BESUT — Jentera pilihan raya PAS Dewan Undangan Negeri (DUN) Jertih diarahkan menyusun gerak kerja awal dan memperkukuh kesiapsiagaan bagi mempertahankan kemenangan serta menambah majoriti undi pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) akan datang.
Pengerusi Lajnah Teguh Memimpin Terengganu, Dato’ Dr. Alias Razak berkata, persiapan rapi perlu digerakkan segera di semua peringkat cawangan dan Unit Peti Undi (UDM) tanpa menunggu pembubaran Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN).
Beliau menegaskan, kemenangan terdahulu bukan alasan untuk jentera bersikap leka atau terlalu yakin, sebaliknya khidmat kebajikan kepada seluruh rakyat mesti dilipatgandakan merentasi sempadan politik.


“Kemenangan yang akan kita capai PRU16 nanti tidak akan dapat kita raih hanya bila bubar Parlimen baru kita nak buat kerja. Ia dibina melalui kerja-kerja kecil yang dilakukan secara konsisten,” katanya ketika berucap melancarkan jentera pilihan raya DUN Jertih di sini, malam tadi.
Mengulas isu peratusan keluar mengundi, Alias yang juga Timbalan Pesuruhjaya II PAS Terengganu mendedahkan kebimbangan terhadap rekod kepulangan pengundi luar yang merosot sehingga 50 hingga 60 peratus pada pilihan raya negeri lalu.
Sehubungan itu, beliau menggesa kepimpinan akar umbi dan ibu bapa memulakan langkah mendekati anak muda di perantauan dari awal bagi memastikan maklumat dasar kerajaan negeri disampaikan dengan tepat dan telus.
“Bukan saat-saat bubar Parlimen baru nak cari pengundi luar. Sekaranglah masanya untuk kita menghubungi mereka, kenal pasti masalah mereka dan santuni mereka supaya mereka yakin untuk pulang mengundi,” jelasnya.
Majlis pelancaran tersebut turut dihadiri Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato’ Haji Husain Awang, barisan kepimpinan PAS Kawasan Besut serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jertih merangkap Pengarah Majlis Tindakan DUN Jertih, Dr. Ustaz Riduan Mohamad Nor.





























