Terengganu, Malaysia
Kenyataan Media

Beristiqamah Bersama Hukum Tertinggi Dalam Islam

Beristiqamah Bersama Hukum Tertinggi Dalam Islam

Sama ada seorang Muslim, keluarga, masyarakat, kumpulan sehinggalah negara, semuanya menyimpulkan seteguh-teguhnya kepercayaan kepada Allah dan Rasul yang disifatkan oleh firman Allah laksana simpulan tali yang teguh tidak boleh dirungkai. Firman Allah SWT:

… فَمَن يَكۡفُرۡ بِٱلطَّـٰغُوتِ وَيُؤۡمِنۢ بِٱللَّهِ فَقَدِ ٱسۡتَمۡسَكَ بِٱلۡعُرۡوَةِ ٱلۡوُثۡقَىٰ لَا ٱنفِصَامَ لَهَاۗ وَٱللَّهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ ٢٥٦

“…Sesiapa yang ingkar kepada taghut dan beriman kepada Allah, maka sesungguhnya dia telah berpegang pada buhul tali yang amat kuat yang tidak akan putus. Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” [Surah al-Baqarah: 256]

Kepercayaan kepada Allah dan Rasul diucapkan dalam ikrar dua kalimah syahadah sejak dilahirkan, malah sepatutnya konsep dasar ini terdapat dalam mana-mana perlembagaan parti, jemaah, dan negara. Perkara ini dinamakan sebagai aqidah (suatu ikatan yang kuat). Allah dan Rasul adalah paling tinggi dimuliakan dan menjadi perjuangan hidup sehingga mati menamatkan ajal di dunia untuk kembali kepada Allah. Firman Allah SWT:

… وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسۡلِمُونَ ١٠٢

“…Dan janganlah sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan beragama Islam.” [Surah Ali ‘Imran: 102]

Allah bersifat dengan segala sifat kesempurnaan dan Maha Suci Allah daripada segala kelemahan dan kekurangan. Rasul pula dilantik sebagai pilihan Allah dan dipelihara dengan ilmu wahyu dan sifat wajib yang mulia serta ‘ismah (dipelihara dengan kawalan wahyu dan ilham) yang wajib secara langsung daripada Allah. Segala kesilapan Rasul diampunkan oleh Allah dan bertujuan menjadi sebab kebaikan kerana kemudian dibetulkan oleh wahyu yang memberikan pengajaran kepada manusia, bukan merendahkan martabatnya.

Islam meletakkan hukum Allah dan Rasul mengatasi hukum akal manusia berpandukan firman Allah SWT:

۞إِنَّ ٱللَّهَ يَأۡمُرُكُمۡ أَن تُؤَدُّواْ ٱلۡأَمَٰنَٰتِ إِلَىٰٓ أَهۡلِهَا وَإِذَا حَكَمۡتُم بَيۡنَ ٱلنَّاسِ أَن تَحۡكُمُواْ بِٱلۡعَدۡلِۚ إِنَّ ٱللَّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُم بِهِۦٓۗ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ سَمِيعَۢا بَصِيرٗا ٥٨ يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ أَطِيعُواْ ٱللَّهَ وَأَطِيعُواْ ٱلرَّسُولَ وَأُوْلِي ٱلۡأَمۡرِ مِنكُمۡۖ فَإِن تَنَٰزَعۡتُمۡ فِي شَيۡءٖ فَرُدُّوهُ إِلَى ٱللَّهِ وَٱلرَّسُولِ إِن كُنتُمۡ تُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِ وَٱلۡيَوۡمِ ٱلۡأٓخِرِۚ ذَٰلِكَ خَيۡرٞ وَأَحۡسَنُ تَأۡوِيلًا ٥٩

“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanah kepada yang berhak menerimanya, dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum antara manusia supaya kamu menetapkan dengan adil. Sesungguhnya Allah memberikan pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya Allah adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat. [58] Wahai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul-Nya serta ulu al-amr )para pemimpin) antara kamu! Kemudian, jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (al-Quran) dan Rasul (Sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan Hari Kemudian. Yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya. (59)” [Surah al-Nisa’: 58–59]

Amanah terbesar ialah memimpin dengan hukum Allah dan teladan pelaksanaannya telah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW. Hal ini ditafsirkan oleh Sunnah Nabawiah melalui Sahifah Madinah:

وَإِنَّهُ مَا كَانَ بَيْنَ أَهْلِ هَذِهِ الصَّحِيفَةِ ‌مِنْ ‌حَدَثٍ ‌أَوْ ‌اشْتِجَارٍ يُخَافُ فَسَادُهُ، فَإِنَّ مَرَدَّهُ إلَى اللَّهِ عز وجل، وَإِلَى مُحَمَّدٍ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ.

“Dan sesungguhnya apa-apa sahaja yang berlaku dalam kalangan ahli yang terlibat dalam sahifah ini dan pertelingkahan (khilaf) yang dibimbangi boleh membawa kerosakan, maka rujukannya ialah Allah ‘Azza wa Jalla dan Muhammad Rasulullah SAW (al-Quran dan Sunnah Nabawiyyah).” [Ibn Hisham, al-Sirah al-Nabawiyyah, jld. 1, hlm. 504]

Dinyatakan lagi oleh firman Allah SWT:

وَمَا كَانَ لِمُؤۡمِنٖ وَلَا مُؤۡمِنَةٍ إِذَا قَضَى ٱللَّهُ وَرَسُولُهُۥٓ أَمۡرًا أَن يَكُونَ لَهُمُ ٱلۡخِيَرَةُ مِنۡ أَمۡرِهِمۡۗ وَمَن يَعۡصِ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥ فَقَدۡ ضَلَّ ضَلَٰلٗا مُّبِينٗا ٣٦

“Dan tidaklah patut bagi lelaki yang Mukmin dan tidak (pula) bagi perempuan yang Mukmin, apabila Allah dan Rasul-Nya telah menetapkan suatu ketetapan, akan ada bagi mereka pilihan (yang lain) tentang urusan mereka. Dan sesiapa yang menderhakai Allah dan Rasul-Nya, maka sungguhlah dia telah sesat dengan kesesatan yang nyata.” [Surah al-Ahzab: 36]

Perkara ini menjadi nas yang wajib kepada parti Islam atau jemaah Islam. Firman Allah SWT lagi:

إِنَّمَا وَلِيُّكُمُ ٱللَّهُ وَرَسُولُهُۥ وَٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱلَّذِينَ يُقِيمُونَ ٱلصَّلَوٰةَ وَيُؤۡتُونَ ٱلزَّكَوٰةَ وَهُمۡ رَٰكِعُونَ ٥٥ وَمَن يَتَوَلَّ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥ وَٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ فَإِنَّ حِزۡبَ ٱللَّهِ هُمُ ٱلۡغَٰلِبُونَ ٥٦

“Sesungguhnya penolong kamu hanyalah Allah, Rasul-Nya, dan orang-orang yang beriman yang mendirikan solat dan menunaikan zakat, seraya mereka tunduk (kepada Allah). (55) Dan sesiapa yang mengambil Allah, Rasul-Nya, dan orang-orang yang beriman menjadi penolongnya, maka sesungguhnya parti (pengikut parti atau jemaah) agama Allah (Islam) itulah yang pasti menang. (56)” [Surah al-Ma’idah: 55–56]

Setiap orang khalifah dalam kalangan sahabat merujukkan semua masalah kepada al-Quran dan Sunnah. Apabila tidak ada nas, maka mereka berijtihad. Apabila Rasulullah SAW melantik Mu‘az bin Jabal RA ke negeri Yaman, Baginda bertanya Mu‘az:

كَيْفَ تَقْضِي إِذَا عَرَضَ لَكَ قَضَاءٌ؟ قَالَ: أَقْضِي بِكِتَابِ اللهِ.

“Apabila ada masalah, bagaimana kamu selesaikan?” Mu‘az menjawab, “Aku menyelesaikan dengan Kitab Allah.”

قَالَ: فَإِنْ لَمْ تَجِدْ فِي كِتَابِ اللهِ؟ قَالَ: فَبِسُنَّةِ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ.

Rasulullah bertanya lagi, “Sekiranya tidak ada dalam Kitab Allah?” Mu‘az menjawab, “Dengan Sunnah Rasulullah.”

قَالَ: فَإِنْ لَمْ تَجِدْ فِي سُنَّةِ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَلَا فِي كِتَابِ اللهِ؟ قَالَ: أَجْتَهِدُ بِرَأْيِي ‌وَلَا ‌آلُو.

Rasulullah bertanya lagi, “Sekiranya tidak ada dalam Sunnah Rasulullah?” Mu‘az menjawab, “Aku berijtihad (mengkaji dengan bersungguh) dan aku tidak cuai serta melampau.” [Hadis riwayat Abu Dawud, Sunan Abi Dawud, Kitab al-Qada’, no. 3592, daripada Mu‘az bin Jabal]

Berijtihad dalam masalah yang tidak ada nas atau hanya ada nas yang umum ataupun pelaksanaan hukum furuk (cabang) yang ada nas dilakukan oleh kalangan ulama’ yang memenuhi syarat ilmu, akhlak, dan hikmah (kebijaksanaan). Mereka memahami masalah masyarakat serta masalah semasa yang berbeza dan berubah-ubah serta beristiqamah dengan rukun dan dasar al-din.

Ketetapan Allah dan Rasul daripada al-Quran dan Sunnah adalah dalam perkara yang tidak mampu dicapai oleh kemampuan akal dan ilmu manusia yang lemah, selepasnya diutamakan ijmak (persepakatan) para ulama’, qias, maqasid syar‘iyyah, siasah syar‘iyyah, dan adat yang boleh dijadikan pengajaran, kemudian hujah yang kuat dari segi ilmu, kajian, dan pengalaman.

Semua mazhab yang berbeza dalam perkara furuk wajib meletakkan hukum daripada al-Quran dan hadis sebagai paling tinggi dan tidak boleh berijtihad apabila ada nas yang nyata daripadanya.

Maka, Parti Islam Se-Malaysia (PAS) menegaskan dalam undang-undang tubuh (perlembagaannya) bahawa al-Quran dan Sunnah diletakkan paling tinggi dan membatalkan undang-undang manusia yang bercanggah dengannya serta diharamkan berijtihad mengatasinya. PAS menubuhkan Majlis Syura ‘Ulamak (MSU) bagi menjaga perkara dasar ini.

Parti yang berprinsip sekular, Islam liberal, atau Islam progresif tidak ada peruntukkan ini. Ada yang berpura-pura meletakkan wajah Islam dengan jenama Islam progresif, pluralisme, dan madani.

Ada juga yang membawa konsep agama kerana meraikan atau terkini kerana nyata berwala’ kepada DAP yang menegaskan dalam perlembagaannya konsep demokrasi sekularisme yang meraikan penyesuaian dan “Malaysian Malaysia”. Semua perkara yang dilakukan itu bagi menarik pengundi Melayu Islam untuk menampung kekurangan undi DAP dan mendapatkan 100 peratus undi tambahannya untuk DAP bagi menambah kerusi kepada DAP dalam Parlimen dan DUN dengan menjadi suara yang sama dengan DAP.

Keadaan menjadi hanyut apabila mereka meninggalkan kewajipan amar ma‘ruf dan nahi mungkar secara individu, keluarga, masyarakat, jemaah, dan negara.

Percayalah bahawa kumpulan ini akan pupus apabila dipinggirkan oleh DAP apabila gagal menggoda Melayu Islam. Kalau PAS ada Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) daripada kalangan bukan Islam, maka diadakan Himpunan Melayu Islam penyokong DAP yang bertindak menjadi jurubicara dan pembela kepadanya.

PAS membawa konsep hak bukan Islam dalam negara Islam dan tegas bahawa Islam adalah tertinggi, berbeza dengan konsep pluralisme yang menyamakan semua agama, termasuk perkara berjenama Islam yang bercanggah dengan konsep Islam yang sebenar.

Pluralisme berkonsepkan kesamarataan kebenaran, berpegang pada kepercayaan bahawa tiada satu agama pun yang mempunyai monopoli terhadap kebenaran mutlak; semua agama dipandang sebagai jalan yang berbeza untuk matlamat yang serupa.

Adapun Islam progresif pula ialah pemikiran keislaman kontemporari yang mentafsirkan dan menerapkan ajaran Islam agar selaras dengan nilai-nilai kemanusiaan moden seperti demokrasi, hak asasi manusia (HAM), kesetaraan gender, dan keadilan sosial, sehingga membenarkan ijtihad kepada yang bukan ahli ijtihad yang memenuhi syarat ilmu dan adab yang menjamin beristiqamah kepada prinsip Islam dan konsepnya.

Adapun Islam sekular pula terpengaruh dengan Kristian yang memisahkan urusan keduniaan daripada agama.

Sahabat bernama Sufyan bin ‘Abdillah RA berkata kepada Rasulullah SAW:

يَا رَسُولَ اللهِ، قُلْ لِي فِي الْإِسْلَامِ قَوْلًا لَا أَسْأَلُ عَنْهُ أَحَدًا بَعْدَكَ – وَفِي حَدِيثِ أَبِي أُسَامَةَ: غَيْرَكَ.

“Wahai Rasulullah, katakanlah kepadaku berkenaan Islam kata-kata yang aku fahami sehingga tidak perlu lagi aku bertanya kepada orang lain!”

Rasulullah bersabda:

قُلْ: آمَنْتُ بِاللهِ فَاسْتَقِمْ.

“Katakanlah, ‘Aku beriman kepada Allah,’ kemudian kamu beristiqamahlah (teruslah berada di atas dasarnya yang betul).” [Hadis riwayat Muslim, Sahih Muslim, Kitab al-Iman, no. 38, daripada Sufyan bin ‘Abdillah al-Thaqafi]

Apabila Rasulullah SAW ditanya oleh pemimpin Bani ‘Amir, “Apakah Islam?” Sabdanya, “Katakanlah (dengan tegas):

لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ.

“Tiada Tuhan yang sebenar melainkan Allah.”

Allah dan agama-Nya, Islam (al-din) adalah paling tinggi dan menolak segala yang lain. Tegasnya bahawa tanda Islam yang benar apabila ajaran itu wajib akan ditolak oleh musuhnya. Firman Allah SWT:

وَلَن تَرۡضَىٰ عَنكَ ٱلۡيَهُودُ وَلَا ٱلنَّصَٰرَىٰ حَتَّىٰ تَتَّبِعَ مِلَّتَهُمۡۗ قُلۡ إِنَّ هُدَى ٱللَّهِ هُوَ ٱلۡهُدَىٰۗ وَلَئِنِ ٱتَّبَعۡتَ أَهۡوَآءَهُم بَعۡدَ ٱلَّذِي جَآءَكَ مِنَ ٱلۡعِلۡمِ مَا لَكَ مِنَ ٱللَّهِ مِن وَلِيّٖ وَلَا نَصِيرٍ ١٢٠

“Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan senang kepada kamu hingga kamu mengikuti agama mereka. Katakanlah, ‘Sesungguhnya petunjuk Allah itulah petunjuk (yang benar).’ Dan sesungguhnya jika kamu mengikuti kemahuan mereka setelah pengetahuan datang kepadamu, maka Allah tidak lagi menjadi pelindung dan penolong bagimu.” [Surah al-Baqarah: 120]

Maka, PAS menolak sebarang kerjasama dengan pihak yang terbuka bermusuh terhadap Islam.

Bahkan, dalam kerjasama yang fleksibel dengan pihak lain, Allah meletakkan garis sempadan dengan firman-Nya:

… وَتَعَاوَنُواْ عَلَى ٱلۡبِرِّ وَٱلتَّقۡوَىٰۖ وَلَا تَعَاوَنُواْ عَلَى ٱلۡإِثۡمِ وَٱلۡعُدۡوَٰنِۚ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَۖ إِنَّ ٱللَّهَ شَدِيدُ ٱلۡعِقَابِ ٢

“…Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan taqwa, dan janganlah tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran. Dan bertaqwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amat berat seksa-Nya.” [Surah al-Ma’idah: 2]

Rasulullah SAW telah menunjukkan konsep negara madani yang dinamakan Madinah al-Munawwarah yang berperlembagaan mengikut Sahifah Madinah sebagaimana yang disebut tadi.

Madani ialah sifat fitrah (tabii) semua manusia secara mutlak yang perlu diwajahkan mengikut ajaran masing-masing yang berbeza.

Ibn Khaldun menegaskan dalam karangannya, al-Muqaddimah:

الْإِنْسَانُ مَدَنِيٌّ بِالطَّبْعِ.

“Manusia itu madani secara tabii.” [Ibn Khaldun, Tarikh Ibn Khaldun, jld. 1 (al-Muqaddimah), hlm. 54]

Dengan maksud semua manusia hidup bermasyarakat secara mutlak sebelum membuat pilihan yang menjadi ujian daripada Allah dalam kehidupan alam dunia, termasuk kerajaan dan negara. Firman Allah SWT:

تَبَٰرَكَ ٱلَّذِي بِيَدِهِ ٱلۡمُلۡكُ وَهُوَ عَلَىٰ كُلِّ شَيۡءٖ قَدِيرٌ ١ ٱلَّذِي خَلَقَ ٱلۡمَوۡتَ وَٱلۡحَيَوٰةَ لِيَبۡلُوَكُمۡ أَيُّكُمۡ أَحۡسَنُ عَمَلٗاۚ وَهُوَ ٱلۡعَزِيزُ ٱلۡغَفُورُ ٢

“Maha Suci Allah yang dalam Tangan-Nyalah segala kerajaan, dan Dia Maha Kuasa atas segala sesuatu. (1) Yang menjadikan mati dan hidup supaya Dia menguji kamu siapa antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun. (2)” [Surah al-Mulk: 1–2]

Firman Allah SWT:

الٓمٓ ١ أَحَسِبَ ٱلنَّاسُ أَن يُتۡرَكُوٓاْ أَن يَقُولُوٓاْ ءَامَنَّا وَهُمۡ لَا يُفۡتَنُونَ ٢ وَلَقَدۡ فَتَنَّا ٱلَّذِينَ مِن قَبۡلِهِمۡۖ فَلَيَعۡلَمَنَّ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ صَدَقُواْ وَلَيَعۡلَمَنَّ ٱلۡكَٰذِبِينَ ٣

“Alif lam mim. (1) Adakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan (saja) mengatakan, ‘Kami telah beriman,’ sedang mereka tidak diuji lagi? (2) Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta. (3)” [Surah al-‘Ankabut: 1–3]

Adapun madani versi Kerajaan Pakatan Harapan (PH) adalah mutlak tidak dinyatakan wajahnya, berkonsepkan campuran sekularisme, Islam progresif, dan pluralisme yang meletakkan persamaan agama yang bercanggah dengan Islam yang memberikan hak beragama kepada semua.

Islam menegaskan perbezaan agama dan Islam adalah tertinggi berpandukan firman Allah SWT:

هُوَ ٱلَّذِيٓ أَرۡسَلَ رَسُولَهُۥ بِٱلۡهُدَىٰ وَدِينِ ٱلۡحَقِّ لِيُظۡهِرَهُۥ عَلَى ٱلدِّينِ كُلِّهِۦ وَلَوۡ كَرِهَ ٱلۡمُشۡرِكُونَ ٩

“Dialah yang mengutus Rasul-Nya dengan membawa petunjuk dan agama yang benar agar Dia memenangkannya atas segala agama, meskipun orang Musyrik membenci.” [Surah al-Saff: 9]

Islam ialah ketetapan Allah SWT kepada para anbiya’ dengan tegas sebagaimana firman-Nya:

قُلۡ ءَامَنَّا بِٱللَّهِ وَمَآ أُنزِلَ عَلَيۡنَا وَمَآ أُنزِلَ عَلَىٰٓ إِبۡرَٰهِيمَ وَإِسۡمَٰعِيلَ وَإِسۡحَٰقَ وَيَعۡقُوبَ وَٱلۡأَسۡبَاطِ وَمَآ أُوتِيَ مُوسَىٰ وَعِيسَىٰ وَٱلنَّبِيُّونَ مِن رَّبِّهِمۡ لَا نُفَرِّقُ بَيۡنَ أَحَدٖ مِّنۡهُمۡ وَنَحۡنُ لَهُۥ مُسۡلِمُونَ ٨٤ وَمَن يَبۡتَغِ غَيۡرَ ٱلۡإِسۡلَٰمِ دِينٗا فَلَن يُقۡبَلَ مِنۡهُ وَهُوَ فِي ٱلۡأٓخِرَةِ مِنَ ٱلۡخَٰسِرِينَ ٨٥

“Katakanlah, ‘Kami beriman kepada Allah dan kepada apa yang diturunkan kepada kami dan yang diturunkan kepada Ibrahim, Isma‘il, Ishaq, Ya‘qub, dan anak-anaknya, serta apa yang diberikan kepada Musa, ‘Isa, dan para nabi daripada Tuhan mereka. Kami tidak membeza-bezakan seorang pun antara mereka dan hanya kepada-Nya-lah kami menyerahkan diri.’ (84) Sesiapa mencari agama selain agama Islam, maka sekali-kali tidaklah akan diterima (agama itu) daripadanya, dan dia di akhirat termasuk orang-orang yang rugi. (85)” [Surah Ali ‘Imran: 84–85]

Sabda Rasulullah SAW:

‌الْإِسْلَامُ ‌يَعْلُو ‌وَلَا ‌يُعْلَى.

“Islam itu paling tinggi dan tidak ada yang lebih tinggi daripadanya.” [Hadis riwayat al-Baihaqi, al-Sunan al-Kubra, Kitab al-Luqatah, no. 12283, daripada ‘A’iz bin ‘Amr]

Inilah Islam dalam Perlembagaan Persekutuan yang wajib diterjemahkan daripada al-din menurut bahasa al-Quran, bukan bahasa penjajah kerana negara kita sudah merdeka daripada penjajah.

PAS menegaskan dalam undang-undang tubuhnya (perlembagaan), bahawa Islam yang meletakkan aqidah keimanan kepada Allah dan Rasul yang berwawasan dunia sehingga akhirat.

Maka, PAS diwajibkan bekerjasama dengan kumpulan Islam dan diharuskan bersama bukan Islam yang tidak ekstrem serta tidak bermusuh terhadap Islam dan umatnya, berkonsepkan hidayah (petunjuk Allah) bukan jibayah (kebendaan sahaja).

Firman Allah SWT:

وَٱعۡتَصِمُواْ بِحَبۡلِ ٱللَّهِ جَمِيعٗا وَلَا تَفَرَّقُواْۚ وَٱذۡكُرُواْ نِعۡمَتَ ٱللَّهِ عَلَيۡكُمۡ إِذۡ كُنتُمۡ أَعۡدَآءٗ فَأَلَّفَ بَيۡنَ قُلُوبِكُمۡ فَأَصۡبَحۡتُم بِنِعۡمَتِهِۦٓ إِخۡوَٰنٗا وَكُنتُمۡ عَلَىٰ شَفَا حُفۡرَةٖ مِّنَ ٱلنَّارِ فَأَنقَذَكُم مِّنۡهَاۗ كَذَٰلِكَ يُبَيِّنُ ٱللَّهُ لَكُمۡ ءَايَٰتِهِۦ لَعَلَّكُمۡ تَهۡتَدُونَ ١٠٣

“Dan berpeganglah kamu semuanya pada tali (agama) Allah dan janganlah kamu bercerai-berai, dan ingatlah akan ni‘mat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (masa jahiliah) bermusuh-musuhan, maka Allah mempersatukan hatimu, lalu menjadilah kamu kerana ni‘mat Allah orang-orang yang bersaudara; dan kamu telah berada di tepi jurang Neraka, lalu Allah menyelamatkan kamu darinya. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepadamu agar kamu mendapat petunjuk.” [Surah Ali ‘Imran: 103]

Adapun kerjasama dengan bukan Islam berpandukan firman Allah SWT:

لَّا يَنۡهَىٰكُمُ ٱللَّهُ عَنِ ٱلَّذِينَ لَمۡ يُقَٰتِلُوكُمۡ فِي ٱلدِّينِ وَلَمۡ يُخۡرِجُوكُم مِّن دِيَٰرِكُمۡ أَن تَبَرُّوهُمۡ وَتُقۡسِطُوٓاْ إِلَيۡهِمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلۡمُقۡسِطِينَ ٨ إِنَّمَا يَنۡهَىٰكُمُ ٱللَّهُ عَنِ ٱلَّذِينَ قَٰتَلُوكُمۡ فِي ٱلدِّينِ وَأَخۡرَجُوكُم مِّن دِيَٰرِكُمۡ وَظَٰهَرُواْ عَلَىٰٓ إِخۡرَاجِكُمۡ أَن تَوَلَّوۡهُمۡۚ وَمَن يَتَوَلَّهُمۡ فَأُوْلَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلظَّـٰلِمُونَ ٩

“Allah tidak melarang kamu untuk berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang-orang yang tiada memerangimu kerana agama dan tidak (pula) mengusir kamu dari negerimu. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil. [8] Sesungguhnya Allah hanya melarang kamu menjadikan sebagai kawanmu orang-orang yang memerangimu kerana agama dan mengusir kamu dari negerimu serta membantu (orang lain) untuk mengusirmu. Dan sesiapa yang menjadikan mereka sebagai wali (kawan yang diberikan kesetiaan), maka mereka itulah orang-orang yang zalim. (9)” [Surah al-Mumtahanah: 8–9]

Demikianlah Rasulullah SAW membatalkan tahaluf dengan bukan Islam apabila mereka melanggar syarat-syarat dasar dan rukun Islam.

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

Bertarikh: 13 Jumada al-Akhirah 1448 / 23 November 2026

[Bil: 77 / 2026]

KongsiWhatsAppTelegramThreadsX

Berita berkaitan