KUALA TERENGGANU – Kerajaan PAS Terengganu melancarkan Program Dana Khairat Kematian 2026 dengan peruntukan berjumlah RM400,000 bagi meringankan beban kewangan waris yang kehilangan ahli keluarga di negeri ini.
Pengerusi Lajnah Kebajikan & Keprihatinan Sosial YB Ustaz Maliaman Kassim berkata program yang berkuat kuasa sejak 1 Okt lepas itu bertujuan menyediakan bantuan tunai segera bagi menampung sebahagian kos pengurusan jenazah.
“Bantuan ini disasarkan kepada rakyat Terengganu yang memenuhi syarat kelayakan dengan keutamaan diberikan kepada golongan B40 dan M40, kecuali penjawat awam serta pesara kerajaan,” katanya.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri berkata demikian dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, beliau memaklumkan bahawa sejumlah RM50,000 diagihkan kepada setiap lapan daerah di Terengganu bagi memastikan manfaat inisiatif tersebut dapat dinikmati secara menyeluruh oleh kumpulan sasar.
Bagi melancarkan pelaksanaan, urusan permohonan diselaraskan terus melalui pejabat daerah masing-masing bagi menjamin proses semakan serta penyaluran bantuan dapat dibuat secara telus, pantas dan teratur kepada waris yang layak.
Beliau berharap inisiatif berkenaan berupaya menjadi pelengkap kepada program kebajikan sedia ada, sekali gus mengurangkan tekanan kewangan keluarga yang berdepan musibah.






























