10,000 Hadir Majlis Pelancaran Perikatan Nasional (PN)

217

MARANG – Bumi Terengganu melakar sejarahnya yang tersendiri apabila lebih 10,000 orang hadir di Majlis Pelancaran Perikatan Nasional (PN) Peringkat Negeri Terengganu.

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, jumlah tersebut menzahirkan bahawa rakyat menerima baik gabungan parti diantara PAS, BERSATU, Gerakan dan dua parti dari Sabah Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Maju Sabah (SAPP).

Jelasnya, himpunan itu merupakan persediaan yang terbaik bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-15 yang dijangka diadakan tidak berapa lama lagi.

“Dengan pelancaran yang bermula di negeri Terengganu ini , dan akan dilancarkan ke setiap negeri nanti kita sudah boleh memberikan tumpuan,

“kita telah buat keputusan tidak mahu lengah-lengahkan lagi, akan menyelesaikan pembahagian kerusi diantara parti komponen dengan seberapa segera,”ujarnya ketika berucap pada Majlis itu, di Dataran Tok Guru, masjid Rusila, semalam.

Tegasnya kewujudan PN adalah untuk menyelamatkan negara.

“Kita hendak mentadbir negara dengan cara yang lebih telus, tiada salah guna kuasa, menjadi pilihan yang lebih baik, kalau rakyat memilih kita (PN), setiap janji-janji akan kita tunaikan bagi memastikan negara berada dalam keadaan stabil pelbagai krisis dan masalah dapat diatasi.

“Termasuk hendak memastikan rakyat dalam negara memilik makanan yang cukup serta menjamin peluang pekerjaan untuk rakyat,”ujarnya.