70 Tahun Rebah Bangun, Namun Islam Tetap Digenggam

78

Setelah 70 tahun dipersada politik tanahair dan bergelumang juga di peringkat antarabangsa, Parti Islam Semalaysia, PAS, alhamdulillah dengan izin Allah, masih teguh berdiri dan relevan dengan peredaran politik semasa. Walau cuba dibunuh oleh musuh dengan segala usaha mereka, namun, dengan kekuatan wahyu sebagai asas perjuangan, PAS mengecewakan mereka.

Politik bukan lah satu-satunya lorong perjuangan PAS. PAS juga menjadikan dakwah dan tarbiyah sebagai lorong-lorong yang lain, yang mana tidak kurang pentingnya bagi memandu ummah ke jalan yang benar. Kejayaan dalam politik akan memberikan peluang dan ruang yang lebih luas kepada dua lagi elemen penting itu, dakwah dan tarbiyyah.

Sentiasa terbuka dalam semua perkara kecuali aqidah, adalah resepi utama PAS untuk berjaya dalam cabaran ini. Percaturan politik sentiasa berubah mengikut zaman. Begitu juga kaedah dakwah dan tarbiyyah. Sebagaimana pesan Saidina Ali, kita mesti mengikut zaman bagi mendidik generasi kemudian.

Namun begitu, lembut bukan menyerah terus, tetapi mengendurkan keadaan supaya tidak menjadi tegang. Biar sedikit lambat, asalkan Islam mendapat manafaatnya. Dan terbukti, dalam semua sikap keterbukaan PAS itu, Islam mendapat pulangan yang menguntungkan. Sejarah terlalu panjang untuk ditulis bahawa kesungguhan PAS dalam menjalankan dakwah, tarbiyyah dan juga berpolitik diakui bukan sahaja di Malaysia, malah juga di dunia.

Pada era baharu politik sekarang, PAS lebih melihat kepada keutamaan menjadikan perpaduan ummah sebagai perkara yang mesti diusahakan dengan lebih giat, walaupun semenjak dahulu, PAS telah mengusahakannya. Oleh itu tema Muktamar ke-67, Islam Menyatukan Ummah amat sesuai kerana perpecahan ummah menjadikan musuh agama akan mendapat laba dengan berbagai rencana mereka seperti ingin membawa negara ke arah liberal.

Muktamar ini amat penting sebelum PRU akan datang, pesan Presiden kepada perwakilan. Berkewajipan menyatukan semua kaum dalam negara Malaysia. Dan penyatuan itu wajib lah dilakukan dalam kalangan umat Islam terlebih dahulu. Agenda ini adalah kesinambungan yang dibawa oleh Rasulullah SAW. Ini lah yang sukar difahami oleh rakan-rakan di luar PAS. Ketakutan menyelubungi, bimbang PAS akan mendapat keuntungan yang lebih. Sedangkan PAS hanya mahukan Islam naik.

Antara rahmat Allah ialah adil kepada semua manusia. Dan pendekatan secara damai itu adalah diutamakan oleh Rasulullah SAW dengan menyeru ke arah mentauhidkan Allah, terima lah Islam, nescaya kamu selamat. Muawjahah silmiyyah atau pertembungan secara damai, sudah lama diamalkan oleh PAS. Apa sahaja peluang bagai gencatan politik, PAS sanggup menerimanya bagi mengurangkan pertembungan dan melebihkan perbicangan di meja rundingan. Ini lebih baik.

Penyatuan ummah mesti diasaskan kepada tiga perkara utama iaitu adil. Mesti adil kepada semua walaupun terhadap musuh. Adil dalam Islam ialah meletakkan sesuatu itu pada tempatnya. Berlawanan dengan zalim. Zalim akan membawa kepada kegelapan. Tiada sesiapa yang suka dizalimi. Maka ini lah yang Islam bawakan. Kedua, mesti melihat manusia adalah satu keluarga besar walaupun terdiri daripada berlainan bangsa dan agama.

Manusia berasal daripada nabi Adam. Kita mesti mengambil kira semua manusia dalam dunia ini bagi bersatu. Samada mereka Islam mahupun bukan. Dakwah, kita mesti lakukan dan hidayah itu milik Allah. Bagi membina tamadun, semua orang diperlukan, tiada beza bagi hal dunia. Hanya sahaja keimanan yang membezakan kita semua.

Ketiga Islam mesti memimpin. Kuasa yang dimiliki oleh raja-raja sebelum Islam, diberikan kembali kuasa kepadanya, sekiranya mereka memahami Islam. Bertolak daripada titik ini lah PAS memilih untuk melebarkan perpaduan ummah, bukan tertentu hanya dengan Umno sahaja. Dalam syarat ketiga ini, maka PAS menawarkan kepada semua parti Islam agar memahami Islam dan bergerak menurut kehendak Islam, manakala PAS tidak meminta jawatan kerana memahami konsep ini.

PAS bukan sebuah parti yang hanya digunakan ketika susah dan ditinggalkan selepas itu. PAS sudah lama menegaskan bahawa PAS bukan lah parti anak tangga yang dipijak orang, guna untuk naik atau sekadar penumpang dalam pakatan. Oleh itu PAS mesti diberikan hak yang sama dalam menentukan halatuju mana-mana pakatan yang disertai PAS.

PAS berjaya membuktikan yang PAS bukan hanya beromong kosong kerana PAS adalah satu parti yang berintergriti. Sehingga kini, PAS tidak pernah dibuktikan menyeleweng dalam pentadbirannya. Baiah dalam PAS juga adalah penyekat bagi calon PAS daripada berkhianat selain daripada kematangan calon dan juga latar belakang yang menjaga amanah Allah.

Mari lah sama-sama kita berdoa kepada Allah supaya penyatuan atas nama Islam, akan berhasil bagi kita mendepani cabaran yang semakin kritikal dengan serangan musuh dari pelbagai sudut.

Ulasan dari ucapan dasar oleh Presiden PAS – dalam tajuk Prinsip Penyatuan Ummah

Mohd Nasir Abdullah
7 November 2021