Oleh: Dr Azman Ibrahim
Heboh dalam media beberapa hari lalu kononnya harga getah naik RM10 sekilogram. Maka bertalu-talulah suara-suara memuji pihak kerajaan atas usaha yang dilakukan sehingga penoreh getah menikmati harga yang ‘begitu tinggi’.
Tak semua faham selok belok getah malah majoriti rakyat Malaysia tak tahu tentang getah industri getah. Tentu mereka dengan mudah akan percayakan khabar ini.
“Beruntunglah orang nnoreh getah!” Kata mereka.
Malah ada yang menaambah, “Masa getah turun penuh mulut duduk kutuk kerajaan, time getah naik tak ada pula dengar suara puji kerajaan!”
Sebelum ni getah SMR 20 pernah sampai RM15 sekilo. Apa yang gahnya sekarang bila harga SMR naik kepada RM10 sekilo?
Hakikatnya getah sekerap dimusim tengkujuh ini harganya turun naik dalam masa seminggu dua ini antara RM4 – RM5 sekilogram. Agak meningkat berbanding sebelum ini sekitar RM3 lebih.
Tapi jangan ingat penoreh getah boleh menoreh sepanjang tahun sebagaimana Pak Menteri dapat gaji dan elaun setiap bulan sepanjang tahun.
Sejak 2 hari lepas, hujan turun dengan lebatnya di sekitar Negeri Terengganu dan Kelantan. Kawasan DUN Jabi tak terkecuali sehingga beberapa kawasan kampung mula dinaiki air pada malam semalam. Antara lokasi terlibat ialah Kampung Padang Lengkuas, Kampung Tok Dor, Kg Dalam Huma, Kampung Kerandang dan Kampung Pondok Paku yang dihuni ramai warga yang memiliki pisau toreh di rumah.
Dari sejak awal pagi tadi, saya bersama petugas PAS Jabi, kami bergerak ke segenap ceruk kampung yang dinaiki air di Jabi, menyantuni mangsa banjir sekadar daya dan upaya.
Air hujan walau ianya memenuhi cawan susu getah, tetap tak laku untuk dijual. Ketika ini kalau harga getah sekerap naik mencecah RM15 sekilogram sekalipun, ianya hanyalah satu gurauan yang tak lucu bagi masyarakat penoreh.
Tiada yang memahami derita penoreh getah kecuali mereka yang mengerti.
Tak lama lagi selepas habis musim hujan, pokok getah akan melalui musim daun luruh. Bila daun luruh, pokok getah akan berehat dari mengeluarkan susu. Daun-daun yang berguguran juga tak laku untuk dijual.
Inilah kitaran rezeki seorang penoreh…