BESUT – Kempen ‘Sejahtera Bersama PAS’ telah berjaya menarik sokongan 302 orang yang sebahagian besarnya, terdiri daripada golongan bekas ahli Umno.
Timbalan Yang DiPertua PAS Besut, Cikgu Shalahuddin Jaafar berkata, Setiausaha Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu Haji Muhyidin Abdul Rashid, telah menerima serahan borang permohonan keahlian PAS itu.
“Borang- borang tersebut adalah berjaya dikumpulkan selepas dua bulan (PAS Terengganu) memenangi PRU ke14.
“Sebahagian besar ahli baru (itu) adalah dari kalangan ahli-ahli Umno yang sudah tidak yakin dengan perjuangan dan kepimpinan Umno, selepas kekalahan parti itu di peringkat negeri dan pusat,” ujarnya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media, sebaik selesai Majlis Penerangan di Dewan Haji Salleh, Alor Lintah pada Ahad, 5 Ogos.
Turut sama pada Majlis tersebut ialah Setiausaha PAS Kuala Nerus, Ustaz Zakaria Dagang.
Cikgu Shalahuddin yang juga Pengarah Majlis Tindakan Dewan Undangan Negeri (MTD) Hulu Besut berkata, penyertaan anggota baru tersebut berjaya didaftarkan melalui cawangan-cawangan di seluruh DUN itu.
Justeru, beliau yakin, lebih ramai yang akan menuruti jejak langkah mereka, dalam masa terdekat kerana PAS istiqamah dalam memperjuangkan Islam.


“InsyaAllah, MTD Hulu Besut akan mengadakan satu program besar bagi menghimpunkan ahli-ahli baru ini bersama kepimpinan tertinggi parti,” jelasnnya.
Beliau yakin, sasaran mendapatkan 1,000 orang ahli baharu pada tahun ini akan tercapai dan sekurang-kurangnya lima cawangan baharu PAS akan ditubuhkan.





























