Oleh : Dr Azman Ibrahim
Tinggal lebih kurang 10 hari saja lagi satu acara besar dalam kalendar tahunan PAS, Muktamar Tahunan PAS ke 60 akan berlangsung. Inilah acara tahunan terbesar yang menghimpunkan dari pimpinan tertinggi parti sehingga kepada ahli dan penyokong di peringkat yang paling bawah.
Ia bukan hanya menjadi tumpuan dalam negara malah menjadi tumpuan dan mendapat liputan di peringkat dunia kerana keberadaan PAS sebagai salah sebuah dari gerakan Islam terulung di dunia memang diakui kawan dan lawan.
Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI) Terengganu antara organisasi media yang turut menghantar satu kumpulan wartawan, jurugambar dan editor untuk merakamkan detik-detik penting dalam perjalanan panjang sebuah gerakan Islam bernama Parti Islam Semalaysia.
Aktivis media KAMI adalah antara penyumbang aktif kepada berita dan penulisan dalam laman rasmi PAS Terengganu, Buletin Online.
Maaf kalau KAMI bersuara, sepanjang pengalaman membuat liputan perjalanan Muktamar Tahunan PAS sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Muktamar tahun ini diadakan dalam keadaan paling tak bersedia dan tak diatur dengan baik.
[Gambar kiri – Tapak kawasan Muktamar Kali Ke-60 yang dicadangkan di Batu Pahat, setelah tempahan dan persetujuan dengan tapak berhampiran Sutera Mall dibatalkan]
Masakan tidak, dalam masa tak sampai 10 hari lagi ianya akan berlangsung, tiba-tiba terpaksa berpindah tempat dari Johor Bharu ke Batu Pahat. Kita memahami setiap yang berlaku ada sebab dan musababnya. Tetapi sebelum membuat sesuatu keputusan tentunya segala risiko dan kemungkinan telah dianalisa dan diambil kira. Tambahan pula bila nak diadakan di Johor!
Tetapi apabila KAMI yang telah membuat tempahan penginapan untuk petugas di Johor Bharu kemudian terpaksa dibatalkan dengan kos lalu ditempah pula penginapan baru di Batu Pahat.
Kemudian, pada hari ini, terdengar pula khabar ianya akan balik semula ke Johor Bharu dan KAMI mungkin terpaksa membatalkan pula tempahan penginapan di Batu Pahat juga dengan kos maka KAMI merasakan PAS Johor belum cukuip bersedia untuk satu acara penting sebegini. Kesukaran ini tentunya dirasai oleh semua pihak samada mereka bersuara atau tidak dan ianya pasti menjejaskan imej satu acara gilang gemilang ini.
Turut sama perlu mengambil tanggungjawab adalah Jawatankuasa Induk Muktamar. Kita tahu Johor adalah negeri tempat lahir Umno tetapi kita tidak menyediakan pelan kecemasan yang rapi. Akhirnya ia menjadi kesukaran yang tak sepatutnya dihadapi oleh semua yang terlibat.
*** Dr Azman adalah Pengerusi Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI) Terengganu










