Sokongan rakyat terhadap Pas bertambah

628

PENGKALAN BERANGAN – Lebih 500 penduduk sekitar Kampung Pengkalan Berangan di sini hadir memeriahkan Program Hari Keluarga yang diadakan serentak dengan Rumah Terbuka Aidilfitri Pas cawangan Pengkalan Berangan di sini.

Timbalan Ketua Pas cawangan Pengkalan Berangan, Abdul Rahman Mamat, 51, berkata, matlamat utama penganjuran program itu adalah untuk menjalinkan hubungan dan kerjasama antara komuniti setiap lapisan masyarakat dalam cawangan tersebut.

“Ia juga untuk menggalakkan penglibatan ahli Pas dalam komuniti tersebut dalam menguruskan program secara bersama dan mewujudkan semangat perpaduan lebih erat antara generasi muda dan dewasa,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Abdul Rahman berkata, Pas cawangan Kampung Pengkalan Berangan juga yakin parti itu dapat merampas semula Dun Pengkalan Berangan yang dikuasai BN pada pilihan raya umum akan datang.

Menurutnya, keyakinan itu berasaskan sokongan rakyat yang semakin meningkat terhadap pelbagai program anjuran Pas berbanding sebelum pilihan raya lalu namun jentera parti itu perlu terus bekerja kuat dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13.

“Walaupun sokongan bertambah di peringkat cawangan tetapi mustahak untuk semua ahli bekerja kuat dan jangan ambil mudah dengan parti lawan dalam menghadapi pilihan raya akan datang dijangka tidak lama lagi,” katanya.