KUALA TERENGGANU – PAS secara tegas menentang pelaksanaan Cukai Jualan Dan Perkhidmatan (SST) sebagaimana juga PAS menentang pelaksanaan Cukai Barangan Dan Berkhidmatan (GST) sebelum ini.
Timbalan Presidennya, Dato Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pelaksanaan SST yang bermula hari ini, diyakini akan meningkatkan kadar inflasi dan kos sara hidup rakyat.
“Sehubungan dengan itu, PAS menyeru para pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia memberi sokongan kepada calon PAS sebagai menunjukkan kebersamaan,
“untuk mendesak kerajaan menarik balik pelaksanaan SST dan mengkaji pelaksanaan cukai yang lebih adil ke atas rakyat seperti yang pernah dicadangkan oleh PAS dalam Dokumen Hijau,” tegas beliau.
Ahli Parlimen Kubang Kerian itu berkata demikian dalam satu kenyataan media di Pejabat Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor hari ini, Sabtu 1 September.
Justeru itu, kata beliau, PAS juga melahirkan rasa kesal terhadap sikap kerajaan pimpinan Pakatan Harapan (PH) yang terus menunjukkan rasa tidak peduli terhadap janji-janji manifesto mereka.


“Selain daripada itu, PAS juga mendesak supaya diperjelaskan segera secara lebih terperinci cadangan Kementerian Kesihatan tentang Skim Insuran Kesihatan Sosial ke atas golongan B40.
“PAS begitu bimbang, rakyat berpendapatan rendah akan dipaksa untuk mencarum dalam skim insuran ini yang akan menambahkan lagi beban kehidupan mereka, khususnya yang mendiami kawasan bandar seperti para pengundi di DUN Seri Setia,” jelasnya.
Mengulas perjalanan pilihan raya kecil (PRK) Seri Setia yang berbaki seminggu lagi, beliau yakin, terdapat perubahan positif sokongan pengundi terhadap PAS dan calonnya, Dr Halimah Binti Ali.
Bagaimanapun, kata beliau, PAS menyedari undi yang diperolehi oleh PH dalam PRU ke-14 yang lalu adalah sangat besar dan jentera PAS perlu meningkatkan usaha.
“para petugas PAS diseru untuk melipat gandakan lagi usaha merayu pengundi-pengundi di Seri Setia melakukan perubahan pada PRK ini.
“PAS berkeyakinan perubahan besar-besaran sokongan pengundi-pengundi di Seri Setia ini kepada PAS akan memberi signal penting kepada PH supaya jangan memandang benteng janji-janji yang telah mereka taburkan dalam PRU ke-14 yang lalu,” tambah beliau.




























