DUN Kemasik Bakal Miliki Pusat Perlindungan Kanak-kanak

3331

KEMAMAN – DUN Kemasik bakal miliki sebuah pusat perlindungan kanak-kanak apabila seorang Usahawan dan dermawan Tuan Haji Khaidir Khana, bersetuju mewakafkan sebidang tanahnya untuk mewujudkan pusat tersebut.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemasik YB Ir Saiful Azmi Suhaili berkata, beliau menerima kunjungan hormat seorang pemilik Hamzah Ibir Sdn Bhd di pejabat beliau di sini, pagi tadi dan berbincang berkenaan isu kes kanak-kanak yang berlaku pada hari ini.

“Beliau cukup tertarik dan menyokong penuh cadangan YB Ir Saiful Azmi kerana sedia maklum banyak kes kanak-kanak menjadi mangsa apabila berlaku keruntuhan rumahtangga di kalangan ibu bapa mereka,

“dan ada kes sehinggakan kanak-kanak itu terpaksa tinggal dengan datuk dan nenek atau keluarga saudara mara dalam keadaan terabai,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam laman sosialnya pada Ahad, 21 Mei.

Menurutnya, tanah seluas dua ekar diwakafkan untuk merealisasikan hasrat YB untuk mendirikan rumah untuk kanak-kanak.

“Dan beliau memohon supaya pembinaan disegerakan bagi memastikan kebajikan kanak-kanak ini terjaga sepenuhnya,” ujarnya lagi.