Air Berkocak, Buaya Pun Timbul……..

3708

Oleh: Dr Azman Ibrahim

Biasa kita dengar peribahasa, air yang tenang jangan disangka tiada buaya walaupun sebenarnya habitat buaya adalah di air yang tenang. Dalam ketenangan air itulah, buaya bergerak secara perlahan dan senyap sambil menunggu peluang untuk menyambar mangsa.

Sesekali buaya ini akan timbul untuk mendapatkan bekalan oksigen sambil mengintai habuan makanan yang seterusnya. Buaya tetap buaya dan ia tak akan menjadi mengkarung.

Antara sifat buaya ialah, haiwan ini akan menyambar dengan tiba-tiba lalu mangsa dimatikan dan mangsa ditelan dengan gelojoh. Menatang ini akan baham apa saja demi mengenyangkan perut samada manusia atau binatang lain tanpa belas kasihan.

Walaupun buaya banyak gigi, sebenarnya buaya tidak mempunyai kemampuan untuk mengunyah makanan sehingga hancur supaya mudah dihadamkan. Sebab itulah orang tua-tua ada ibarat dan nasihat, “jangan telan makanan serupa buaya!”
Dalam sebuah kolam yang tenang memang buaya pandai menyembunyikan diri. Senyap ini bahaya!

Sesekali bila air kolam berkocak dan berombak dengan kuat, maka buaya tak akan mampu lagi mempertahankan sifat waraknya lalu muncullah ia menunjukkan dirinya. “Akulah seekor buaya!!”

Orang yang tak pernah tengok secara buaya live pun boleh kenal. Bila dah timbul dipermukaan air, crocodile tak akan mampu menyamar lagi.

“Oooo… ini buaya rupanya. Selama ni aku ingatkan dalam kolam ni cuma ada ikan. Sungguh tak ku sangka!”

Tapi buaya jangan fikir bahawa dia masih raja dalam air. Sekarang ni ramai crocodile hunter. Kulit buaya mahal weehh!!

Suka tak suka kalau kita nak kolam ini dan persekitarannya kembali selamat, buaya itu perlu ditangkap dan dinyahkan. Kalau tak bunuh pun, hantarkan menatang ini ke tempat yang sepatutnya seperti zoo atau taman buaya. Biar dia berkawan sama-sama buaya. Mana boleh berkeliaran dalam persekitaran manusia kerana kita tak pernah percaya bahawa buaya boleh jadi baik!

Walaupun saiz dan rupanya berbeza serta ada macam-macam nama buaya tetap buaya sekalipun dipanggil dengan nama buaya tembaga, buaya katak, bujang senang, buaya siam, buaya jejulong dan banyak lagi.

Mungkin ramai yang setuju dengan saya kalau saya katakan, diantara semua spesis ini, yang paling bahaya adalah buaya darat dari subspesis buaya politik. Buaya darat ini pakainya sama macam kita, baju kemeja, baju melayu siap bersamping, seluar slack, berkasut malah ada ketikanya bersongkok dan berkopiah, pakai handphone canggih yang ada fasiliti untuk print screen, kadang-kadang siap dengan Bluetooth.

Inilah buaya yang berupa manusia. Memang merbahaya bila berkeliaran di tengah-tengah manusia dan ianya tak dikenali. Tetapi sama juga macam spesis buaya dalam air, ada masanya bila berlaku kepanasan suhu yang membahang serta fenomena ombak politik yang sedikit luar biasa, maka buaya darat ini tak dapat lagi menyamarkan diri lantas dalam keadaan sedar atau tanpa sedar, segala tindak tanduknya menyebabkan dirinya dikenali. Warning! Crocodile detected!

Sebagaimana kocakan kuat air kolam membawa rahmat dengan kita tahu bahawa dalam kolam itu ada buaya maka fenomena ombak politik juga tak terkecuali. Nah! Telah timbul seekor demi seekor spesis buaya darat politik tanpa perlu diseru oleh pawang buaya. Heh! Heh! Mudahlah untuk kita jerat! Yang penting jerat dulu. Lepas ni kita kira semula nak hantar ke mana.