagi sepanjang sesi muktamar. Saya merasakan akan ada lagi nanti di kalangan AJK PAS Pusat yang akan senasib dengan Tuan Haji Muhammad Sabu.
Paling kurang pun mungkin ada yang akan merah muka dan telinga kena booo.
Kita sayangkan semua kepimpinan kita dan berharap mereka bertemu jalan kembali untuk kita bulatkan semula tekad, fikrah dan tindakan dalam rangka disiplin berjamaah.
Kalau tidak…
Orang tua biasa sebut, ‘akan bertemu Rabu dengan Khamis!’
Tapi saya nak ubah sikit, Apa yang dialami Tuan Haji Muhammad Sabu hari ini ibarat telah bertemu Rabu dengan Wednesday!



























