Kamarau Adalah Bala Dari Allah

1326

Oleh : Wan Faizul Abas

Semalam saya terbaca berita di Sinar Harian berkait isu Pesta Bulan Penuh di Pulau Perhentian Kecil. Syabas kepada Pemuda dan Puteri Umno Besut kerana buat laporan polis. Saya mengharapkan laporan itu diberi perhatian oleh Menteri Besar dan pihak berkuasa PDRM dan Pejabat Agama Besut.

Umat Islam di Malaysia amnya dan Terengganu khususnya harus ingat cuaca panas melampau yang melanda tanahair sekarang ini merupakan salah satu tanda kemurkaan Allah. Ya betul ia kesan daripada fenomena El Nino. Tapi sedarkah kita bahawa El Nino itu terjadi dengan qudrat dan iradat Allah? Dan Allah tidak jadikan sesuatu itu sia-sia.

Allah berfirman,
ظَهَرَ الفَسَادُ فِي البَرِّ وَالْبَحْرِ بِمَا كَسَبَتْ أَيْدِي النَّاسِ لِيُذِيقَهُم بَعْضَ الَّذِي عَمِلُوا لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ
Maksudnya, “Telah terserlah kerosakan di daratan dan lautan akibat daripada tangan-tangan manusia(dosa-dosa) , untuk dirasakan kepada mereka kesan daripada sebahagian apa yang mereka lakukan, yang dengan itu mudah-mudahan mereka kembali (kepada Allah). ”

Mudah-mudahan kita sedar akan kesalahan kita meninggalkan perintah Allah. Kesalahan kita melakukan maksiat kepadaNya. Allah sedang menegur kita. Memberi peluang kepada kita bertaubat sebelum terlambat. Ingatlah peringatan Allah dalam ayat 130 surah al A’raaf,

وَلَقَدْ أَخَذْنَآ ءَالَ فِرْعَوْنَ بِٱلسِّنِينَ وَنَقْصٍۢ مِّنَ ٱلثَّمَرَٰتِ لَعَلَّهُمْ يَذَّكَّرُونَ

Maksudnya, ” 130. dan Sesungguhnya Kami telah menimpakan Firaun dan kaumnya dengan musim kemarau dan kekurangan buah-buahan, supaya mereka insaf mengambil pelajaran.”

Al Qur’an bukan buku sejarah yang hanya dibaca untuk jawab soalan peperiksaan. Ia juga bukan semata-mata untuk dijadikan modal kuliah dan ceramah, tetapi ia adalah kalamullah yang berfungsi sebagai hidayah kepada manusia.

Ingatlah kerja cegah kemunkaran yang berlaku di sekeliling kita bukannya tugas pihak berkuasa sahaja. Bukan sahaja tugas NGO. Bukan juga semata-mata tugas parti politik. Ia tugas mana-mana individu yang melihat kemunkaran itu sabit dengan hadis,

من رأى منكم منكرا فليغيره بيده و إن لم يستطع فبلسانه و إن لم يستطع فبقلبه و ذلك أضعف الإيمان

Maksudnya, “Barangsiapa yang melihat kemunkaran, maka hendaklah ia cegah dengan tangan. Jika tidak mampu, hendaklah cegah dengan lidah. Jika tidak mampu juga, hendaklah cegah dengan hati. Itulah selemah-lemah iman.”

Jika kemunkaran itu berbentuk massa, maka menjadi tanggungjawab fardhu kifayah. Apabila kita berganding bahu, bekerjasama untuk mencegahnya, sudah tentu lebih berkesan. Lupakan aliran politik yang dianuti, fikirkan maslahat umat Islam dan manusia umumnya agar semua selamat dari tempias bala kemurkaan Allah kerana apabila Allah turunkan bala kepada umat Nabi Muhammad saw, ia tidak terhad kepada yang zalim sahaja. Yang baik-baik pun tidak terkecuali. Inilah amaran Allah yang berbunyi,

وَاتَّقُوا فِتْنَةً لَّا تُصِيبَنَّ الَّذِينَ ظَلَمُوا مِنكُمْ خَاصَّةً ۖ وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ

Maksudnya, “Dan takutlah kepada fitnah(bala) yang tidak hanya menimpa kepada orang yang zalim di kalangan kamu secara khusus. Dan ingatlah bahawasanya hukuman (azab) Allah itu sangat berat.”

Justeru, saya seru semua lapisan masyarakat berganding bahu untuk suburkan kerja Nahi Munkar agar kita terpelihara dari bala Allah yang tidak mampu kita laluinya. Kerajaan harus prihatin dan bertindak menghalang dari berlakunya maksiat dan munkar di bumi Darul Iman yang bertuah ini.

***
Wan Faizul ialah Presiden GANTI

#GANTI
#AMARMAARUFNAHIMUNKAR