KUALA TERENGGANU – Belanjawan negara perlu dinilai berdasarkan sejauh mana dasar kewangan yang dirangka mampu menjamin kesejahteraan rakyat, bukannya sekadar melihat angka hasil, perbelanjaan dan hutang, kata Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.
Beliau berkata, pengurusan kewangan negara merupakan amanah besar yang menuntut kerajaan melaksanakan dasar secara adil, telus dan bertanggungjawab, dengan kepentingan rakyat menjadi pertimbangan utama dalam setiap keputusan.
“Setiap dasar kewangan perlu dinilai berdasarkan manfaatnya kepada rakyat, bukan sekadar kepentingan kerajaan, korporat atau golongan tertentu,” tegasnya ketika membahaskan Belanjawan 2027 di Parlimen Malaysia, 21 Oktober.
Menurutnya, pengurusan kewangan negara juga perlu mengambil kira tuntutan Islam yang menekankan amanah dan keadilan, termasuk menangani beban hutang, amalan riba, kenaikan harga barang serta ketirisan yang berpunca daripada peranan orang tengah.
“Beban hutang, amalan riba, kenaikan harga barang serta ketirisan akibat peranan orang tengah perlu ditangani dengan serius. Kemakmuran sebenar tidak hanya bergantung pada angka belanjawan yang besar, tetapi juga keberkatan, keadilan dalam pengagihan dan kebajikan rakyat yang terbela,” ujar beliau.
Abdul Hadi turut menegaskan bahawa pembangunan negara tidak seharusnya tertumpu kepada aspek ekonomi dan fizikal semata-mata, sebaliknya perlu disertai pembangunan insan melalui sistem pendidikan yang membentuk masyarakat berilmu, berakhlak dan mempunyai tanggungjawab sosial.
“Pembangunan negara juga tidak boleh dipisahkan daripada pembangunan insan. Sistem pendidikan perlu membentuk manusia secara menyeluruh, merangkumi ilmu, akhlak, rohani dan tanggungjawab sosial,” katanya.
Mengulas lebih lanjut, tegasnya, pembentukan insan yang menyeluruh penting bagi melahirkan masyarakat yang saling bertimbang rasa serta menjauhi kerosakan, kerana dasar dan undang-undang sahaja tidak memadai tanpa asas nilai dan akhlak yang kukuh.
Dalam pada itu, beliau turut menekankan keperluan kerajaan mendapatkan nasihat yang jujur dan berani menegur, supaya keputusan yang dibuat tidak sekadar memenuhi kehendak pihak tertentu, sebaliknya berpandukan prinsip keadilan serta menghormati Perlembagaan.
“Kerajaan juga memerlukan penasihat yang jujur dan berani menegur, bukannya sekadar mengampu. Setiap keputusan perlu dibuat dengan penuh tanggungjawab, berpandukan prinsip keadilan dan menghormati Perlembagaan,” tambahnya lagi.
Jelas beliau, kesejahteraan negara tidak boleh diukur melalui janji atau saiz belanjawan semata-mata, tetapi perlu dilihat melalui pelaksanaan amanah, keadilan dalam pentadbiran serta usaha memastikan kebajikan rakyat benar-benar terbela.
“Negara yang baik bukan dibina dengan janji semata-mata, tetapi melalui amanah yang ditunaikan, keadilan yang ditegakkan dan kebajikan rakyat yang benar-benar diutamakan,” ujar beliau.





























