PRN Melaka: PAS Pusat Tentukan Siapa Calon

4

KUALA TERENGGANU, 16 Oktober– PAS masih belum memuktamadkan senarai calon yang akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, dengan keputusan akhir diserahkan kepada kepimpinan pusat parti.

Presidennya, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, perbincangan mengenai persiapan menghadapi pilihan raya itu sebahagian besarnya telah selesai, namun pengumuman nama calon masih perlu menunggu keputusan parti.

“Sebahagian besar sudah selesai dalam perbincangan. Sekarang tunggu masa untuk menentukan nama calon.

“Kita ada senarai calon yang ramai, tetapi siapa yang akan bertanding akan ditentukan oleh pusat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan ucaptama di Terengganu International Summit 2026 : Sambutan Tiga Tahun Taufan Al-Aqsa di Stadium Negeri di sini hari ini.

Mengulas mengenai kerusi yang dikaitkan dengan kemungkinan perubahan kedudukan penyandang di Merlimau, beliau berkata, perkara itu masih belum diputuskan.

Dalam pada itu, Abdul Hadi berkata, PAS tidak melihat pengenalan parti kepada pengundi sebagai masalah utama kerana parti itu sudah dikenali masyarakat.

Bagaimanapun, katanya, perhatian turut diberikan kepada pengundi muda dalam menghadapi pilihan raya akan datang.

Sementara itu, menyentuh isu Palestin, beliau mengingatkan umat Islam supaya terus menunjukkan solidariti terhadap rakyat yang ditindas, termasuk menerusi doa dan bantuan kepada anak-anak yatim Palestin.