Oleh : Naraza Muda
J3K belum sah lagi, saya tak tahu nak buat macamana. Jawapan sebegini tidak kedengaran di kampung-kampung seolah melepas tanggungjawab. Sebaliknya kedengaran kami akan cuba selesaikan, walaupun kami masih belum disahkan secara rasmi sebagai J3K.
Dari urusan kekecohan dana raya hingga ke rumah penduduk ditimpa musibah, ahli jawatankuasa cawangan PAS lah yang berfungsi sebagai J3K buat masa ini selepas sebulan setengah Kerajaan Rakyat tertubuh di Terengganu.
Berlaku sedikit sebanyak hal penggunaan Balai Raya atau Balai J3K, mereka menguruskan dengan baik. Mereka merujuk kepada Yang Berhomat atau pimpinan parti. Mereka terpaksa berurusan dengan Penghulu Mukim untuk menyelesaikan masalah keperluan penduduk berkaitan penggunaan ini kerana banyak program kenduri kendara selepas sambutan hari raya.
Malahan mereka bertindak lebih dari itu. Ada diantara mereka melancarkan derma sesama sendiri untuk membantu mangsa ribut dan penduduk yang ditimpa musibah. Mereka tidak merungut atau menjawab lepas tangan seperti tunggu peruntukan dari kerajaan, padahal mereka sudah ada kerajaan Rakyat.
Inilah sikap sebahagian besar kepimpinan Pas cawangan. Mereka seperti sudah biasa menjadi kerajaan. Mereka tidak kekok atau terkena badi kejutan budaya apabila menjadi kerajaan. Mereka sudah terbiasa dengan gerak kerja cawangan Pas sebelum ini.
Mereka mulai menjadikan aktiviti masyarakat ini sebaik sahaja Pas tewas pada 2004. Mereka tidak lari dari tanggunjawab masyarakat. Mereka berkerja sehingga selepas 14 tahun mereka menjadi kerajaan kembali. Bukan satu waktu yang singkat mereka menjadi cawangan Pas yang ditindas oleh kerajaan Barisan Nasional sebelum ini.
Kini mereka praktikan apa yang sudah mereka amalkan. Dari bayi baru lahir sehinggalah ke urusan pengurusan jenazah. Orang Pas tidak kekok menyelesaikan dan membantu penduduk terutama di kampung-kampung. Bila mereka dianugerahkan Kerajaan Rakyat walaupun pun urusan perlantikan mereka sebagai kerajaan kecil di peringakat paling bawah, mereka mampu terjemahkan tanpa runggutan.
Apakah ahli-ahli umno mampu lakukan seperti ahli-ahli Pas Cawangan ini amalkan? Ini satu perkara yang mungkin menjadi dilema kepada umno.
Manakan tidak, ramai calon-calon mereka sebelum ini melepaskan jawatan selepas kejatuhan, yang memang pun ada yang melarikan diri sama ada melompat parti atau sembunyikan diri tanpa dikesan pengundi mereka.
Ahli umno sewajarnya menjadikan gerakerja Pas cawangan sebagai amalan baru mereka, belajar menjadi pembangkang yang baik dan juga menonjol aktiviti parti sebagai kerja teras mereka selepas tsunami penolakan kepada umno. Apakah mereka mampu menganti Pas sebagai pembangkang yang baik? Lima tahun bukan lama. Anda mampu menjadi Pas….






























