KUALA NERUS – Kerajaan negeri akan mengambil kira pandangan penduduk sebelum melaksanakan sebarang projek yang melibatkan kepentingan awam pada masa akan datang.
Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, langkah itu perlu bagi memastikan setiap projek yang akan dilaksanakan nanti tidak memberi kesan negatif atau menimbulkan masalah kepada komuniti setempat.
Menurutnya, ada projek yang ingin dilaksanakan memerlukan keajaan negeri mengadakan perbincangan secara teliti dengan penduduk dan ada juga sebaliknya.
“Jadi, apabila projek yang ingin dilaksanakan melibatkan kepentingan awam semestinya kita akan mengambil kira pandangan orang ramai terutamanya bagi projek yang terletak di kawasan penempatan penduduk,”katanya.


Sementara itu, Ahmad Samsuri turut memaklumkan projek pembinaan infrastruktur dan utiliti Kompleks Maintainace, Repair dan Overhaul (MRO) dan Hab Kargo Udara di Gong Kuin, Seberang Takir akan dikaji semula.
Jelas beliau, pihaknya menerima banyak aduan berhubung projek yang mula dilaksanakan Disember tahun lalu itu khususnya daripada penduduk setempat.
“Kita sedia maklum mengenai aduan daripada penduduk yang terkesan daripada projek berkenaan, di mana kediaman berhampiran tapak projek mengalami keretakan teruk.
“Jadi, kita terpaksa memikirkan pilihan lain sama lain dan mengkaji kembali tapak projek berkenaan.
“Malah, projek itu juga merupakan salah satu projek yang gagal disiapkan dalam tempoh ditetapkan,”katanya. SH




























