Agih Sumbangan Tanpa Mengira Perbezaan Politik

2602

SETIU – Pemuda PAS mengagihkan sumbangan yang diamanahkan oleh penderma kepada semua golongan tanpa mengira perbezaan kefahaman dan ‘ideologi’ politik.

Ketua Pemuda PAS DUN Batu Rakit Ustaz Mohd Shafizi Ismail berkata, kami mengagihkan sama rata kerana mereka adalah rakyat juga cuma berbeza kemampuan untuk menyara kehidupan seharian tambahan pula di bulan Ramadhan.

“Pengagihan sumbangan barangan keperluan asas ke POS Pemuda Cakna Batu Rakit yang baru diwujudkan pada hari selasa lalu,

“dan satu kejayaan yang besar dapat dilihat setelah ramai individu yang berbesar hati mengamanahkan kepada kumpulan pengurusan POS tersebut sepanjang POS itu dibuka,

“serta terdiri daripada kalangan Pemuda PAS Batu Rakit secara sukarela untuk berbakti tenaga dan masa agar sumbangan selamat diagihkan kepada golongan yang memerlukan,” katanya.

Beliau yang juga bekas calon PAS Batu Rakit berkata demikian dalam laman sosial pada hari Jumaat, 18 Mei.

Katanya, permulaan pengagihan sumbangan berjaya disalurkan lebih 20 buah keluarga di sekitar Kampung Pengkalan Atap, Kubur Timah, Mengabang Lekor, Pantai Batu Rakit, Tanjung, Wakaf Tengah dan Darat Batu Rakit.

Beliau berkata, golongan penerima yang dimaksudkan adalah terdiri daripada fakir miskin, orang sakit, ibu tunggal, anak yatim, dan mana-mana individu serta keluarga yang betul-betul memerlukan.

“Setakat ini tiga POS Cakna telah diwujudkan sebagai tempat penyimpanan barangan keperluan asas tersebut iaitu di Kampung Padang Polis berdekatan bulatan, kedai Kak Tie di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Mizan Zainal Abidin (STEMZA) di Kampung Maras, dan hadapan rumah Suhaimi (Pok Mi Ikan) di Kampung Tanjung Gelam Mengabang Telipot,

“dan Insya Allah kami akan meluaskan lagi lokasi bagi tujuan baik ini di lain tempat agar semua pihak dapat berkongsi hasil pendapatan serta sumbangan mereka kepada masyarakat setempat yang kurang bernasib baik,” ujarnya.

Menurutnya, sumbangan keperluan asas seperti beras, gula, minyak, telur, tepung gandum, biskut dan lain-lain diperlukan mengikut kemampuan para penderma.

“Sepanjang tempoh program ‘Cak’ne Golongan Miskin” diadakan barangan keperluan tidak berhenti diterima dari pihak yang ringan menderma untuk berkongsi pendapatan mereka,

“dan dalam masa yang sama kami diberi banyak sokongan oleh masyarakat setempat malah ada juga dari luar agar program baik ini dilakukan secara berterusan agar dapat membasmi masalah kemiskinan.

“serta kami berusaha untuk menjayakannya sebagai satu kerja amal dengan niat kerana Allah Taala,” jelas beliau.