Oleh: Dr Azman Ibrahim
“Lama doh dok leh gi nnoreh, dekat buka sekolah banyak pitih nak guna, tapi kerana anak nak gi ngaji, kita ikhtiar carilah lagu mana pun…”
Inilah luahan sedih yang disampaikan ibu-bapa anak-anak Dun Jabi ketika menerima kunjungan rombongan pimpinan Majlis Tindakan Dun Jabi dalam program Jejak Anak-Anak Cemerlang UPSR kelmarin, Jumaat 2 Disember 2014.
Kira-kira 20 orang anak-anak Dun Jabi yang berjaya mendapat 5A dalam peperiksaan UPSR baru-baru ini dikunjungi dari rumah ke rumah untuk diberikan sumbangan penghargaan dan ucapan tahniah atas kejayaan yang dicapai.
Saya selaku Pengarah Majlis Tindakan Dun Jabi yang juga Ketua Lujnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Terengganu ketika mengetuai kunjungan rumah ke rumah ini menyatakan…


Yang pertama, apabila kita tak memiliki jumlah kewangan yang banyak untuk dihulurkan, nilai sumbangan kita akan menjadi mahal apabila kita datang sendiri ‘bertemu mata’.
Yang kedua, kita ingin melihat sendiri keadaan kehidupan keluarga mereka di samping dapat memberi semangat kepada ahli keluarga yang lain.
Dalam keadaan cuaca yang tak menentu, seboleh-bolehnya kita tak ingin menyusahkan para ibu-bapa sehingga terpaksa datang ke majlis sumbangan dan terpaksa meninggalkan kerja-kerja harian mereka.
Suatu yang menarik untuk diungkapkan, sebahagian besar anak-anak cemerlang ini datangnya dari keluarga berpendapatan rendah.
Mereka adalah anak-anak kampung yang hidup dalam serba kekurangan, belajar di sekolah kampung yang tentunya tak sebanding dengan sekolah di bandar tetapi mereka juga mampu cemerlang sebagaimana orang lain. Maknanya anak-anak ini adalah mereka yang hebat dan sangat berbakat.
Akhir sekali, saya melahirkan kesyukuran atas kejayaan anak-anak Dun Jabi yang cemerlang ini diterima meneruskan pengajian di sekolah-sekolah berasrama penuh di sebalik persaingan hebat untuk mendapatkan tempat sekarang ini.






























