Pemuda Gagasan Sejahtera Tubuh Jawatankuasa Bersama

1942

KUALA TERENGGANU – Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) dan Dewan Pemuda Parti Ikatan Bangsa Malaysia telah mengorak langkah dengan menubuhan Jawatan Kuasa Pemuda Gagasan Sejahtera.

Ketua Pemuda PAS Ustaz Khalil Abdul Hadi berkata, penubuhan Jawatan Kuasa Pemuda Gagasan Sejahtera bertujuan untuk menyelaraskan aktiviti Pemuda parti komponen dalam Gagasan Sejahtera dalam mendepani isu semasa, polisi serta dasar utama negara.

“Beberapa ahli jawatan kuasa Pemuda Gagasan Sejahtera telah dilantik bagi memantapkan sebarang gerak kerja yang berkaitan dengan saya sendiri dilantik sebagai Ketua Pemuda dan dibantu oleh Timbalan Ketua iaitu saudara Shahril Adnan.

“selain itu, kami juga dibantu oleh Sekretariat Jawatan Kuasa yang terdiri daripada Ustaz Afnan Taib Azamudden dan saudara Aifaa Zaffan Bagauddin. Dan ahli jawatan kuasa adalah daripada kalangan ahli Dewan Harian DPPM dan Dewan Tertinggi Pemuda Parti Ikatan,” jelasnya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan yang diedarkan pada Sidang Media gagasan Sejahtera, di Kuala Lumpur pada Sabtu, 18 November.

Selain itu katanya, satu Konvensyen Anak Muda Gagasan Sejahtera akan di adakan pada 24hb Febuari 2018.

“Konvensyen ini bertujuan untuk membina satu platform suara anak muda yang di terajui oleh Pemuda Gagasan Sejahtera bersama-sama NGO – NGO anak muda dan tokoh pemuda berpengaruh di peringkat nasional untuk sama – sama mengembeling tenaga menyuarakan pandangan, kritikan, idea bernas serta menyumbangkan tenaga demi masa depan negara.

“Dan ia akan berakhir dengan terbitnya satu agenda dan hala tuju Gagasan Anak Muda yang akan membawa suara serta minda anak muda untuk masa depan negara sesuai dengan pendekatan Budaya Politik Matang dan Sejahtera, dan juga sesuai untuk segenap lapisan masyarakat di dalam negara tidak kira agama, bangsa dan kaum,” katanya.

Disamping itu, jelas Ustaz Khalil menegaskan, pemuda Gagasan Sejahtera akan merangka program-program utama seperti program Jelajah Negeri-Negeri bertujuan untuk memperkenalkan kepada umum agendanya.

“Dengan pendekatan Matang dan Sejahtera serta motto ‘To Create A Better Malaysia’ , Pemuda Gagasan Sejahtera juga akan menawarkan solusi terhadap isu-isu semasa negara,

“terutamanya berkaitan anak muda samada untuk jangka masa pendek mahupun panjang bergantung kepada isu, masa dan keperluan,” jelasnya.