Muslimat Desak Tindakan Lebih Agresif Daripada Kerajaan Malaysia

1471

KUALA TERENGGANU – Dewan Muslimat PAS mendesak kerajaan Malaysia supaya bertindak lebih agresif terhadap kebiadapan Amerika Syarikat yang mengistiharkan Baitulmaqdis sebagai ibunegara Israel.

Ahli Jawatankuasa Muslimat Malaysia, Hajah Zarani Othman kesal dengan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menerusi ‘facebook’nya, yang hanya berkata, beliau ‘sangat membantah sekeras-kerasnya pengistiharan ini’ terhadap jenayah yang dilakukan Donald Trump itu.

“Tetapi itu bukan yang kita nak dari sebuah kerajaan Malaysia……. kita nak bantahan itu dibuat dengan menghantar surat ke Rumah Putih dengan memanggil duta Amerika Syarikat yang berada di Kuala Lumpur,

“dan beritahu kepada mereka, bahawa kita dan seluruh umat Islam membantah sekeras-kerasnya apa yang dibuat oleh Presiden Amerika Syarikat yang mengistiharkan Baitulmaqdis ibunegara Israel,” tegasnya.

Ketua Muslimat PAS Terengganu itu demikian ketika berucap merasmikan Majlis ‘Hi-Tea’ Selamatkan Ummah di sebuah restoran di sini pada Jumaat 8 Disember.

Menurut Zarani, di dalam suasana Pilihan Raya Umum (PRU) Kali Ke-14 semakin hampir, orangramai perlu menilai kesungguhan para pemimpin Islam seluruh dunia termasuklah negara kita hari ini.

Katanya, rakyat mahu melihat kesungguhan dalam memperjuangkan isu umat Islam dan Palestin yang telah memakan masa terlalu lama, semenjak 1948 lagi.

“Kita telah merdeka selama 60 tahun, tetapi RUU 355 masih tidak dibawa untuk dibahaskan di sidang Dewan Rakyat, kita tunggu bulan September, kita tunggu baru- baru ni,

“tetapi masih lagi tertunggak, ” ujar beliau dengan nada kesal.

Tambahnya, walaupun pemimpin kerajaan yang menerajui Malaysia, kebanyakannya adalah orang-orang Melayu Islam, tetapi tidak menampakkan usaha, ingin meletakkan Islam ditempat yang lebih tinggi.

Justeru itu beliau mengajak khalayak yang hadir untuk bersatu menegakkan syariat Allah di atas mukabumi ini dan memilih pemimpin yang bertakwa.

Ketua Muslimat Marang itu juga, memuji keberanian artis-artis yang berani meluah isihati mereka berkenaan suasana masyarakat yang berlaku hari ini.

Katanya, mereka mendedahkan isu keruntuhan sosial, isu harga barang naik, kos sara hidup tinggi dan lain-lain, walaupun menjadi bahan ejekan sesetengah pemimpin dan Puteri Umno.

“Kita mahu mengerakkan seluruh masyarakat bukan semata-mata artis, bukan semata-mata muslimat, kita nak badan-badan NGO, InsyaAllah bangun dan juga bangkit untuk meng’highligt’kan isu-isu di dalam masyarakat,”

“supaya masyarakat yang dah sedar semakin sedar dan dengan kesedaran yang ada untuk bertindak secara positif di dalam PRU 14 yang sebenarnya semakin hampir dengan kita,” jelas beliau lagi.