KUALA LUMPUR: Keadilan dalam pengagihan pembangunan dan keupayaan kerajaan mengurus kewangan negara secara cekap perlu menjadi ukuran utama dalam menilai keberkesanan Belanjawan 2027.
Naib Presiden PAS, Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, setiap rakyat berhak menikmati peluang pembangunan yang adil dan seimbang tanpa mengira lokasi atau negeri, termasuk negeri-negeri yang ditadbir oleh pihak pembangkang.
“Prinsip keadilan bukan sekadar memastikan pembangunan dilaksanakan, malah menjamin setiap rakyat mendapat peluang yang setara untuk terus maju dan menikmati kesejahteraan hidup,” jelasnya.
Dr Samsuri yang juga Ahli Parlimen Kemaman berkata demikian ketika menyampaikan ucapan Perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 (Belanjawan 2027) di Dewan Rakyat, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau menegaskan bahawa kekuatan sesebuah kerajaan tidak seharusnya diukur berdasarkan angka dan pengumuman semata-mata.
“sebaliknya turut bergantung pada kemampuan kewangan, kecekapan pentadbiran serta kebijaksanaan membuat keputusan ketika rakyat memerlukan bantuan.
“keupayaan pula adalah tentang sejauh mana kerajaan mempunyai ruang kewangan, kecekapan pentadbiran dan kebijaksanaan untuk bertindak apabila rakyat memerlukan,” katanya.
Jelas beliau, pendekatan tersebut penting bagi memastikan kewangan negara terus kukuh, pembangunan dilaksanakan secara seimbang dan setiap dasar yang diperkenalkan benar-benar memberikan manfaat kepada rakyat.
Dalam masa sama, beliau menekankan kepentingan hubungan Kerajaan Persekutuan dengan kerajaan negeri yang berasaskan kepercayaan, saling menghormati dan kerjasama demi kepentingan rakyat.
“Keperluan memastikan dasar dan hubungan antara kerajaan tidak dipengaruhi oleh pertimbangan politik sehingga menjejaskan negeri yang mengalami perubahan kepimpinan,
“khususnya dalam menghadapi kemungkinan perubahan politik yang lebih besar pada pilihan raya akan datang,” ujar beliau.
Menurutnya, perbezaan politik tidak seharusnya menjadi penghalang kepada pelaksanaan pembangunan atau menyebabkan mana-mana negeri dinafikan hak dan peluang yang sewajarnya.
Justeru, beliau berharap segala usaha yang dilaksanakan melalui Belanjawan 2027 mampu membawa Malaysia ke arah masa depan yang lebih baik, dengan keadilan, kestabilan kewangan dan kesejahteraan rakyat menjadi keutamaan.
“Semoga segala ikhtiar kita membawa Malaysia ke arah masa depan yang lebih baik dan mendapat keberkatan daripada Allah SWT,” katanya.






























