Catatan Kenyir 1; Telusuri Denai Jihad Media Dengan Bai’ah Yang Dilafaz

1338

Oleh : Dr Azman Ibrahim

Buat Sahabat-Sahabat Media KAMI Terengganu,

Kesempatan bersama di Sungai Lasir Tasik Kenyir selama 3 hari 2 malam dalam Program Retreat Media KAMI menyerlahkan ukhuwwah fillah antara kita yang sukar digambarkan dengan suatu ibarat penulisan.

Kita bersama di medan jihad media ini kerana Allah dan saya sayangkan sahabat semua kerana Allah.

Antara saya dan sahabat semua, tentunya saya lebih rendah darjat keikhlasan. Sahabat semua berperanan sebagai orang media tanpa gaji dan imbuhan.

Sekurang-kurangnya saya masuk gambar dan berita dalam media sedangkan sahabat-sahabat semua bekerja untuk memasukkan gambar dan berita orang lain walau diri sendiri tak dikenali.

Saya hadir ke mana-mana program, penganjur akan hulur sedikit helaian kertas bergambar Yang Dipertuan Agong buat isi petrol, tapi sahabat semua yang hadir membuat liputan bagaikan dianggap menggunakan kereta tenaga solar yang diperolehi percuma.

Saya hadir ke majlis ada disediakan hidangan santapan oleh penganjur tapi belum tentu ada yang menyapa sahabat semua samada sudah makan atau belum.

Di medan jihad media ini, saya temui sahabat-sahabat terpilih yang tak begitu dikenali di bumi. Kita bersama mengharungi suka dan duka demi memperkukuhkan benteng media Islam.

Semenjak penubuhan dari tahun 2011, KAMI semakin yakin melangkah ke hadapan walau sesekali kita menoleh ke belakang.

KAMI bukan lagi media kampung. Organisasi KAMI telah mengapai misi di peringkat antarabangsa. Antaranya KAMI pernah hadir di lokasi bergolak dan bencana seperti Sudan Selatan, Yaman, Gaza, Acheh, Assam India, Kassala dan Mindanao disamping misi media dalam negara.

KAMI terlibat dengan program kemasyarakatan menyantuni mangsa banjir dengan penganjuran ‘Program Dapur Rakyat KAMI’.

KAMI telah menerbitkan 4 buah buku. Dengan izin Allah akan menyusul 2 buah buku lagi.

Terlalu banyak untuk disenaraikan penglibatan KAMI dalam pembongkaran isu-isu dalam negara dan menghadirkan kepada masyarakat suatu laporan pemberitaan yang adil, telus dan bertanggungjawab.

KAMI sentiasa ada di depan pentas dan di belakang pentas dalam program-program parti supaya apa acara yang kita langsungkan di bumi Terengganu khususnya dan Malaysia amnya boleh ditatapi pembaca serta penonton seluruh dunia.

Tanpa sahabat KAMI yang berjuang dengan pelbagai kepakaran tersendiri, mungkin KAMI tak mampu pergi sejauh ini. Kitalah profesional, wartawan, penulis, ahli perniagaan, kontraktor, pereka grafik, jurugambar, juruvideo, penceramah, pelajar, pekerja sektor minyak dan gas, suri rumah tangga termasuk juga pekerja ladang sawit lalu semuanya kita bergabung menjadi KAMI!

Inilah keunikan dan kekuatan KAMI.

Ayuh sahabatku! Sebagaimana yang telah kita bai’ahkan di Sungai Lasir Tasik Kenyir, mari kita bersama menelusuri setiap jalan, lorong dan denai dalam perjuangan jihad media demi meninggikan agama Allah.

Kepada Allah kita berserah segala urusan!

***Dr Azman Ibrahim ialah Pengerusi KAMI