KUALA NERUS – Sebanyak 40 ekor lembu telah dikorbankan sempena Aidiladha di Maahad Tahfiz Wal Tarbiyah (MTT) dekat sini, hari ini.
Mudirnya Ustaz Muzaihar Kamal Mustafa Kamal mengucapkan syukur atas sokongan orang ramai yang bersama-sama menyertai ibadah secara ‘berjamaah’ tersebut.
“Alhamdulillah, di Maahad Tahfiz (MTT) hari ini kita sembelih lembu korban sebanyak 16 ekor dan jumlah keseluruhan (ialah) 40 ekor, akan disembelih (bakinya) pada hari raya ketiga,
“mudah-mudahan ibadah korban yang dilakukan pada hari ini diterima Allah, kami berterima kasih kepada mereka yang bersama pada kali ini,“ ujarnya.


‘Hari raya korban’ di sambut oleh umat Islam di seluruh negara pada hari ini memberikan makna yang besar kepada pengorbanan.
Presiden PAS dalam perutusannya sempena perayaan tersebut berkata, hari raya ini kita menyembelih binatang ternakan, melakukan ibadat korban yang tidak sama dengan sembelihan memuja syaitan yang diamalkan oleh penganut agama lain.
“Kita menyembelih kerana Allah dan membuat kebajikan sesama kita dengan perintah Allah. Jadikanlah hari raya ini untuk mendekatkan diri kepada Allah dan mengeratkan lagi kasih sayang,
“dan semangat persaudaraan Islam yang membawa berkat kepada kehidupan di dunia dan keselamatan di Hari Akhirat,” tegasnya.


Sementara itu, Menteri Besar Terengganu Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar melakukan ibadah yang dituntut tersebut, di kawasan yang beliau wakili, Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhe Rendang.
Dalam perutusannya sempena hari raya itu beliau menyeru agar rakyat Terengganu mencontohi pengorbanan Nabi Ibrahim.
“Dalam konteks dunia pada hari ini, konsep pengorbanan itu sendiri mencakupi makna yang lebih luas dan mendalam.
“ Ia menuntut sebuah tanggungjawab, terutamanya dari segi masa, tenaga, wang ringgit dan sebagainya dalam menyumbang ke arah pembangunan bangsa, agama dan negara.
“Konsep itu wajar diteladani oleh kita semua umat Islam terutamanya ketika keadaan negeri kita baru sahaja bertukar tampuk pemerintaha,” jelasnya.
























