Penyelesaian Yang Gagal

2

Kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang berslogankan perpaduan menunjukkan keretakan yang hanya menunggu masa untuk terbelah. Dijangka hayatnya terlalu pendek berbanding dengan UMNO bersama jenama Parti Perikatan dahulunya, kemudiannya Barisan Nasional (BN) yang pernah disertai PAS. Masanya lebih panjang dan masalahnya tidak separah sehingga boleh mematikannya.

Adapun PH laksana bahtera yang tidak tahan dilambung ombak. Hal ini menyebabkan ada sebahagian daripada mereka yang terjun ke laut, ada juga yang berpindah kapal dan yang menumpang sampan kecil, malah ada yang berenang bersama pelampung dan ada juga yang terus tenggelam ditimbus gelombang politik yang bergelora.

Slogan reformasi dan celupan madani juga kelihatan luntur serta boleh menghilang begitu sahaja, sepertimana slogan hadhari sebelum ini.

Kerajaan campuran yang terdiri daripada pelbagai ideologi seperti DAP, PKR, AMANAH dan lain-lain, menjadi masakan daripada pelbagai ramuan yang tidak sesuai dengan perut rakyat Malaysia daripada semua kaum. Hal ini menjadikan seluruh rakyat menderita dalam kesakitan hidup. Buktinya, apabila masyarakat daripada pelbagai latar belakang seperti pendidik, pegawai kerajaan, peniaga, petani, nelayan, penganggur dan lain-lain, semuanya mengeluh tentang perkara yang sama.

Perkataan tatakelola yang sedap disebut, begitu juga slogan reformasi yang ditempikkan, begitu berat untuk ditanggung. Bahkan, gejala rasuah yang diisytiharkan sebagai perang besar juga turut gagal diatasi, jauh sekali untuk menghapuskannya. Hal ini demikian kerana, longkang yang bernyamuk tidak dibersihkan. Mereka hanya memilih lawan tertentu untuk diambil tindakan, manakala kawan dan lawan yang menyerah pula diselamatkan. Lebih menghairankan, kalangan penyumbang rasuah pula berada dalam kedudukan yang paling selamat. Hal ini secara jelas bercanggah dengan firman Allah SWT:

۞ يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ كُونُواْ قَوَّٰمِينَ بِٱلۡقِسۡطِ شُهَدَآءَ لِلَّهِ وَلَوۡ عَلَىٰٓ أَنفُسِكُمۡ أَوِ ٱلۡوَٰلِدَيۡنِ وَٱلۡأَقۡرَبِينَۚ إِن يَكُنۡ غَنِيًّا أَوۡ فَقِيرٗا فَٱللَّهُ أَوۡلَىٰ بِهِمَاۖ فَلَا تَتَّبِعُواْ ٱلۡهَوَىٰٓ أَن تَعۡدِلُواْۚ وَإِن تَلۡوُۥٓاْ أَوۡ تُعۡرِضُواْ فَإِنَّ ٱللَّهَ كَانَ بِمَا تَعۡمَلُونَ خَبِيرٗا ١٣٥

“Wahai orang-orang yang beriman, jadilah kamu orang yang benar-benar menegakkan keadilan, menjadi saksi kerana Allah, biarpun terhadap dirimu sendiri atau ibu bapa dan kaum kerabatmu. Jika dia kaya ataupun miskin, maka Allah lebih tahu kemaslahatannya. Maka, janganlah kamu mengikuti hawa nafsu kerana ingin menyimpang daripada kebenaran. Dan jika kamu memutarbalikkan (kata-kata) atau enggan menjadi saksi, maka sesungguhnya Allah Maha Mengetahui segala apa yang kamu kerjakan.” [Surah al-Nisa’: 135]

Selain itu, masalah moral dan jenayah juga gagal diatasi. Arak semakin banyak, ditambah pula dengan dadah dengan pelbagai jenama. Kes bunuh juga semakin meningkat, malah ada yang membunuh diri sendiri, termasuk dalam kalangan Melayu Islam.

Di samping itu, jika dirujuk kepada semua perlembagaan parti-parti komponen PH, kita akan dapati bahawa kesemuanya tetap mengulangi penyelesaian yang sama, iaitu sekularisme warisan penjajah yang beraqidah kebendaan (al-maddiyyah), tanpa aspek ilmu, akhlak, roh dan moral yang hanya dianggap sampingan sahaja.

Malah, mereka menjadikan jumlah angka peruntukan yang dilipatgandakan sebagai penyelesaian terhadap semua masalah yang berlaku. Inilah penyelesaian Bani Isra’il pada zaman dahulu yang memilih pemimpin berdasarkan kekayaan hartanya sahaja. Firman Allah SWT:

وَقَالَ لَهُمۡ نَبِيُّهُمۡ إِنَّ ٱللَّهَ قَدۡ بَعَثَ لَكُمۡ طَالُوتَ مَلِكٗاۚ قَالُوٓاْ أَنَّىٰ يَكُونُ لَهُ ٱلۡمُلۡكُ عَلَيۡنَا وَنَحۡنُ أَحَقُّ بِٱلۡمُلۡكِ مِنۡهُ وَلَمۡ يُؤۡتَ سَعَةٗ مِّنَ ٱلۡمَالِۚ قَالَ إِنَّ ٱللَّهَ ٱصۡطَفَىٰهُ عَلَيۡكُمۡ وَزَادَهُۥ بَسۡطَةٗ فِي ٱلۡعِلۡمِ وَٱلۡجِسۡمِۖ وَٱللَّهُ يُؤۡتِي مُلۡكَهُۥ مَن يَشَآءُۚ وَٱللَّهُ وَٰسِعٌ عَلِيمٞ ٢٤٧

“Nabi mereka mengatakan kepada mereka, ‘Sesungguhnya, Allah telah mengangkat Talut menjadi raja bagi kalian.’ Mereka menjawab, ‘Bagaimana Talut memerintah kami, padahal kami lebih berhak mengendalikan pemerintahan daripadanya, sedang dia pula tidak diberikan kekayaan yang cukup banyak?’ Nabi mereka berkata, ‘Sesungguhnya, Allah telah memilih (Talut) menjadi raja kalian dan menganugerahinya ilmu yang luas dan tubuh yang perkasa.’ Dan Allah jualah yang memberikan kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya. Dan Allah Maha Luas Pemberian-Nya lagi Maha Mengetahui.” [Surah al-Baqarah: 247]

Nabi Samuel AS mencadangkan dengan wahyu Allah untuk melantik Talut yang berilmu, bijak dan gagah perkasa. Namun, Bani Isra’il menolaknya kerana mereka mahu seorang raja yang kaya dan mempunyai harta yang banyak. Apa gunanya jika seorang raja mempunyai harta yang banyak, tetapi tidak mempunyai ilmu dan kebijaksanaan?

Akhirnya, Talut memimpin mereka dan mencapai kemenangan mengalahkan Jalut yang zalim. Kemudian, Nabi Daud AS pula dilantik menjadi khalifah dan seterusnya diwarisi oleh Nabi Sulaiman AS, raja yang adil yang menakluk dunia bersama ilmu wahyu dan kebijaksanaannya.

Pada tahun 1997, negara kita pernah menghadapi krisis ekonomi yang paling teruk (krisis kewangan Asia), namun dengan menggunakan nasihat dan kepakaran ilmuwan tempatan, kita telah berjaya mengatasinya sehingga dapat mengelak daripada cadangan untuk bergantung kepada kekayaan Bank Dunia (World Bank) dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF). Hasilnya, negara kita terselamat dan mendapat pengiktirafan antarabangsa, malah telah dianggap sebagai Harimau Asia.

Keseluruhan negara bekas jajahan masih mengekalkan ideologi warisan penjajah dan terus lemah dengan bergantung kepada nasihat penjajah, walaupun mereka mempunyai hasil negara yang melimpah-ruah dan tenaga manusia yang ramai. Semuanya gagal kerana bergantung kepada penyelesaian yang tidak holistik, sama ada yang bersifat kanan (liberalisme) atau kiri (sosialisme atau pragmatisme), semuanya berkonsepkan kebendaan.

Allah Pencipta dan Pentadbir alam, termasuk manusia dan semua makhluk yang mempunyai hubungan dengan peranannya. Allah Maha Mengetahui petunjuk yang benar bagi manusia dalam menjayakan peranan mereka untuk memakmurkan bumi, yang menjadi tempat ujian bagi manusia beramal. Firman Allah SWT:

تَبَٰرَكَ ٱلَّذِي بِيَدِهِ ٱلۡمُلۡكُ وَهُوَ عَلَىٰ كُلِّ شَيۡءٖ قَدِيرٌ ١ ٱلَّذِي خَلَقَ ٱلۡمَوۡتَ وَٱلۡحَيَوٰةَ لِيَبۡلُوَكُمۡ أَيُّكُمۡ أَحۡسَنُ عَمَلٗاۚ وَهُوَ ٱلۡعَزِيزُ ٱلۡغَفُورُ ٢

“Maha Suci Allah yang di tangan-Nyalah segala kerajaan, dan Dia Maha Kuasa atas segala sesuatu. (1) (Tuhan) yang menjadikan mati dan hidup, supaya Dia menguji kamu, siapa antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun. (2)” [Surah al-Mulk: 1–2]

Manusia diciptakan dengan bercirikan jasad, roh, akal, nafsu, serta hidup bersendirian, berkeluarga dan bermasyarakat madani. Terdapat manusia yang mengikut petunjuk Allah, iaitu al-din (Islam yang sempurna), dalam kalangan para anbiya’ dan pengikutnya, lalu mereka mencapai kejayaan dalam menguruskan dunia dan menjadi jambatan kebahagiaan di akhirat serta diterima oleh Allah SWT.

Namun begitu, terdapat juga dalam kalangan manusia yang melawan Allah. Akibatnya, tamadun (madani) yang mereka bina berakhir dengan kemusnahan, sama ada yang berlaku pada zaman dahulu mahupun pada zaman kini. Walaupun mereka mempunyai kekayaan dan mencapai kemajuan dari segi kebendaan, namun akhirnya semua itu hanya menjadi api yang membakar diri mereka sendiri.

Oleh sebab itu, Allah mewajibkan penganut agama Islam mengikut petunjuk-Nya yang berkonsepkan wasatiyyah (adil dan sederhana), berdasarkan kemampuan dan kebijaksanaan mereka dalam semua aspek peranan mereka. Firman Allah SWT:

وَكَذَٰلِكَ جَعَلۡنَٰكُمۡ أُمَّةٗ وَسَطٗا لِّتَكُونُواْ شُهَدَآءَ عَلَى ٱلنَّاسِ وَيَكُونَ ٱلرَّسُولُ عَلَيۡكُمۡ شَهِيدٗاۗ … ١٤٣

“Dan demikian (pula) Kami telah menjadikan kamu (umat Islam), umat yang adil dan pilihan agar kamu menjadi saksi atas (perbuatan) manusia dan agar Rasul (Muhammad) menjadi saksi atas (perbuatan) kamu…” [Surah al-Baqarah: 143]

Wasatiyyah atau adil ialah meletakkan sesuatu pada tempatnya yang betul, tidak cuai dan tidak melampau. Selain itu, beristiqamah atas dasar dan perkara rukun yang menjadi ketetapan Allah serta fleksibel dalam perkara cabang bagi menghadapi sebarang perubahan dan perbezaan.

Firman Allah SWT dalam aspek ekonomi:

وَلَا تَجۡعَلۡ يَدَكَ مَغۡلُولَةً إِلَىٰ عُنُقِكَ وَلَا تَبۡسُطۡهَا كُلَّ ٱلۡبَسۡطِ فَتَقۡعُدَ مَلُومٗا مَّحۡسُورًا ٢٩

“Dan janganlah kamu jadikan tanganmu terbelenggu pada lehermu dan janganlah kamu terlalu menghulurkannya kerana itu kamu akan menjadi tercela dan menyesal.” [Surah al-Isra’: 29]

Berdasarkan ayat ini, Allah memperingatkan kita dari sudut ekonomi agar tidak bersikap bakhil, tidak boros dan tidak membazir. Sebaliknya, ekonomi perlu diuruskan sebaik mungkin agar dapat memenuhi kewajipan terhadap diri, keluarga dan masyarakat dengan adil, berakhlak dan beriman kepada adanya hisab serta balasan Allah kelak. Firman Allah SWT:

أَفَحَسِبۡتُمۡ أَنَّمَا خَلَقۡنَٰكُمۡ عَبَثٗا وَأَنَّكُمۡ إِلَيۡنَا لَا تُرۡجَعُونَ ١١٥

“Maka, apakah kamu mengira bahawa sesungguhnya Kami menciptakan kamu secara main-main (saja), dan bahawa kamu tidak akan dikembalikan kepada Kami?” [Surah al-Mukminun: 115]

Islam berpandukan ilmu wahyu yang sempurna, memenuhi fitrah manusia dan akal, serta mengambil manfaat daripada pengalaman dan kajian, telah berjaya mencipta suatu tamadun. Hal ini bertitik tolak daripada sebuah negara bernama Madinah yang berkonsepkan madani, berpandukan al-Quran sebagai ilmu wahyu dan kebijaksanaan Rasulullah SAW, telah berjaya memimpin masyarakat majmuk. Kemudian, kepimpinan ini diteruskan oleh beberapa generasi yang mengikutnya, sehingga berjaya membina sebuah negara dengan masyarakat majmuk yang luas wilayahnya, ramai penduduknya dan banyak hasilnya.

Khalifah ‘Umar bin ‘Abd al-Aziz RA berjaya melakukan islah dan tajdid dengan membetulkan kesilapan yang berlaku sebelumnya dalam masa dua tahun, bukan dua penggal. Ketegasannya kembali kepada Islam dengan istiqamah, berpegang kepada perkara dasar dan rukun, berijtihad dalam menghadapi perubahan semasa, tempat dan masyarakat, sehingga beliau berjaya memerintah dengan adil, aman dan makmur.

Madani yang berkonsepkan pemujaan terhadap kebendaan telah meruntuhkan tamadun purba dan menampakkan tanda-tanda kemusnahan dalam tamadun terkini.

Pada abad yang lalu, kita menyaksikan keruntuhan blok Timur yang berorientasikan kemasyarakatan dan berkonsepkan ekstrem. Kini, kita menyaksikan tanda kelemahan liberal kapitalisme yang berorentasikan kebebasan yang terbabas, melalui politik demokrasi Barat yang memilih pemimpin dengan cara membeli dan membuli rakyat. Bahkan, amalan ekonomi liberal yang memberikan kebebasan kepada individu untuk mengumpul harta kekayaan, sehingga mengabaikan kepentingan bermasyarakat.

Politik berkonsepkan kebendaan telah membiakkan rasuah sehingga mempengaruhi urusan pentadbirannya. Hal ini berlaku apabila pemimpin hanya dipilih kerana kekayaan semata-mata, bukan berdasarkan ilmu, akhlak dan keadilannya.

Ekonomi yang membebankan rakyat umum dan berlaku kebocoran hasil negara, kerana ditebuk oleh projek rasuah dan salah laku yang mengejar keuntungan telah mengakibatkan kekayaan berpusing dalam kalangan golongan tertentu sahaja (دُولَةَۢ بَيۡنَ ٱلۡأَغۡنِيَآءِ).

Mengejar kebendaan tanpa mempedulikan pembangunan insan serta tidak memenuhi keperluan akal dan roh yang menggerakkan jasad yang beriman kepada amal soleh yang selamat, akhirnya menyebabkan martabat kemanusiaan menjadi rendah daripada binatang bernafsu yang tidak berakal. Apabila nafsu menguasai akal yang tidak sihat dan roh yang tidak beriman, menjadikan manusia lebih melampau.

Sehubungan dengan itu, Allah SWT menetapkan acuan manusia bertamadun yang soleh melalui firman-Nya:

ٱلَّذِينَ إِن مَّكَّنَّٰهُمۡ فِي ٱلۡأَرۡضِ أَقَامُواْ ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتَوُاْ ٱلزَّكَوٰةَ وَأَمَرُواْ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَنَهَوۡاْ عَنِ ٱلۡمُنكَرِۗ وَلِلَّهِ عَٰقِبَةُ ٱلۡأُمُورِ٤١

“(Iaitu) orang-orang yang jika Kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi, nescaya mereka mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, menyuruh berbuat makruf dan mencegah daripada perbuatan yang mungkar; dan kepada Allahlah kembali segala urusan.” [Surah al-Hajj: 41]

Berdasarkan ayat ini, Allah SWT akan meneguhkan kedudukan pemimpin yang sentiasa beribadat, bermasyarakat, berkebajikan serta hebat dan adil dalam bertindak terhadap kemungkaran, takut kepada balasan Allah terhadap sebarang salah laku dan kezaliman.

Islam menerima kebijaksanaan ilmu manusia dari seluruh penjuru dunia, termasuk daripada kalangan bukan Islam. Semua perkara yang membawa hasil yang positif dan memelihara kebajikan manusia diterima oleh kerajaan Islam kerana sabda Rasulullah SAW:

الْحِكْمَةُ ضَالَّةُ الْمُؤْمِنِ، فَحَيْثُ وَجَدَهَا، فَهُوَ أَحَقُّ بِهَا.

“Kebijaksanaan itu laksana barang tercicir kepunyaan orang beriman yang ditemui (di tengah perjalanan). Di mana sahaja ia dijumpai, maka orang beriman yang paling berhak memilikinya.” [Riwayat al-Tirmizi, Sunan al-Tirmizi, Abwab al-‘Ilm, No. 2687, dan Ibn Majah, Sunan Ibn Majah, Kitab al-Zuhd, No. 4169, daripada Abu Hurairah. Lafaz bagi Ibn Majah]

Kerajaan Islam berjaya dan maju dalam segala aspek, menguasai ilmu fardu ain dan ilmu fardu kifayah, bagi memenuhi tuntutan rukun agama dan keperluan dunia, serta berjaya mentadbir negara yang besar dan masyarakat yang majmuk. Kerajaan Islam jatuh apabila meninggalkan Islam. Hal ini berbeza dengan kerajaan lain yang jatuh akibat salah laku dan kezaliman.

Banyak hasil tamadun Islam yang ditumpang oleh negara-negara penjajah ketika kelemahan umat Islam. Mereka bukan sahaja mencuri hasil bumi, bahkan turut mencuri hasil penulisan dan kajian para ilmuwan Islam.

Kebanyakan mereka hanya mencedok daripada ilmu duniawi, khususnya ilmu asas dalam bidang sains dan teknologi sahaja. Sebahagian besarnya masih tersimpan dalam arkib di beberapa negara bekas penjajah dalam bahasa Arab. Buktinya, walaupun setelah diterjemahkan ke dalam bahasa mereka, masih terdapat istilah-istilah tertentu yang tidak berubah.

Malangnya, mereka hanya mengambil manfaat dalam urusan dunia sahaja tanpa al-din (Islam yang sempurna). Mereka menganggap agama tidak mempunyai kaitan dengan urusan dunia, sehingga menyebabkan kemajuan dunianya kehilangan tujuan dan menyimpang jauh daripada tujuan sebenar manusia diciptakan. Oleh itu, apabila kemajuan dunia yang bersifat kebendaan dicapai tanpa hidayah Allah, ia menarik nafsu manusia yang akalnya tidak sihat untuk mencipta ideologi yang menafikan agama atau meletakkan agama sebagai urusan sampingan semata-mata.

Berlakunya langkah melampau dalam sains perubatan apabila dadah dan bahan yang memabukkan dijadikan sebagai makanan dan minuman. Dalam sains persenjataan pula, mereka mencipta senjata berbahaya yang lebih ganas daripada binatang buas. Firman Allah SWT:

وَلَقَدۡ ذَرَأۡنَا لِجَهَنَّمَ كَثِيرٗا مِّنَ ٱلۡجِنِّ وَٱلۡإِنسِۖ لَهُمۡ قُلُوبٞ لَّا يَفۡقَهُونَ بِهَا وَلَهُمۡ أَعۡيُنٞ لَّا يُبۡصِرُونَ بِهَا وَلَهُمۡ ءَاذَانٞ لَّا يَسۡمَعُونَ بِهَآۚ أُوْلَٰٓئِكَ كَٱلۡأَنۡعَٰمِ بَلۡ هُمۡ أَضَلُّۚ أُوْلَٰٓئِكَ هُمُ ٱلۡغَٰفِلُونَ ١٧٩

“Dan sesungguhnya Kami jadikan bagi (isi neraka Jahannam) kebanyakannya daripada kalangan jin dan manusia. Mereka mempunyai hati, tetapi tidak dipergunakannya untuk memahami (ayat-ayat Allah), dan mereka mempunyai mata (tetapi) tidak dipergunakannya untuk melihat (tanda-tanda kekuasaan Allah), dan mereka mempunyai telinga (tetapi) tidak dipergunakannya untuk mendengar (ayat-ayat Allah). Mereka itu laksana binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai.” [Surah al-A‘raf: 179]

Pengaruhnya turut masuk ke negara kita yang mewarisi peninggalan penjajah. Hal ini jelas berlaku apabila ada kalangan yang lebih memuliakan hak asasi binatang daripada hak asasi manusia, sehingga mencabar hukum Allah yang telah dinaskan.

Mereka menentang pengharaman arak dan penyalahgunaan dadah, menjaga keselamatan pembunuh dan perompak lebih daripada menjaga keamanan rakyat, serta membawa masuk teori untuk membatalkan hukuman bunuh terhadap pengganas yang membunuh. Ada juga yang zalim menjatuhkan hukuman bunuh terhadap kesalahan yang tidak menyebabkan kematian dan sebagainya.

Selain itu, pelaksanaan undang-undang juga dibuat mengikut nafsu terhadap lawan yang melakukan rasuah atau yang sengaja dicipta kesalahannya, sedangkan pembayar rasuah sebenar dibebaskan kerana mempunyai sumbangan dalam memenangkan parti atau pemimpinnya dalam pilihan raya atau pemilihan parti bertopengkan demokrasi yang tidak berpandukan aqidah dosa dan pahala.

Keadaan bertambah parah dan semakin membarah sehingga merosakkan alam sekitar yang mencemarkan daratan dan lautan serta memusnahkan kawasan tempat rakyat miskin mencari rezeki. Firman Allah SWT:

ظَهَرَ ٱلۡفَسَادُ فِي ٱلۡبَرِّ وَٱلۡبَحۡرِ بِمَا كَسَبَتۡ أَيۡدِي ٱلنَّاسِ لِيُذِيقَهُم بَعۡضَ ٱلَّذِي عَمِلُواْ لَعَلَّهُمۡ يَرۡجِعُونَ ٤١

“Telah jelas kerosakan di darat dan di laut disebabkan perbuatan tangan manusia, supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian daripada (akibat) perbuatan mereka sendiri, agar mereka kembali (ke jalan yang benar).” [Surah al-Rum: 41]

Tambahan pula, undang-undang dan penguatkuasaannya tidak lagi berfungsi apabila terdapat kalangan tertentu yang cuba mengatasi undang-undang serta menghalang pihak penguatkuasa daripada menjalankan tanggungjawab mereka.

Usaha melaksanakan Islam di negeri-negeri yang dikuasai oleh PAS juga dihalang melalui proses undang-undang yang belum disempurnakan. Rang Undang-Undang Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (RUU 355) yang memperkenalkan hukuman mendidik pula dibantah ketika pembentangannya oleh DAP, dan tidak kelihatan sebarang tanda sokongan daripada rakan-rakan Melayunya dalam PH.

Namun begitu, Allah tetap memberi peluang kepada manusia yang sedar dan insaf untuk bertindak melakukan perubahan. Islam mewajibkan amar ma‘ruf dan nahi munkar dalam melaksanakan perubahan. Sabda Rasulullah SAW:

مَنْ رَأَى مِنْكُمْ مُنْكَرًا ‌فَلْيُغَيِّرْهُ ‌بِيَدِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِلِسَانِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِقَلْبِهِ، وَذَلِكَ أَضْعَفُ الْإِيمَانِ.

“Sesiapa kalangan kamu yang melihat perkara mungkar, maka ubahlah (cegahlah) dengan tangan. Kalau tidak mampu, maka ubahlah dengan lidah. Kalau tidak mampu, maka bencilah dengan hati, dan ia merupakan iman paling lemah.” [Hadis riwayat Muslim, Sahih Muslim, Kitab al-Iman, no. 49, daripada Abu Sa‘id al-Khudri]

Rasulullah SAW bersabda melalui hadis yang lain:

لَتَأْمُرُنَّ بِالْمَعْرُوفِ، وَلَتَنْهَوُنَّ عَنِ الْمُنْكَرِ، أَوْ لَيُسَلِّطَنَّ اللَّهُ عَلَيْكُمْ شِرَارَكُمْ، فَلَيَسُومُنَكُمْ سُوءَ الْعَذَابِ، ثُمَّ يَدْعُو خِيَارُكُمْ فَلا يُسْتَجَابُ لَهُمْ.

“Sama ada kamu menyuruh kepada kebajikan dan kamu mencegah kemungkaran atau (kalau kamu meninggalkannya), nescaya Allah (akan menguji kamu) dengan bencana orang-orang yang jahat memerintah kamu, lalu kamu ditimpa azab Allah yang seburuk-buruknya. Kemudian, orang-orang yang baik dalam kalangan kamu berdoa, maka doa itu tidak diperkenankan.” [Hadis diriwayatkan oleh al-Tirmizi, Sunan al-Tirmizi, Abwab al-Fitan, No. 2169, daripada Huzaifah bin al-Yaman. Diriwayatkan juga oleh al-Haithami dalam Majma‘ al-Zawa’id, No. 12134, daripada Abu Hurairah]

Para ulama’ terdahulu banyak meninggalkan pusaka ilmu Islam yang sempurna dan para ilmuwan terkini juga banyak menghasilkan kajian yang amat bermanfaat. Lalu, mengapa semua perkara itu tidak dimanfaatkan?

Kadang-kadang, dalam kalangan bukan Islam pula yang mengkajinya sehingga menghilangkan Islamofobia dalam kalangan mereka. Kini, cahaya Islam mula menembusi negara-negara bekas penjajah.

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

Bertarikh: 20 Rabi‘ al-Awwal 1448 / 2 September 2026

[Bil: 55 / 2026]