Oleh : Naraza Muda
Ambilah, itu hak ibu dan ayah peneroka dan penerokawati seluruh negara. Lazimnya tiap-tiap tahun peneroka Felda dibekalkan sedikit duit raya yang potong setiap bulan hasil dari pendapatan BTS yang dihantar ke kilang Felda.
Walaupun ada pemimpin besar negara bangga mengumumkan Felda memberi duit raya RM300 kepada seluruh peneroka, walaupun duit peneroka sendiri.
Sikap pergantungan memang diasuh sejak awal lagi oleh kerajaan terhadap peneroka felda yang sebahagian besarnya orang melayu. Apatah lagi Felda kini menyerapkan pemimpin umno untuk menguasai pentadbiranya. Sehinggakan diwujudkan agensi SERANTA bagi mendoktrimkan pemikiran peneroka Felda.
Mereka mampu dilupakan seketika keresahan bebanan hutang yang tidak munasabah yang bakal mengikat mereka dengan satu penjajahan alaf baru. RM900 dihulur tika keperitan bebanan hidup masa kini. Keriangan seketika. Ketika saham FGV merudum teruk, walaupun Perdana Menteri kata hanya jatuh sedikit ketika berucap di hadapan peneroka beberapa hari lalu.
GST yang tidak terlepas dengan kehidupan harian peneroka Felda dan warganya, harga getah dan sawit yang tidak menentu, hasil pengeluaran BTS yang teruk, tidak capai sasaran yang digariskan MPOB, pastinya semua ini mengerutkan dahi mereka, merenung hari-hari yang mendatang bakal dilalui, umur sudah lanjut, anak tiada di sisi menemani hari tua mereka.
Hanya segelintir sahaja dari 112, 635 peneroka Felda seluruh negara, sebahagian besarnya warga emas, ada diantarnya sudah tiada, kini ditadbir pewaris, yang mampu menjenguk ladang mereka. Mereka memilih menyerahkan kepada pihak Felda menguruskanya, samada Felda sendiri atau Anak Syarikat Felda.
Hanya segelintir sahaja yang bertekad mengurus sendiri ladang mereka, itu pun dengan bermacam halangan yang mesti mereka lalui, hanya mereka sahaja yang tahu kepayahan mengurus sendiri tanpa kerjasama dari Felda.
Sepatutnya mereka diberi galakkan untuk berdikari, menjadi seorang peneroka Felda yang berjaya, tetapi ini semua tidak berlaku, malah mereka dianggap musuh dan penyangak. Lebih menyedihkan Perdana Menteri pernah mengelar mereka ” Haram Jadah”
Inilah sebahagian kehidupan peneroka felda melakar kehidupan mereka sejak dari era Tun Razak dengan sinonim panggilan L.K.T.P, satu gagasan buku hijau membawa mereka keluar dari kehidupan dari pendalaman dan ceruk kampung agar mereka dapat dibentuk menjadi peneroka Felda yang berdikari, keluar dari kemiskinan dan ini membuahkan hasil seketika.
Kini dengan usia yang lanjut dan uzur, adakah mereka boleh berbangga, satu kejayaan dihujung kehidupan dengan hutang ratusan ribu yang bakal mereka tinggal? Jika diajukan pertanya mengenai status hutang mereka, pastinya linangan air mata dan kesedihan, tanpa susunan ayat terkeluar dari ulas bibir mereka.
Semoga kehadiran hari lebaran ini, buat anak pewaris generasi warga peneroka Felda seluruh negara, yang berada berjauhan dengan ibu bapa kita, pulanglah, jenguk mereka dengan harapan dapat mengembirakan lagi hati mereka yang hiba.
Yang sudah tiada orang tua, berbincanglah kita adik beradik, agar satu mekanisma ketetapan dapat diputuskan agar tanah orang tua kita tidak terus diresapi hutang luar biasa yang pastinya akan menyulitkan kita semua dihari yang mendatang.
***Naraza Muda adalah anak jati Felda Jerangau, Terengganu yang juga Pengerusi ANAK negeri Terengganu





























