Pilihan Raya Negeri Sawak; PAS Bakal Cipta Sejarah

1632

PAS bakal mencipta sejarah baharu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak, berdasarkan sokongan serta perkembangan mutakhir politik di negeri tersebut.

Penolong Setiausaha PAS Terengganu, Hanafiah Mat berkata berdasarkan sambutan rakyat Sarawak khususnya masyarakat setempat dengan kehadiran rombongan daripada Terengganu cukup menyakinkan PAS.

Ini kerana, katanya PAS telah mempunyai seorang pemimpin parti di kalangan anak tempatan yang dikenali ramai.

kam3085(d)-sarawak4“Saya nampak peluang (menang) itu cerah dengan gerak kerja mesti digerakkan oleh orang tempatan di (Dun) Sadong Jaya itu sendiri.

“Saya mengharapkan pada (pilihan raya) kali ini, Dun Sadong Jaya akan mencipta sejarah dengan pertolongan daripada PAS negeri Terengganu.

“Kita (PAS) sudah bertanding pada pilihan raya lepas, dapatlah sekitar 2000 undi dan kali ini kita (PAS) akan tampilkan calon yang berasal daripada Sadong Jaya itu sendiri yang merupakan bekas Pengetua Sekolah Menengah di situ.

“Sepanjang perjalanan saya dengan Cikgu Hassan, saya rasa ramai orang kampung yang sudah mengenali beliau sebagai seorang bekas guru,” ujarnya kepada Harakah.

Menurutnya, pada PRN Sarawak ke-10 tahun 2011 yang lalu, PAS telah bertanding di Dewan Undangan Negeri (Dun) Sadong Jaya tetapi masih belum menang.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Chukai mendakwa rakyat Sarawak yang terdiri dari kaum Melayu, Bugis, Jawa, Iban dan Bidayuh menerima baik kedatangan rombongan PAS Terengganu.

“(Dan) mereka mengharapkan bahawa suatu masa kelak PAS akan diterima oleh rakyat Sarawak sebagai sebuah parti yang boleh memerintah negeri.

kam3085(a)-sarawak1“Kita (PAS) pergi ke seluruh Dun Sadong Jaya dalam Parlimen Batang Lupang dan kita ketemui hampir keseluruhan penduduk-penduduk yang mewakili kampung masing-masing.

“Sehinggalah kampung terakhir kampung orang Iban, rumah panjang dan saya dapati mereka (penduduk) sangat ceria untuk bertemu dan berbincang dengan kita (PAS),” jelasnya.

Justeru itu, Hanafiah yang juga Timbalan Pengarah Pilihanraya PAS Terengganu berharap agar ada penerusan kerja rombongan lain selepas ini dalam misi dakwah dan kebajikan kepada rakyat di Sarawak.

“Saya harapkan rombongan yang akan datang, dapat meneruskan kerja-kerja kebajikan bersama masyarakat sama ada menyampaikan bantuan kewangan, bekalan makanan dan juga kerja-kerja gotong-royong.

“(program) Membaiki jambatan-jambatan pendek, membersih kubur mereka dan mengimarahkan surau-surau dan masjid-masjid yang berada di Sarawak.

“Saya lihat masjid dan surau banyak tetapi tidak ada program-program ilmu selepas solat lima waktu, bila kita sampai, mereka menerima baik untuk kita (PAS) menyampaikan kuliah-kuliah magrib pada mereka (penduduk),” ujarnya.