4,000 Hadir Rumah Terbuka ADUN Kuala Berang

4416

HULU TERENGGANU – Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Adun Kuala Berang, Dr Mamad Puteh di kediaman beliau di Taman Kenanga, di sini, semalam, meriah dengan kehadiran kira-kira 4,000 hadirin pelbagai peringkat umur.

Menurutnya, penganjuran majlis sambutan itu bukan sekadar untuk meriahkan Syawal tetapi juga menjadi ruang terbaik bagi bertemu dengan rakyat khususnya pengundi dalam Dun Kuala Berang.

“Sedia maklum, PRU14 baharu sahaja diadakan 9 Mei lalu dan adanya sambutan rumah terbuka sebegini diharapkan dapat kukuhkan kembali segala ukhwah dengan semua pihak.

 

“Sejajar dengan politik matang dan sejahtera, cara ini juga dapat mewujudkan hubungan baik antara kerajaan negeri dengan seluruh rakyat di Terengganu tanpa mengira sebarang fahaman politik.

“Selain itu, ia secara tidak langsung bagi meraikan para petugas parti yang bertungkus-lumus memastikan kemenangan dalam PRU14 lalu,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, di sini.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau, serta keluarga turut mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri serta memohon maaf zahir dan batin kepada semua. – SH