Hijrah Bukan Untuk Mencari Populariti

3758

Oleh : Rohayati Ripin

Penghijrahan seorang artis daripada dunia ‘glamour’ kepada menghayati cara hidup Islam bukanlah bertujuan untuk kembali mendapatkan populariti.

Bekas vokalis kumpulan rock kapak Handy Black, Nurzul Suphia’an Sa’ban atau lebih dikenali sebagai Zul Handy Black aktif melakukan kerja-kerja dakwah mengajak masyarakat kembali menghayati hidup bersyariat.

Beliau yang ditemubual oleh HARAP TV sempena Fastaqim hujung minggu lalu, pernah popular sekitar era 80an dan 90an dengan lagu ‘Kau Yang Bernama Seri.’

Zul berubah dari seorang penyanyi rock kepada penyanyi ‘genre’ lagu ketuhanan, bermula saat ketika kehilangan ayah tercinta dan keetika itu, terdetik dihatinya untuk meninggalkan dunia ‘glamour’ sebagai penyanyi rock.

Bermulalah episod baru dalam hidupnya dengan memulakan langkah nyanyiannya kearah yang lebih Islamik, mengajak manusia mengingati kebesaran Allah dan kembali kepada Islam yang sebenarnya.

Kehidupan silamnya cukup berbeza dengan sekarang setelah Allah mencurahkan hidayah dalam kehidupannya.

Dari situlah benih kesedaran yang mencetuskan semangat, tumbuh menjadi insan lebih istiqamah dalam memperjuangkan Islam.

Apabila diimbas kembali, kata beliau, manusia yang terjun gunung mati dan manusia yang bermain dengan binatang buas mati dimakan binatang serta manusia yang berlumba mati dalam trek perlumbaan.

“Kita sebagai umat Nabi Muhamad SAW nak mati dengan cara yang mana? …. kita tak nak mati, kita tak nak dalam keadaan manusia yang ingkar kepada Allah SWT,” tegas beliau.

Justeru, beliau berharap dapat menyampaikan Islam kepada semua manusia kerana kesedaran dakwah dan tanggungjwab itu katanya, adalah tugas sekelian umat yang akan ditanya di akhirat kelak.

“Dakwah ini bukan kita untuk mengajar……..kita nak mengajak manusia untuk kita mengimarahkan rumah Allah. Macam mana kita nak mendapat kejayaan kalau rumah Allah tak berjaya,

“kita mengharapkan waktu subuh pun surau masjid kita penuh jemaah sebagaimana kita menunaikan solat jumaat,” jelasnya.

Sebaliknya kata beliau, musuh-musuh Islam, orang kafir dan yahudi mentertawakan umat Islam masa kini kerana umat Islam tidak mampu, walaupun untuk memakmurkan masjid, apatah lagi melaksakan suruhan yang lebih berat.