Oleh KAM
KUALA NERUS – Pada setiap tahun musim tengkujuh warga nelayan yang terdapat dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Tepoh tidak pernah dilupakan oleh wakil rakyatnya sejak lima tahun lalu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh, Ustaz Hishamuddin Abdul Karim berkata setiap tahun pada bulan Januari warga nelayan akan diberi sedikit sumbangan.
Katanya, pihak Majlis Tindakan Dun (MTD) Tepoh tidak pernah mengabaikan golongan nelayan yang tidak dapat ke laut pada musim tengkujuh ini.
Menurutnya, proram bersama para nelayan itu berkonsepkan kekeluargaan dan santai sambal minum petang.
“Ini program tahunan kita (PAS) bersama nelayan yang berada dalam Dun Tepoh. Kita ada seramai 200 orang nelayan pelbagai kategori keseluruhan. Ada yang ke laut di Mersing, di Kuantan tetapi dia orang asal sini (Tepoh).
“Ada mereka (nelayan) yang tak dapat hadir dia hantar wakil anak atau isteri. Program kita ini lebih kepada konsep kekeluargaan, santai dan boleh dikatakan mereka ini macam anak-beranak semua walaupun berbeza fahaman politik.
“Kita (PAS) tidak memilih ‘bulu’ asalkan mereka itu orang ‘ke laut’ (nelayan) kita terima belaka dan diberi sedikit sumbangan untuk mereka,” ujarnya.
Beliau yang juga Ketua Penerangan Pemuda PAS Malaysia berkata demikian selepas program Sepetang Bersama Nelayan di Perkarangan Markaz Tarbiyyah PAS Wakaf Tengah, Tepoh pada Ahad 28 Januari.
Katanya, meskipun sumbangan tidak besar tetapi sekadar untuk meringankan beban pada musim tengkujuh kerana nelayan tidak dapat turun ke laut.
Sehubungan itu, seorang nelayan warga emas, Ismail Omar, 68, dari Kampung Gong Datok merakamkan ucapan terima kasih kepada Adun PAS yang disifatkan ‘cakna’ rakyat.
“Alhamdulillah, rezeki dari Allah dan saya ucap terima kasihlah kepada wakil rakyat kita (Tepoh) yang walaupun pembangkang tetapi cakna kepada semua rakyat.
“Kami orang ‘ke laut’ (nelayan) memang tak dapat turun cari rezeki pada musim ombak besar dan berangin ini untuk nelayan pantai bot fiber. Bulan Mac atau April baru boleh ke laut,” ujarnya.
Beliau lebih dikenali ‘Pok Zali’ telah terlibat bekerja sebagai nelayan ini sejak lebih 50 tahun lalu pada usia remajanya belasan tahun.
Rakannya, Encik Yusop Osman, 67, dari Kampung Gong Sekolah telah berkecimpung sebagai nelayan pada usia 22 tahun hingga sekarang.

Beliau mengakui tidak mempunyai kemahiran lain kecuali ke laut menangkap ikan dengan menggunakan bot fiber sendiri.
“Pok Sop kerja ke laut ini lama dari muda pada usia 22 tahun lagi sampailah sekarang, nak buat kerja lain tak pandai dan musim tengkujuh menganggurlah.
“Enam orang anak membesar dengan hasil ke laut sahaja dan kini tinggal seorang lagi anak yang belum kahwin masih tinggal dengan Pok Sop,” ujarnya.
Katanya, kehidupan rakyat hari ini semakin terbeban dengan kenaikan harga minyak dan barangan yang dikenakan cukai GST.
Menurutnya, keputusan di tangan rakyat jika mahukan perubahan yang lebih baik buatlah pilihan yang tepat pada hari pilihan raya nanti.










