“Kami nok smayang di mane?”

3113

Oleh : Khairuddin Muhamad

Terdengar sungutan yang diluahkan oleh para peniaga di Pasar Cabang Tiga. Mereka dibelenggu masalah solat dalam keadaan yang tidak selesa sejak beberapa tahun yang lalu semenjak berpindah ke pasar baharu sekarang.

Kami difahamkan, para peniaga sekarang menumpang solat di Surau Baru Losong Haji Su yang berdekatan dengan pasar. Namun surau tersebut kerap kali berkunci dan mereka hanya bersembahyang di beranda surau. Keadaan tersebut menimbulkan masalah kepada mereka yang mahu bersembahyang di situ terutamanya bagi jamaah perempuan.

Beranda di luar ruang solat utama surau walaupun boleh digunakan untuk bersembahyang, masih menimbulkan rasa kurang selesa kerana tirai ruang perempuan yang digunakan amat dhaif. Mereka mencari inisiatif sendiri untuk menutup bahagian untuk mereka bersolat.

“Kami sendiri yang ikat kain untuk menutup bahagian kami solat. Masalahnya, bila angin kuat kain bidai ini akan naik, dan kadang kadang nampak kami sedang menukar baju, buang tudung, itu masalah kami.”

Berikutan isu ini, kami mengharapkan pihak yang bertanggungjawab seperti Jawatankuasa Kemajuan Kampung (JKKK) ataupun pihak persatuan peniaga pasar, dan seumpamanya dapat membuat perbincangan dua hala dengan pihak surau agar para peniaga pasar dapat menunaikan solat dengan selesa. “Janganlah dikunci surau ini, bagilah kami solat dalam keadaan selesa, walaupun kami hanya bersolat waktu Zuhur dan Asar sahaja.”

Mudahan masalah ini dapat diselesaikan dengan segera demi kebaikan rakyat. Kami akan terus memantau.

***KHAIRUDDIN MUHAMAD Ketua Penyelaras Pemuda PAS DUN Bandar