Harga Ikan Mahal ‘Ditangan’ Nelayan

2143

Oleh KAM

KUALA TERENGGANU – Kenaikan harga ikan yang mahal terutama di Terengganu adalah ditentukan sendiri oleh para nelayan hingga membebankan rakyat umumnya.

Malah, warga nelayan juga dikatakan telah terkeluar dari garis kemiskinan tegar di negeri ini kerana pendapatan golongan itu hari ini minimanya antara 1,900 hingga RM2,000 sebulan.

Jika benar dakwaan itu, kata Pengerusi Lajnah Asas Tani dan Alam Sekitar (Latas) Terengganu, Ustaz Shaharizukirnain Abdul Kadir, suatu kesedaran perlu diberikan kepada para nelayan terbabit.

Menurutnya, kunjungan hormat pihak Latas Terengganu kepada agensi kerajaan di Jabatan Perikanan negeri cukup positif.

Ini, katanya termasuklah isu kenaikan harga ikan yang mahal terutama di Terengganu hingga membebankan pengguna dan rakyat umum.

“Kita (Latas) juga bangkitkan isu kenaikan harga ikan yang tinggi terutamanya di negeri ini. Tapi, ‘respon’ yang kita terima ini (kenaikan) harga yang ditentukan oleh para nelayan sendiri.

“Walaupun harga ikan itu naik tetapi ikan itu (tetap) habis juga dijual di pasaran. Turun naik harga ikan itu, nelayan itu sendiri yang tetapkan. Sebab apa jual mahal? kerana walaupun harga mahal tetapi jualan ikan tetap akan habis.

“Terengganu ini harga ikan paling tinggi berbanding dengan Kuantan dan lain-lain tempat di negara ini. Ada dimaklumkan kepada kita (Latas) oleh pihak Jabatan Perikanan bahawa harga udang yang sama di Kertih, Kemaman (Terengganu) RM40.00 sekilogram tetapi di Kuantan harganya RM18.00 sahaja,” jelasnya.
.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Pegawai di Jabatan Perikanan Negeri Terengganu di Chendering, Kuala Terengganu, pada Selasa 20 Februari.

Menurut Ustaz Shaharizukirnain tujuan kunjungan hormat pihak Latas kepada agensi terbabit bagi saling bertukar-tukar pandangan serta mendapat taklimat berkait isu nelayan.

Bahkan, katanya pihak Latas Terengganu pernah mengadakan kunjungan hormat kepada agensi-agensi kerajaan yang lain sebelum ini.

“Kunjungan hormat Latas Terengganu kali ini kepada Pengarah Jabatan Perikanan negeri Terengganu. Ini merupakan kunjungan hormat kita (Latas) kali keempat ke agensi kerajaan.

“Sebelum ini, kita (Latas) pernah pergi ke Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kuala Terengganu, JAS Kemaman dan Jabatan Pertanian negeri Terengganu, Alhamdulillah, kami diterima.

“Tujuan kunjungan ini untuk kita saling bertukar pandangan dan mendengar taklimat daripada pihak Jabatan Perikanan Terengganu berkait dengan isu nelayan, penguatkuasaan maritim dan lain-lain,” ujarnya.

Beliau selaku Yang Dipertua PAS Kawasan Setiu turut dimaklumkan oleh pihak agensi berkenaan bahawa pendapatan golongan nelayan hari ini telah melepasi garis kemiskinan tegar.

“Walaupun sebelum ini digambarkan warga nelayan ini miskin tetapi hari ini mereka dikatakan sifar miskin itu. Pendapatan mereka (nelayan) antara RM1,900 hingga RM2,000 paling minima dan mereka sudah keluar dari miskin tegar,” katanya ketika dimaklumkan oleh pegawai perikanan tersebut.

Hadir sama dalam pertemuan itu, Pengarah Perikanan Terengganu, Tuan Zawawi Ali, Timbalannya Tuan Rosman Rosdi dan beberapa orang pegawai Jabaan Perikanan Terengganu.

Delegasi Latas Terengganu disertai oleh Timbalan Latas Terengganu, Muhammad Said, Setiausaha Latas, Abdul Rauf Muhamad dan beberapa orang Jawatankuasanya, Encik Alias Salleh, Zainal Abdul Samad dan Puan Salmah Ghazali.