Isu Rasuah: Hukum Islam Ditinggalkan, Melayu Islam Dijadikan Sasaran

4

Jenayah rasuah berlaku dalam lapangan yang banyak dan luas, sebagaimana yang dinyatakan oleh firman Allah SWT:

وَلَا تَأۡكُلُوٓاْ أَمۡوَٰلَكُم بَيۡنَكُم بِٱلۡبَٰطِلِ وَتُدۡلُواْ بِهَآ إِلَى ٱلۡحُكَّامِ لِتَأۡكُلُواْ فَرِيقٗا مِّنۡ أَمۡوَٰلِ ٱلنَّاسِ بِٱلۡإِثۡمِ وَأَنتُمۡ تَعۡلَمُونَ ١٨٨

“Dan janganlah sebahagian kamu memakan harta sebahagian yang lain antara kamu dengan jalan yang batil (haram) dan (janganlah) kamu membawa (urusan) harta itu kepada hakim (pihak yang berkuasa), supaya kamu dapat memakan sebahagian daripada harta benda orang lain itu dengan (jalan berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui.” [Surah al-Baqarah: 188]

Kesalahan melalui harta dilakukan dalam semua urusan pentadbiran meliputi semua aspek kehidupan rakyat, termasuk juga amalan rasuah. Inilah penyakit yang merosakkan pentadbiran negara yang memayungi kehidupan rakyat dalam semua urusannya.

Islam menegaskan hukum yang berkait dengan undang-undang dunia sehingga akhirat bagi menentang rasuah dalam semua lapangan dan semua pihak yang terlibat, tidak sama dengan undang-undang ciptaan manusia yang tidak sempurna. Ditegaskan oleh hadis Rasulullah SAW:

لَعَنَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ‌الرَّاشِيَ ‌وَالْمُرْتَشِيَ وَالرَّائِشَ.

“Rasulullah SAW melaknat pemberi rasuah, penerima rasuah, dan perantaraannya.” [Hadis riwayat Ahmad, Musnad Ahmad, Tatimmah Musnad al-Ansar, no. 22399, daripada Thauban bin Bujdud]

Dilaknat bermakna tidak mendapat rahmat Allah dan tiada keberkatan, walaupun banyak hasil negaranya. Dinyatakan bahawa dosa rasuah bukan sahaja kesalahan undang-undang manusia, malah kesalahannya melibatkan dosa haramnya yang dihukum pada Hari Akhirat terhadap semua pihak yang berkaitan dengannya, bukan satu pihak sahaja, dengan maksud melibatkan penerima rasuah, pemberi rasuah, dan perantara yang menjalankan rasuah. Tindakan wajib diambil terhadap semua pihak yang terlibat dalam kesalahan rasuah.

Adapun hari ini tindakan diambil terhadap penerima rasuah sahaja, malah dilakukan pula secara terpilih. Ada yang diambil tindakan, ada tindakan separuh jalan kerana kedudukan pangkatnya, dan ada yang dibiarkan kerana lebih tinggi pangkatnya. Tambahan pula, ada yang difitnah kerana melawan kerajaan dan ada yang sengaja dipanjang-panjangkan masa siasatannya. Perkara ini merupakan satu kezaliman.

Hal ini termasuk membebaskan sebahagian yang terlibat dengan rasuah atau tindakannya tidak bersifat menyeluruh. Semua yang salah wajib diambil tindakan, jangan melakukan tindakan yang terpilih sahaja.

Namun begitu, dibebaskan pemberi rasuah dan orang tengah yang mengurusnya yang paling ramai dalam kalangan kartel, peniaga gelap, dan penyeludup. Mereka adalah paling ramai daripada kalangan bukan Islam yang menguasai kegiatan ekonomi dalam negara ini. Mereka melepaskan diri daripada undang-undang ciptaan manusia, sehingga rasuah menjadi penyakit seluruh jasad kerajaan dari kepala hingga hujung kaki.

Inilah kelemahan undang-undang ciptaan manusia kerana pasti ada kalangan mereka yang mengatasi undang-undangnya. Maka, kalangan atasan lebih banyak menerima rasuah kerana terlepas daripada tindakan undang-undang.

Kalangan yang paling tinggi kedudukannya pula mempengaruhi kalangan bawahan untuk menerima rasuah. Para ulama’ berkata:

‌النَّاسُ ‌عَلَى ‌دِينِ ‌مُلُوكِهِمْ.

“Ramai orang terpengaruh dengan perangai atasan yang memerintah mereka.”

Kalangan pembayar rasuah yang berskala besar bebas masuk ke pintu paling atas tanpa halangan kerana diberikan laluan untuk bertemu dengan sesiapa sahaja.

Adapun kalangan penganut Islam yang terlibat dalam rasuah tidak seramai orang bukan Islam kerana mereka dikawal oleh aqidah dan iman yang dipercayai adanya dosa di sisi Allah. Walaupun bebas daripada undang-undang ciptaan manusia, mereka pasti akan dihukum selepas meninggal dunia dan dihidupkan semula di alam akhirat kelak.

Firman Allah SWT:

ٱلۡيَوۡمَ نَخۡتِمُ عَلَىٰٓ أَفۡوَٰهِهِمۡ وَتُكَلِّمُنَآ أَيۡدِيهِمۡ وَتَشۡهَدُ أَرۡجُلُهُم بِمَا كَانُواْ يَكۡسِبُونَ ٦٥

“Pada hari ini, Kami tutup mulut mereka; dan berkatalah kepada Kami tangan mereka dan memberi kesaksianlah kaki mereka terhadap apa-apa yang dahulu mereka usahakan.” [Surah Yasin: 65]

Hanya sebahagian penganut Islam yang lemah iman mereka terlibat dalam rasuah kerana tidak mendapat pendidikan agama yang sempurna disebabkan sistem pendidikan warisan penjajah yang tidak ada roh. Adapun ramai Melayu Islam yang masih ada kemanisan iman amat payah untuk melakukan rasuah.

Oleh kerana Melayu paling ramai berada dalam pentadbiran, menyebabkan mereka paling banyak menjadi sasaran pemberi rasuah, khususnya kalangan yang gaji mereka tidak mencukupi dan menghadapi masalah kos sara hidup untuk menyara seluruh keluarga, terutamanya yang berada di kawasan bandar. Maka, kesalahan mereka berlaku kekeliruan yang perlu diambil kira dalam hukum Islam.

Kalau dilakukan muhasabah statistik secara jujur, nescaya didapati penglibatan rasuah orang bukan Islam lebih besar jumlahnya daripada penganut Islam kerana umat Islam dipelihara oleh aqidah mereka yang tidak boleh menyorok dalam perkara dosa dan pahala, bukan seperti kesalahan undang-undang ciptaan manusia dalam urusan keduniaan sahaja.

Hal ini berbeza dengan orang bukan Islam yang kepercayaan mereka terbatas sekadar di dunia sahaja yang boleh bersembunyi, khususnya di negara yang lebih banyak terlibat dalam urusan ekonomi seperti di Malaysia. Kalau dijumlahkan penyumbang rasuah dalam kalangan mereka adalah sangat besar jumlahnya, begitu juga yang menjadi orang tengah dalam amalan rasuah.

Hakikatnya, banyak berlaku di negara bukan Islam, mereka lebih memberikan kepercayaan kepada orang Islam yang ada di negara mereka dalam banyak urusan. Bukan bermakna tidak ada langsung orang Islam yang rasuah, tetapi kalau dibuat perbandingan, maka penganut Islam lebih terpelihara kerana semua urusan dunia berkait dengan agama yang ada perhitungan dosa dan pahala.

Kita tidak menafikan adanya institusi kewangan Islam yang menyeleweng dan mengalami salah laku, tetapi institusi perniagaan seperti GLC dan lain-lain yang berlipat kali ganda salah laku serta rasuahnya disembunyikan di bawah karpet. Maka, kesalahan Tabung Haji dijadikan tajuk utama kerana jenama Islamnya menjadi sasaran. Mereka yang berjasa menjayakan Tabung Haji adalah lebih ramai berlipat kali ganda jumlahnya, namun dibesarkan segelintir yang salah laku bagi membesarkan keaiban Melayu Islam dengan niat yang jahat.

Adapun kes terowong Pulau Pinang, bicaranya separuh jalan, kemudian diam membisu, malah jarang sekali dibunyikan apabila ada suara menyebutnya.

Terlalu banyak institusi perniagaan milik kerajaan dan separa kerajaan yang mengalami kerugian kerana kebocoran di bawah seseorang yang disebut-sebutkan sebagai Menteri Kewangan terbaik, termasuk kalangan yang berpolitik sekular yang berpisah daripada agama dengan menyalahgunakan kedudukan politik mereka.

Golongan yang paling ramai diambil tindakan ialah pihak yang berjenama Melayu dan Islam daripada yang paling besar sehinggalah paling kecil bagi merendahkan imej Islam, seolah-olah tidak ada daripada kalangan bukan Islam dan bukan Melayu. Padahal kegiatan ekonomi lebih banyak daripada bukan Islam dan bukan Melayu, khususnya yang bersaiz mega yang menjadi penyumbang rasuah.

Rasuah juga berlaku dalam pembahagian subsidi kepada kalangan miskin seperti petani dan nelayan kerana adanya kartel-kartel mega bukan Melayu yang menjadi pembekalnya. Mereka adalah daripada kalangan bukan Islam yang paling ramai mengambil peluang di sebalik bantuan kemiskinan yang gagal mengatasi masalah kemiskinan.

Semua kerajaan negeri yang dikuasai oleh PAS bersama Islam, khususnya di Kelantan selama lebih 30 tahun bersih daripada rasuah dan salah laku, walaupun dalam keadaan menghadapi tekanan kerana konsep federalisme dan perjanjian antara negeri dengan persekutuan yang tidak dihormati, di samping banyak haknya dinafikan, termasuk terhadap Ahli-ahli Parlimen pembangkang.

Kerajaan Pakatan Harapan (PH) dalam sepenggal sahaja sudah kedengaran suara salah laku yang dinyanyikan. Maka, pengisytiharan perangnya terhadap rasuah hanya gendang kosong yang kuat bunyinya sahaja, termasuk tempikan adanya sakau yang hanya seperti makhluk ghaib yang disebut namanya, namun tidak kelihatan makhluknya.

Maka, tempikan slogan perangi rasuah dan memburu sakau sampai ke lubang cacing laksana pencuri yang melepaskan diri dengan sama-sama melaungkan, “Pencuri! Pencuri!” bersama pemburunya bagi helah melepaskan dirinya.

Allah SWT mendedahkan dalam al-Quran bahawa kaum Yahudi memilih pemimpin yang kaya agar dapat menyogok rakyat, bukan pemimpin yang berilmu dan bijak. Firman Allah SWT:

وَقَالَ لَهُمۡ نَبِيُّهُمۡ إِنَّ ٱللَّهَ قَدۡ بَعَثَ لَكُمۡ طَالُوتَ مَلِكٗاۚ قَالُوٓاْ أَنَّىٰ يَكُونُ لَهُ ٱلۡمُلۡكُ عَلَيۡنَا وَنَحۡنُ أَحَقُّ بِٱلۡمُلۡكِ مِنۡهُ وَلَمۡ يُؤۡتَ سَعَةٗ مِّنَ ٱلۡمَالِۚ قَالَ إِنَّ ٱللَّهَ ٱصۡطَفَىٰهُ عَلَيۡكُمۡ وَزَادَهُۥ بَسۡطَةٗ فِي ٱلۡعِلۡمِ وَٱلۡجِسۡمِۖ وَٱللَّهُ يُؤۡتِي مُلۡكَهُۥ مَن يَشَآءُۚ وَٱللَّهُ وَٰسِعٌ عَلِيمٞ ٢٤٧

“Nabi mereka mengatakan kepada mereka, ‘Sesungguhnya Allah telah mengangkat Talut menjadi rajamu.’ Mereka menjawab, ‘Bagaimana Talut memerintah kami, padahal kami lebih berhak mengendalikan pemerintahan daripadanya, sedang dia pun tidak diberikan kekayaan yang cukup banyak?’ Nabi (mereka) berkata, ‘Sesungguhnya Allah telah memilih rajamu dan menganugerahinya ilmu yang luas dan tubuh yang perkasa.’ Allah memberikan pemerintahan kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya. Dan Allah Maha Luas Pemberian-Nya lagi Maha Mengetahui.” [Surah al-Baqarah: 247]

Percayalah bahawa parti yang memilih pemimpin dengan rasuah akan menjadi kerajaan yang kalah melawan rasuah.

Negara Amerika Syarikat yang dijadikan kiblat sebagai pihak paling kaya bawah pengaruh Zionis kini memilih yang bodoh dan banyak rasuah menjadi pemimpin kerana kekayaannya, bukan kerana ilmu dan akhlaknya.

Islam menyenaraikan rasuah sebagai kemungkaran yang wajib dicegah dan menjadi kewajipan kerajaan. Firman Allah SWT:

ٱلَّذِينَ إِن مَّكَّنَّـٰهُمۡ فِي ٱلۡأَرۡضِ أَقَامُواْ ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتَوُاْ ٱلزَّكَوٰةَ وَأَمَرُواْ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَنَهَوۡاْ عَنِ ٱلۡمُنكَرِۗ وَلِلَّهِ عَٰقِبَةُ ٱلۡأُمُورِ ٤١

“(Iaitu) orang-orang yang jika Kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi, nescaya mereka mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, menyuruh berbuat ma‘ruf, dan mencegah daripada perbuatan yang mungkar; dan kepada Allahlah kembali segala urusan.” [Surah al-Hajj: 41]

Mencegah rasuah termasuk dalam perkara nahi mungkar yang disenaraikan bersama urusan ibadat diri dan harta serta berkebajikan dalam masyarakat.

Malangnya apabila kesalahan rasuah dijadikan senjata untuk menjatuhkan lawan, bukan untuk mencegah kemungkaran kerana pihak berkuasa juga terlibat dalam rasuah yang menjadi perangai kaum Yahudi sehingga melibatkan para agamawan mereka. Firman Allah SWT:

۞أَتَأۡمُرُونَ ٱلنَّاسَ بِٱلۡبِرِّ وَتَنسَوۡنَ أَنفُسَكُمۡ وَأَنتُمۡ تَتۡلُونَ ٱلۡكِتَٰبَۚ أَفَلَا تَعۡقِلُونَ ٤٤

“Mengapa kamu menyuruh orang lain (mengerjakan) kebaktian, sedang kamu melupakan dirimu (kewajipanmu) sendiri, padahal kamu membaca al-Kitab (Taurat)? Maka, tidakkah kamu berfikir?” [Surah al-Baqarah: 44]

Isu rasuah dijadikan modal politik untuk menjatuhkan lawan, bukan kemungkaran yang hendak dicegah. Hal ini berlaku apabila dilakukan tindakan secara terpilih terhadap lawan dengan membiarkan diri sendiri bergelumang dengan rasuah, sama ada menjadi penerima, pelindung kepada penyumbang rasuah, ataupun perantaraannya dengan alasan yang berputar belit.

Segala-galanya boleh berlaku apabila tidak lagi berpegang pada Islam yang menjadi petunjuk Allah.

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

Bertarikh: 7 Rabi‘ al-Awwal 1448 / 20 Ogos 2026

[Bil: 52 / 2026]