96.92 Tan Sisa Makanan Sehari

1514

KUALA TERENGGANU – Dianggarkan sebanyak 96.92 tan sisa makanan sehari dibazirkan ke tapak pelupusan sepanjang bulan Ramadan tahun ini di Kuala Terengganu dan Kuala Nerus.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, angka tersebut merupakan hasil kajian yang telah dijalankan oleh SWCorp Terengganu.

Menurutnya, kajian itu dijalankan dengan mengambil kira purata penghantaran sisa ke tapak pelupusan keseluruhannya sebanyak 244.70 tan sehari sepanjang bulan Januari sehingga April lalu.

“Oleh itu, SWCorp telah melancarkan kempen Hargai Makanan, Elakkan Pembaziran (Value Food, No Waste) peringkat negeri sebagai usaha mengajak orang ramai membeli secara berhemah bagi mengelak pembaziran sisa makanan,” katanya.

Pelancaran kempen itu serentak dengan Operasi Bersepadu Bazar Ramadan melibatkan beberapa agensi penguatkuasaan di bazaar Ramadan Batu Burok, di sini semalam.

Hadir sama Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Mohammad Omar dan wakil dari SWCorp.

Dr Alias berkata, kempen itu secara dasarnya bertujuan mengajak orang ramai supaya membuat pengasingan sisa makanan selain menggalakkan penggunaan plastik boleh urai (Biodegradable Plastic) dan pengurangan polistrene di bazar Ramadan.

“Dengan aktiviti penguatkuasaan dan kawalan disamping kempen-kempen yang dijalankan, sedikit sebanyak diharap dapat menatijahkan komitmen kerajaan dalam memberi khidmat kepada masyarakat,” katanya. – Sinar Harian