Oleh : KAM
KUALA NERUS – Masa berbaki sesi persekolahan baharu 2018 yang tinggal beberapa hari lagi, seramai 120 pelajar diraikan oleh PAS Kawasan Kuala Nerus dengan membeli-belah peralatan dan pakaian sekolah.
Ahli Parlimennya, Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata program membeli peralatan dan pakaian persekolahan baharu menjadi aktiviti tahunan PAS Kuala Nerus.
Katanya, tahun baharu ini seramai 120 orang pelajar dari kalangan keluarga fakir miskin, ibu tunggal diberikan keutamaan.
Menurutnya, setiap pelajar yang terpilih itu diberi peruntukan RM100 seorang bagi membeli pakaian dan peralatan persekolahan sesi baharu 2018.
“Ini program tahunan sejak saya menjadi Ahli Parlimen tahun 2013 lagi. Kita (PAS) mensasarkan lebih dari 100 orang dan kali ini 120 orang pelajar menerima sumbangan membeli pakaian dan peralatan persekolahan.
“Mereka itu terdiri dari anak-anak fakir miskin dan ibu tunggal (anak yatim) dengan peruntukan seorang RM100. Kita harap dengan sedikit sumbangan ini boleh meringankan bebanan ibubapa.
“Dalam keadaan sekarang ini harga barang mahal, cukai GST dan sebagainya cukup memeritkan kepada ahli keluarga terutama yang mempunyai anak ramai,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika meraikan 120 pelajar dalam program Back To School Beli belah Peralatan Sekolah 100 Anak Miskin, PAS Kawasan Kuala Nerus di Pasaraya Sabasun Hypermarket, Gong Badak, Kuala Nerus pada Sabtu 23 Disember.
Namun, kata Dr Mohd Khairuddin sebagai Ahli Parlimen bukan kerajaan PAS tidak mampu untuk memberi banyak tetapi sekurang-kurangnya sebagai satu tanda ingatan kepada rakyat.
Beliau yang juga Ahli jawatankuasa Kerja PAS Pusat turut mengingatkan umat Islam agar mengambil sikap prihatin terhadap jiran tetangga yang susah.










