Jihad Media Dan Masyarakat

1742

Melestari media pada satu tahap yang ampuh di mata masyarakat, perlu kepada situasi melumatkan gerak kerja media itu sendiri ke dalam komuniti.

Justeru Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI) Terengganu mengatur langkah seiring, bersama-sama dalam membantu mangsa musibah banjir.

Pada awal Januari, ketika gelombang banjir kedua membadai Hulu Terengganu, atas rasa keinsafan dan prihatin, si jurugambar, juruvideo, penulis dan wartawan, KAMI turun ke Kampung Kepah, Telemong.

Mereka yang sebelum ini ‘memukul’ gambar, menyandang kamera video di bahu, mengetuk papan kekunci untuk menulis, bersama menyingsing lengan menyiapkan juadah makan tengah hari kepada warga kampung tersebut.

Alhamdulillah, program ‘Dapur KAMI Media Cakna Warga Kampung Kepah ’kali pertama dapat dijayakan dengan sokongan dan dokongan pelbagai pihak.

Selang beberapa hari, ketika tanah Kampung Keruak masih merah kerana ‘ tanda bakat’ bah yang melanda, KAMI menyantuni warga Qaryah Pak Sik.

Kesukaran KAMI menyediakan makan tengah hari buat mereka, ‘jauh bara dari api’ jika dibandingkan dengan kesusahan jiwa dan perasaan mereka yang diduga dengan musibah banjir.

Ikatan ukhuwah dan kasih sayang, serba sikit dapat menjadi pengubat trauma, igauan ngeri di malam hari, ketika air bah memanjat dinding setiap penduduk Pak Sik.

Hari ini, 24 Januari, setelah hampir separuh kampung-kampung di tenggelami air pasang Sabtu lalu, KAMI akan mengggerakkan pula ‘DAPURNYA’ Ke Kampung Ponok di Bukit Tanah.

Turun ke lapangan di tengah-tengah masyarakat dengan kerja-kerja kebajikan dengan harapan dan perasaan KAMI yang turut ‘sugul’ dengan dugaan yang menimpa.

Aktivis media akan terus menyumbang tenaga membantu memasak untuk di jamu kepada mangsa banjir dan dengan sumbangan para muhsinin, sedikit buah tangan KAMI berupa keperluan asas harian, akan kami tinggalkan sebagai kenang-kenangan.

Setinggi-tinggi ucapan terima kasih KAMI ucapkan, semoga orang-orang media tidak lagi di pandang sebagai mereka yang hanya menjaga tepi kain orang lain.

Harapan kami agar, si jurugambar dan si jurukamera dan insan media serta wartawan menjadi teman mesra rakyat, semua golongan masyarakat.

Jauh sekali, menjadi kelompok yang dijauhi dan ditakuti, kerana KAMI ingin menjadi jambatan yang membawa kisah suka duka rakyat, bagi membetulkan kepincangan dunia hari ini!